Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Direktor Ahmad Nisfu' legenda serba boleh lagi tegas

Pelakon legenda filem klasik P. Ramlee pernah terajui amanah selaku imam tetap Masjid Onan Road
Apr 28, 2025 | 11:43 AM
SERBA BOLEH: Ahmad Nisfu dikenali sebagai pelakon berdisiplin yang bersahaja dan mampu membawakan baik watak serius mahupun komedi.
SERBA BOLEH: Ahmad Nisfu dikenali sebagai pelakon berdisiplin yang bersahaja dan mampu membawakan baik watak serius mahupun komedi. - Foto SHAW BROTHERS

Wajahnya bengis. Tatapan matanya garang. Suaranya lantang. Namun, seniman Ahmad Nisfu adalah antara pelakon komedi era P. Ramlee yang diingati ramai hingga hari ini.

Bayangkan, sejurus sahaja saya memuat naik gambar beliau yang nama sebenarnya Mohamed Nisfu di Facebook, ramai teman yang mula mengimbau peranan ataupun dialog Allahyarham yang terpahat dalam ingatan.

"Apa yang kau merapik tu syaitan?" dan "Aik! Ini cat ke kapur?" tulis peminat Ahmad, Rofirozeli Ismail, mengenai dua dialog kenangan Ahmad yang membawakan watak Direktor Ahmad Nisfu dalam Seniman Bujang Lapok.

Direktor bengis dengan lubang hidung besar persis hidung serombong kapal itu mencuit hati ramai dalam menangani kerenah pelakon baru (Ramlee, Sudin dan Aziz) yang secara tidak sengaja menukar dialog asal filem yang sudah disiapkan.

Kata-kata pelakon komedi Aziz Sattar yang menjadi ikutan ramai termasuk budak-budak sekarang mengenai Direktor Ahmad Nisfu adalah:

"Walaupun rupamu tidak kukenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku!"

Disebabkan hidung besarnya itu, Ahmad, anak sulung empat beradik yang dilahirkan di Medan, Indonesia, pada 1908 dan dibesarkan di Kampung Makam sekitar Tanjong Tokong di Pulau Pinang, juga terkenal dengan jolokan Pak Besar.

Menurut laman Sinema Malaysia, minat Ahmad yang juga seorang penulis skrip filem (Ibu Mertuaku) dalam bidang lakonan berputik sejak kecil apabila beliau yang berpendidikan madrasah menyertai sebuah kumpulan bangsawan di Pulau Pinang.

Kumpulan bangsawan Seri Noran di Kuala Lumpur kemudian menjadi ruang persinggahannya pada 1950-an.

Apabila kumpulan tersebut menjelajah ke Singapura, Ahmad kemudian menjadikan negara ini sebagai tempat tinggal tetapnya sehingga akhir hayat.

Isteri pertamanya, Saadiah Musa, berasal dari Kedah dan meninggal dunia pada 1939 selepas melahirkan anak kedua, Fatimah. Anak sulungnya Osman.

Di Singapura, beliau bertemu jodoh dengan Chik Osman. Mereka tidak mempunyai cahaya mata tetapi Ahmad membesarkan lima anak tiri daripada perkahwinan awal Chik iaitu Sulong, Amin, Saydeh, Yam dan Omar.

Dalam penglibatan awal Ahmad bagi filem klasik sekitar 1958, peranan sebagai doktor pernah diberikan kepadanya iaitu Dr Samsi (Gergasi) dan Dr Sulong (Anak Pontianak).

Setahun kemudian, beliau menerajui watak Sultan pula bagi dua filem, Sultan Shahrul Nizam (Nujum Pak Belalang) dan Sultan Alam Shah Bana (Musang Berjanggut).

Namun, ramai yang mula mengenalinya sebagai pelawak antagonis dengan dialog selamba seperti "Sekarang aku dah pakai bedak banyak-banyak... cantik tak?"dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Ahmad adalah tauke sampan yang cuba memikat Cikgu Ros (Roseyatimah) dalam satu babak.

Beliau pula membawa watak tauke panggung, Mamak Mahyudin Jailani, yang baik hati kerana membangun semula kerjaya pemain saksafon Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku.

Namun, kalau ditanya ramai, wataknya sebagai Haji Latiff (Madu Tiga), bapa mentua yang bersekongkol merahsiakan perkahwinan kedua dan ketiga menantunya daripada pengetahuan anaknya sendiri, memberi impak besar.

Kesan juga terasa apabila beliau memainkan watak Sadiq Segaraga, orang kaya penipu yang ingin merampas harta anak orang kaya (yang dijadikan menantu) dalam Tiga Abdul.

"Saya juga lihat Ahmad sebagai pelakon komedi yang serba boleh sehingga boleh menyampaikan dialog serius dalam Dang Anom.

"Katanya, 'Ya, kerisku dah lama tak kuasahkan. Semoga ia dibasahkan dengan darah'..." imbas peminat filem dan lagu P. Ramlee, Fir Ramlee.

Guru tuisyen, Noor Aslina Niti, pula menambah:

"Lakonan Ahmad Nisfu hidup. Baru tengok mukanya, sudah ketawa terutama sekali dalam filem Seniman Bujang Lapok.

"Kecil-kecil tak nak mampus... dah besar menyusahkan orang! Dialog ini malah diserapkan dalam perbualan santai sesetengah masyarakat Melayu yang meminati filem P. Ramlee."

Namun, apabila ditanya guru, Norzaidah Suparman, yang mengahwini Roziman Osman, cucu Ahmad (daripada perkahwinan anak sulung Osman) mengenai apa yang keluarganya kenang tentang Allahyarham, beliau berkata:

"Di sebalik segala komedi yang dipaparkan di layar perak, Tok Mat (panggilan buat Ahmad) adalah seorang ayah yang serius dan tegas.

"Beliau tidak mahu turun-temurunnya menjadi anak wayang. Malah, pernah suami saya memberitahu, P. Ramlee ingin meminjam dirinya yang masih bayi ketika itu bagi salah satu filem beliau. Tok Mat bertegas tidak izinkan.

"Beliau juga alim dan gigih beribadah malah sering menghabiskan masanya bersolat di Masjid Aminah, Masjid Kassim atau Masjid Onan Road. Beliau imam tetap di Masjid Onan Road yang berhampiran dengan syarikat penerbitan filem."

Ahmad, yang tidak terikat dengan mana-mana studio penerbitan dan lebih selesa bergerak sebagai pelakon bebas, meninggal dunia kerana penyakit kencing berdarah di rumahnya sekitar Kampong Kuchai pada usia 64 tahun pada 25 Jun 1972.

Bertahun lamanya selepas pemergiannya, Allahyarham ditohmah dalam rencana blog yang tersebar luas di media sosial serta konon mendakwa beliau meninggal dalam serba kedaifan dan sebatang kara.

Anaknya, Osman, dalam rencana akhbar Berita Minggu pada 26 Oktober 2014, menjelaskan bapanya tidak hidup dengan bantuan ihsan orang ramai atau meninggal seorang diri di sebuh kubu perang Jepun seperti yang didakwa blog tersebut.

Kata Osman tentang bapanya yang kali terakhir ditonton dalam filem Mat Karung Guni dan Jahanam pada 1971:

"Arwah meninggal secara senang. Saya sempat berjumpa dengannya pada 7 pagi sebelum pergi kerja. Pada 10 pagi, saya mendapat panggilan yang beritahu saya bahawa Allahyarham sudah menghembuskan nafas terakhirnya."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg