Di sebalik tubuhnya kecil dan susuknya sederhana, Mohammad Noor Yusofe, atau lebih mesra dengan panggilan, Cikgu Yusnor Ef, ialah insan yang penuh semangat dan besar jiwanya, terutama apabila menyentuh hal berkaitan muzik dan seni Melayu.
Apabila berbicara tentang sejarah dan perkembangan muzik Melayu di Singapura, suaranya lantang, matanya bersinar dan memorinya tajam.
Beliaulah insan yang tidak pernah jemu mengangkat martabat seni dan budaya Melayu – seorang pejuang seni dalam erti kata sebenar.
Pada 16 April 2025, kita kehilangan permata ini buat selama-lamanya.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 87 tahun, selepas bertahun-tahun menghidap penyakit jantung dan memakai alat perentak jantung atau ‘pacemaker’.
Di sebalik sifat rendah hatinya, Cikgu Yusnor memainkan peranan besar dalam mencorak industri muzik Melayu tanah air.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, banyak lagu Melayu popular yang masih malar segar hingga ke hari ini terkesan dengan sentuhan penanya.
Daripada Sanisah Huri ke Rafeah Buang, daripada Rahimah Rahim ke Ahmad Jais dan Anita Sarawak – hampir semua penyanyi legenda era 60-an hingga 80-an pernah menyanyikan lirik ciptaannya.
Minat Yusnor terhadap muzik bukan bermula dari bilik rakaman, tetapi daripada paluan marakas dan bonggo.
Beliau menyertai kumpulan pancaragam kampung seperti, ‘Harmonica Party’ dan ‘Anika Band’, malah turut bergiat dalam band Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).
Dalam dunia serba sederhana itu, lahir cintanya terhadap muzik dan lirik – cinta yang membesar seiring pengalaman dan usia.
Namun Cikgu Yusnor bukan hanya peminat muzik.
Sejak zaman persekolahannya, beliau juga aktif dalam pementasan drama.
Antara karya yang pernah diarahkan di Panggung Victoria ialah, Malam Terakhir, Anak Yang Belum Lahir, dan Senja Merah.
Malah beliau berpeluang membawakan pementasan ke Kuala Lumpur dan menjalani latihan terakhir di rumah P. Ramlee – satu penghormatan yang amat membekas dalam hatinya.
Tahun 1957 menjadi titik penting dalam hidupnya.
Beliau berpeluang bertemu sendiri dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika penggambaran filem, Bujang Lapok, di Jalan Ampas.
Pertemuan itu diatur oleh sahabatnya, penulis Jimmy Asmara, yang kerap menyunting tulisan P. Ramlee untuk majalah Bintang.
Di sinilah bibit-bibit persahabatan dan penghargaan antara dua insan seni itu mula berputik.
Dua tahun kemudian, beliau diperkenalkan pula kepada P. Ramlee oleh Leftenan Kolonel Sahari Sulaiman (Allahyarham).
Di situlah P. Ramlee sendiri memberikan nama pena Yusnor Ef dan berkata: “Pakai nama ini, kamu akan naik.”
Ramalan itu ternyata benar.
Nama Yusnor Ef menjadi sinonim dengan lirik-lirik yang indah, berseni dan berjiwa.
Sejak 1959 hingga awal 1980-an, Cikgu Yusnor menghasilkan hampir 250 lirik lagu, termasuk lagu-lagu kanak-kanak ketika beliau bertugas di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Singapura.
Beliau turut menulis lirik untuk lagu ciptaan tokoh muzik seperti, Kassim Masdor, Zubir Said, Datuk Ahmad Nawab, Yusof B, Zainal S. Abas, dan ramai lagi.
Malah filem-filem seperti, Serampang Tiga, Keluarga Si Comat, dan Si Tunggal, turut memperdengarkan bait-bait puisinya.
Antara karya paling ikonik beliau termasuk lagu, Gelisah, yang dinyanyikan oleh penyanyi popular Sanisah Huri dan Ahmad Jais.
Lagu ini bukan sekadar satu ciptaan seni – ia adalah kisah benar percintaan beliau dengan isteri tercinta, Cik Jamilah Jan Abdul Samad, sewaktu mereka masih dalam fasa perkenalan.
Liriknya menggambarkan kerinduan, debaran dan kegelisahan seorang lelaki yang menanti kasih sejatinya – dan kasih itulah yang akhirnya menjadi teman hidupnya hingga ke akhir hayat.
Pada 1992, beliau bersama beberapa seniman muda seperti Allahyarham Bani Farook, Tina Ahmad dan Ramli Sarip menubuhkan Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus).
Beliau menerajui Perkamus selama 18 tahun dengan pelbagai usaha dokumentasi, penerbitan buku dan penganjuran acara seni.
Antara penerbitan penting termasuk, 7 Tokoh Muzik, Dendang Temasek, Irama Juang Perkamus dan Muzik Melayu Sejak 1940-an.
Legasi Cikgu Yusnor tidak terhenti di atas kertas.
Beliau juga diberi kepercayaan oleh stesen satelit Malaysia, Astro, untuk menerbitkan dokumentari penting seperti Gemilang Filem Melayu, Sayang Disayang, Melodi P. Ramlee, dan P. Ramlee Di Persada Global – yang menampilkan pandangan para akademik luar negara tentang karya seniman agung itu.
Beliau turut menghasilkan telefilem seperti, Tiga Menantu dan Pengantin Satu Malam, serta memberikan syarahan khas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Malaysia.
Jasanya dalam dunia kesenian mendapat pengiktirafan di peringkat nasional, termasuk Anugerah Jauhari (Sepanjang Hayat) Berita Harian yang ke-24 pada 2022, Pingat Bintang Bakti Masyarakat pada tahun yang sama dan anugerah Pingat Budaya pada 2011.
Beliau menegaskan dalam penulisannya bahawa menulis lirik itu mudah, tapi menjadikannya indah dan bermakna itulah yang sukar.
Katanya, seorang penulis lirik perlu jujur, tekun, dan tidak terlalu mengejar glamor.
“Lirik yang kita hasilkan bukan untuk kita, tetapi untuk jiwa dan hati orang lain,” tulisnya.
Di sebalik segala pencapaian seni dan gelaran, Yusnor Ef, kekal sebagai seorang suami penyayang.
Cintanya terhadap Cik Jamilah bukan sahaja ditulis dalam lagu, bahkan terpancar dalam setiap bual bicaranya.
Hingga ke akhir hayatnya, beliau tidak pernah jemu menyebut nama isterinya – wanita yang menjadi sumber inspirasinya sejak muda.
Pemergian Cikgu Yusnor Ef adalah kehilangan besar buat dunia seni Melayu.
Namun legasi dan semangatnya akan terus hidup melalui bait-bait liriknya, helaian bukunya dan dokumentari yang membingkiskan sejarah seni kita.
Beliau pernah menulis: “Sebuah bangsa yang buta sejarah, adalah bangsa yang tidak merdeka sepenuhnya.”
Maka marilah kita kenang dan pelajari perjuangan seni Cikgu Yusnor – seorang pejuang budaya, pencinta bahasa dan insan seni sejati.
Al-Fatihah buat Allahyarham Mohammad Noor bin Mohammad Yusofe – Cikgu Yusnor Ef.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg