Topik diikuti
Pergi ke BHkuDisamakan dengan Mahathir-Siti Hasmah, Syed Saddiq akui belum layak
Kisah cinta bersama Bella tidak boleh dibanding dengan pasangan negarawan yang lalui tujuh dekad bersama
Disamakan dengan Mahathir-Siti Hasmah, Syed Saddiq akui belum layak
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menganggap dirinya dan bakal isteri yang merupakan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, tidak layak untuk disamakan dengan pasangan negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang menyamakan kisah cinta mereka seperti pasangan berkenaan, Syed Saddiq, 33 tahun, menegaskan perbandingan tersebut masih terlalu jauh.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamha dan juga Dr Mahathir.
“Tidak dekat pun, malah tidak sampai 1 peratus kerana kalau kita lihat jasa mereka, ia memang luar biasa,” katanya dalam Harian Metro.
Menurut Syed Saddiq, Dr Siti Hasmah ialah tokoh perintis yang wajar dicontohi, terutama dalam bidang perubatan dan pendidikan masyarakat luar bandar.
“Dr Siti Hasmah salah seorang doktor wanita terawal yang memberikan inspirasi kepada wanita.
“Beliau satu-satunya doktor wanita dalam kelompoknya ketika itu di Singapura dan mendapat biasiswa.
“Apabila pulang ke Malaysia untuk berkhidmat, beliau pada awalnya dihantar ke kota, tetapi apabila di dihantar ke kawasan luar bandar selepas itu, beliau tidak mengeluh.
“Beliau turun membantu masyarakat serta memberi kesedaran kepada keluarga di sana tentang pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka.
“Beliau adalah antara yang terawal dan perintis,” katanya.
Menyentuh mengenai Dr Mahathir pula, Syed Saddiq menyifatkan sumbangan mantan Perdana Menteri Malaysia itu yang diberikan kepada negara amat besar dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Tun Dr Mahathir lagilah.
“Saya rasa tidak perlu menyenaraikan satu per satu pencapaian dan jasa beliau kepada negara yang sehingga hari ini kita masih menerima manfaatnya.
“Jadi, sejujurnya, bagi mereka yang berkongsikan perkara ini, saya tahu ia datang daripada niat yang baik.
“Tetapi jawapan kami, kami tidak layak untuk disamakan kerana mereka jauh lebih ke hadapan daripada kami,” katanya.
Malah, Syed Saddiq turut menyifatkan perbandingan dari sudut keutuhan cinta juga masih tidak setara memandangkan usia ikatan perkahwinan yang dibina.
“Saya tahu mungkin ada yang kata, ‘Oh, tetapi bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, mungkin daripada sudut cinta’.
“Itu pun saya rasa kami tidak layak.
“Kerana kami ini baru hendak berkahwin, hendak menghalalkan hubungan.
“Mereka ini sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama.
“Kalau kami diibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama.
“Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin mereka sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh dikongsikan kisah cinta mereka,” katanya.
Syed Saddiq, yang bakal bernikah dengan Bella, 32 tahun, pada 10 Oktober berkata, hubungan rapatnya dengan pasangan negarawan itu mendorongnya untuk mengambil iktibar daripada perjalanan hidup serta nilai-nilai baik yang mereka paparkan.
“Ini sesuatu yang sangat peribadi kerana saya tahu dan kami juga sangat dekat dengan mereka.
“Kami tahu betapa jauh lebih banyak pengalaman dan perjalanan yang mereka lalui berbanding kami.
“Apa yang kami boleh lakukan adalah mendapatkan sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka.
“Jadi, walaupun dalam perkara yang paling kecil, jika kami dapat mengambil walaupun 1 peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah menjadi satu nikmat yang luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengajak orang ramai agar terus mendoakan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah, serta kesihatan Dr Mahathir.
“Dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya berharap kita sentiasa berdoa supaya Allahyarhamha ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di syurga dan terus berdoa supaya Tun Dr Mahathir kembali pulih sepenuhnya.
“Ia bukan satu proses yang mudah untuk beliau sekeluarga.
“Saya berharap dengan doa kita semua serta semangat yang kita berikan, beliau akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” katanya.
“
“Kerana kami ini baru hendak berkahwin, hendak menghalalkan hubungan. Mereka ini sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama. Kalau kami diibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama.”