Topik diikuti
Pergi ke BHkuDolly Parton meninggal dunia selepas bergelut dengan barah
Ikon muzik ‘country’ itu akhiri perjalanan seni enam dekad penuh warna
Selepas lebih enam dekad mewarnai dunia seni, perjalanan panjang penyanyi, penulis lagu dan pelakon legenda Amerika Syarikat, Dolly Parton, berakhir apabila beliau meninggal dunia pada usia 80 tahun pada 25 Ogos lalu.
Khabar pemergiannya diumumkan anak saudaranya, Bryan Seaver, 50-an tahun, yang menggalas tanggungjawab sebagai pengurus serta pengarah keselamatannya lebih dua dekad, menerusi satu rakaman video yang dikongsi di laman Instagram, bagi pihak keluarga Parton.
Menurut laporan New York Times, punca kematian Parton disebabkan barah, tanpa diketahui jenisnya.
Sebelum ini, Parton dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt di Nashville pada 21 Ogos, susulan masalah berkaitan buah pinggang dan autoimun.
Parton, yang dilahirkan pada 19 Januari 1946 di Tennessee, dikenali sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah muzik ‘country’ dengan deretan lagu hit termasuk Jolene, I Will Always Love You, 9 to 5 dan Coat of Many Colors.
Selain kejayaan dalam bidang muzik, Parton mencipta nama di Hollywood menerusi filem seperti Steel Magnolias dan The Best Little Whorehouse in Texas, selain membangunkan taman tema terkenal, Dollywood, di Tennessee.
Sepanjang hayatnya, Parton turut menulis 3,000 lagu dan menyumbangkan jutaan dolar kepada badan kebajikan di negeri kelahirannya serta kawasan lain.
Beliau juga dikenang atas sumbangan kebajikan, khususnya melalui program Imagination Library yang menyediakan buku percuma kepada kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca.
Dalam kenyataan keluarga, Seaver menyifatkan mendiang sebagai individu yang membuka peluang kepada generasi pemuzik, penulis lagu dan peminat di seluruh dunia untuk mengejar impian mereka.
Sebelum kematiannya, Parton dilaporkan berdepan beberapa masalah kesihatan yang menyebabkan beliau menangguhkan dan kemudian membatalkan beberapa penampilan awam serta persembahan.
Pemergian Parton mengundang limpahan ucapan takziah daripada peminat serta rakan industri yang mengenangnya sebagai ikon budaya dan antara tokoh paling disayangi dalam sejarah muzik Amerika.
Penghormatan turut mencurah buat ikon muzik itu yang sepanjang lebih enam dekad berkarya, meraih 10 Anugerah Grammy dan 13 Anugerah Academy of Country Music (ACM).
Lebih mengharukan lagi, Presiden Donald Trump mengarahkan bendera Amerika dikibarkan separuh tiang di seluruh negara selama seminggu, sambil menyifatkan pemergian Parton sebagai ‘kehilangan besar bagi jutaan orang’.
“Tidak pernah ada insan sepertinya dan tidak akan ada lagi,” tulis Trump di rangkaian sosial, Truth Social, miliknya.
