Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dolla tekad terus berkarya meski berdepan kontroversi

Nov 20, 2025 | 6:54 PM
dolla, question, kontroversi, video muzik
Anggota kumpulan pop wanita Malaysia, Dolla (dari kiri) Tabby (Tabitha Ariel Lam), Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), dan Angel (Angelina Chai), baru sahaja melancarkan single terkini mereka berjudul, ‘Question’. - Foto UNIVERSAL MUSIC SINGAPORE

Kumpulan pop wanita Malaysia, Dolla, bertekad untuk terus berkarya meskipun baru-baru ini dilanda kontroversi berkaitan penurunan muzik video yang mengandungi aksi dan pakaian menjolok mata.

Anggota kumpulan yang popular dengan lagu, DAMELO itu, memberitahu Berita Harian (BH), segala sokongan dan galakan yang diterima – walaupun ketika dalam fasa sukar mahupun di puncak – menjadi dorongan utama yang mengangkat mereka hingga ke tahap kejayaan.

“Walaupun berdepan apa jua drama atau kritikan yang pernah kami terima, melihat peminat memuat naik mesej sokongan, mengetahui mereka menyayangi muzik kami dan apa yang kami lakukan – itulah yang membuatkan kami terus kuat.

“Kami akan terus berkarya selama mana kami mampu,” kata anggota Dolla, Tabitha Ariel Lam, yang mesra dikenali sebagai Tabby dalam satu wawancara menerusi Zoom pada 20 November.

Tabby turut mengimbas kisah seorang peminat di Indonesia yang melalui saat genting ketika Covid-19.

Ketika menerima rawatan di hospital, peminat itu sering mendengar lagu, Watch Me Glow, yang memberi kekuatan kepada peminat itu untuk bertahan.

“Katanya lagu itu membuat beliau rasa lebih bersemangat dan bermotivasi untuk terus bertahan.

“Semakin banyak kisah seperti itu yang kami dengar, semakin gembira kami untuk terus menghasilkan muzik yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain,” tambah Tabby.

Lagu terbaru Dolla berjudul, Question, yang dilancarkan pada 6 November telah mencetuskan kontroversi.

Pada 15 November, video muzik (MV) lagu tersebut telah dipadamkan daripada semua platform setelah beberapa jam dimuat naik.

Video itu mengundang kritikan dan teguran ramai, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Datuk Dr Mohd Na’im menyifatkan pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai, selain tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama di Malaysia, serta meneliti kemungkinan mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap anggota kumpulan itu yang beragama Islam.

Dolla ditubuhkan sejak 2019 dengan debut pertama, Dolla Make You Wanna.

Ia turut dianggotai oleh Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam) dan Angel (Angelina Chai) dan dahulunya, bersama Syasya (Norsyasya Afiqah Shahrizal).

Sabronzo satu-satunya anggota yang beragama Islam.

Dolla memberitahu BH tema MV tersebut diinspirasikan oleh era 90-an, retro dan kumpulan Destiny’s Child dari Amerika Syarikat.

Kumpulan itu berkata lagu, Question, mungkin kedengaran seperti lagu tentang menghadapi pasangan yang curang pada pendengaran pertama.

Namun, di sebalik permukaannya, lagu itu membawa maksud lebih mendalam yang menggambarkan proses berhadapan dengan kesakitan dan kelemahan diri selepas dikecewakan oleh insan yang dicintai, kata kumpulan itu lagi.

Penceritaan video lagu tersebut menggambarkan kesemua anggota kumpulan menyedari mereka ditipu oleh lelaki yang sama, lalu menukar keadaan itu kepada konsep balas dendam.

Mereka turut berkongsi cabaran di belakang tabir, termasuk penggambaran semalaman yang bermula dari 3 petang hingga 10 pagi.

Dolla turut bekerjasama buat kali pertama dengan pereka tari Thailand, Earth-E, yang dikenali dengan beberapa tarian tular di TikTok.

Kumpulan itu kini menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kehadiran mereka di Asia Tenggara, khususnya di Indonesia dan Thailand – negara mereka sudah mempunyai kumpulan peminat yang kukuh.

Walaupun konsert di Singapura sepatutnya berlangsung pada 22 November ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dikemukakan, trio itu berkata penangguhan itu bakal memberi laluan kepada kejutan yang lebih gempak untuk peminat di Singapura tidak lama lagi.

Kini, Dolla sedang berada dalam fasa persiapan konsert mereka di Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember.

Para peminat juga boleh menantikan album mereka yang bakal dilancarkan pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg