Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shae tak dapat nyanyi lagu ‘Sayang’ kerana isu guaman

Nov 9, 2025 | 5:30 AM
Gegar Vaganza 12, GV12, Shae
Shae terkilan tidak dapat menyanyikan lagu ‘Sayang’ yang melonjakkan namanya di persada seni Nusantara, kerana isu perundangan yang tidak dapat dijelaskan secara terperinci atas nasihat peguamnya. - Foto ASTRO

Ada yang menyangka penyanyi Indonesia, Shae, atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, sudah tidak mampu lagi mendendangkan lagu hit yang menaikkan namanya, Sayang, kerana nada tinggi atau masalah vokal.

Kerana pada sidang media bagi mengumumkan peserta peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12) yang disertainya, mahupun pada konsert minggu pertama pertandingan popular itu, Shae, 31 tahun, hanya menari mengikut irama lagu berkenaan itu.

Bintang kacukan Australia-Indonesia itu juga kerapkali dilihat mengacukan mikrofon pada penonton dan meminta mereka menyanyi sama.

Bagaimanapun, Shae menjelaskan dalam sidang media bersama media seberang, beliau sebenarnya sedih dan kecewa tidak dapat membawakan lagu itu sejak empat tahun lalu (2021) kerana isu perundangan yang belum selesai.

“Lagu tersebut sememangnya memiliki nilai sentimental yang besar dalam perjalanan kerjaya saya kerana ia merupakan lagu yang melonjakkan nama saya di Malaysia dan beberapa negara lain.

“Saya tahu pasti banyak yang bertanyakan sebab mengapa suara saya tak keluar menyanyikan lagu itu kerana memang ia popular di beberapa negara.

“Tapi memang sejujurnya sudah beberapa tahun saya tidak menyanyikan lagu itu disebabkan masalah undang-undang yang lama. 

“Jadi kami berbincang dengan pihak penerbitan, menjelaskan situasi kami dan mereka berhubung dengan peguam saya.

“Kami berikan beberapa pilihan kepada mereka dan akur langkah ini mungkin boleh merosakkan persembahan atau beri sahaja peluang kepada penyanyi lain, namun mereka tetap memberi peluang itu kepada saya untuk tampil tanpa mengeluarkan suara saya,” ujar Shae.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Cintaku Telah Mati Untukmu itu mengakui tidak dapat menahan perasaan apabila memikirkan beliau tidak lagi boleh mempersembahkan lagu yang pernah menjadi titik kejayaannya.

“Isu ini membuatkan saya sangat sedih sebenarnya sebab tak boleh membawakan lagu ini. 

“Semua orang tahu lagu itu menaikkan kerjaya muzik saya. Jadi hakikat tidak boleh membawakan lagu itu seperti tamatnya kerjaya seni saya,” tambahnya. 

Shae, bagaimanapun, enggan mengulas secara terperinci tentang punca tindakan undang-undang tersebut.

Namun, beliau yang mula menyanyi secara profesional pada usia 11 tahun, memberi bayangan perkara itu melibatkan individu perantara yang pernah terbabit dalam pengurusan kerjaya seninya dahulu.

“Bukan dengan label, tapi saya boleh katakan perkara ini terjadi kerana orang tengah. Saya minta maaf sebab tak boleh berkongsi lebih lanjut. Peguam nasihatkan saya untuk jaga batas bila bercakap tentang hal ini.

“Apapun, saya serahkan segalanya kepada Tuhan kerana ia di luar kuasa saya,” jelasnya lagi.

Ketua Juri GV12, Datuk Ramli MS, pula memberi contoh keadaan industri muzik di Indonesia, di mana kerana ketetapan tertentu penggubah atau penerbit, penyanyi lagu asal juga perlu membayar kos yang tinggi jika membawakan lagu itu di mana-mana pentas, khususnya di luar Indonesia.

Dalam pusingan pertama pertandingan tersebut, Shae berada di tangga ke-11, di atas Datuk Elaine Kang dan Shy8, dengan markah 48.5 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg