Tatkala soalan klise, ‘Raya Nak Ke Mana?’ diajukan, fikiran saya segera melayang kepada melodi segar lagu Lebaran nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, ciptaan penyanyi dan komposer muda berbakat, Aisha Retno.
Lagu yang baru sahaja dilancarkan itu, terus berputar di minda dengan kembalinya suasana Syawal yang dinantikan ramai setiap tahun.
Menjengah ke laman media sosial, wajah ceria artis dan selebriti serantau menghiasi garis masa musim perayaan.
Ada yang pulang ke kampung halaman dan ada juga yang memilih untuk menyambut Lebaran di negara orang.
Dalam limpahan gambar dan rakaman detik penuh kemeriahan itu, timbul satu persoalan dalam benak fikiran, ‘Mana lebih seronok? Sambut Aidilfitri di kampung halaman atau di luar negara?’.
Dalam kalangan masyarakat Nusantara, budaya mudik atau pulang ke kampung sewaktu Aidilfitri merupakan satu tradisi yang masih kukuh.
Dari Malaysia, pelakon filem, Polis Evo, Polis Evo 2 dan Polis Evo 3, Shaheizy Sam, 43 tahun, teruja menyambut Syawal bersama keluarga di kampung halaman iaitu di Melaka dan Pulau Pinang, Malaysia, pada Syawal pertama dan ketiga.
Demikian kata Sam dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM), yang merindukan suasana menyambut Syawal di kampungnya.
Sementara itu, penyanyi runut bunyi filem, Ombak Rindu, Adira Suhaimi, 33 tahun, turut menyambut Aidilfitri di kampung halaman, Sabah, Malaysia, bersama empat anaknya iaitu, Anggrek, tujuh tahun; Asan, enam tahun; Anggun, lima tahun; dan Ayob, tiga tahun, biarpun kini bergelar ibu tunggal.
Sedang artis Malaysia sibuk mudik, ada juga dalam kalangan selebriti, khususnya di Indonesia, yang memilih menyambut Aidilfitri di luar negara, sekali gus memperlihatkan perspektif baru dalam budaya sambutan perayaan penuh bahagia ini.
Sebagai contoh, diva Indonesia, Krisdayanti, 50 tahun, bersama suaminya, Raul Lemos, usahawan dari Timor Leste, serta dua anak mereka; Amora Lemos, 13 tahun, dan Kellen Lemos, 12 tahun, menyambut Aidilfitri di Singapura pada 2025.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Krisdayanti atau lebih mesra dikenali sebagai KD, berkongsi detik manis menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Al-Falah, sambil bergaul dengan masyarakat setempat dalam suasana yang sederhana namun penuh makna.
Manakala, bekas suaminya pula, Anang Hermansyah, 56 tahun, yang telah mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama penyanyi Indonesia, Ashanty, pada 2012, turut memilih untuk mengembara ke Eropah pada Aidilfitri 2025.
Dari Portugal yang kaya dengan sejarah, hingga ke Sepanyol yang memikat dengan seni binanya.
Setiap tahun, saya akan mengikuti perjalanan keluarga selebriti itu untuk mengintai destinasi yang menjadi persinggahan mereka setiap Syawal, apatah lagi pada 2024, mereka memilih Madinah sebagai tempat sambutan Aidilfitri.
Melihat trend ini, bagi saya, ia mencerminkan kepelbagaian cara menyambut Lebaran dalam kalangan artis serantau.
Sama ada demi mendapatkan rehat seketika, menghargai ruang peribadi, ataupun keinginan untuk rasakan suasana Aidilfitri dalam latar budaya yang berlainan – kecenderungan ini semakin jelas kelihatan di media sosial dan dalam lingkungan industri hiburan.
Selain itu, perbezaan budaya juga mungkin memainkan peranan kerana masyarakat Indonesia, misalnya, lebih menumpukan sambutan pada hari pertama Syawal.
Manakala di Malaysia dan Singapura, Aidilfitri diraikan sepanjang bulan untuk kunjung-mengunjung rumah sanak saudara dan bersilaturahim di bulan penuh kesyukuran dan keinsafan ini.
Tidak kira di mana-mana pun Syawal disambut, sama ada di kampung halaman atau di negara asing, yang paling penting adalah nilai kekeluargaan dan kesyukuran yang menyatukan kita bersama.
Namun begitu, sebagaimana pepatah lama menyebut, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tanah tumpah darah sendiri tetap paling dekat di hati.
Saya rasa tiada yang lebih menyentuh rasa, selain berkumpul ketika Syawal menjelma sambil menikmati rendang, ayam masak merah, sambal goreng dan ketupat di tengah-tengah gelak ketawa keluarga tercinta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg