Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua tahun tanpa tawaran, pelakon komedi M’sia, Syanie, tetap positif

Lebih banyak interaksi dengan peminat melalui TikTok, selain urus niaga makanan
Nov 14, 2025 | 2:32 PM
syanie hisham
Pelakon popular, Syanie Hisham, yang pernah berlakon dalam filem, Laila Isabella, mengakui sudah lama tidak mendapat tawaran berlakon daripada pihak produksi tempatan. Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mendekatkan diri dengan peminat melalui media sosial. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK SYANIE HISHAM

Pelakon Malaysia, Syanie Hisham, 51 tahun, yang popular dengan watak komedi, mengakui sudah hampir dua tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon, baik untuk drama mahupun filem.

Bintang yang pernah mencuit hati penonton menerusi filem komedi bersama kumpulan pelawak Senario seperti, Jaga-Jaga Senario Union itu berkata, keadaan itu agak janggal buat dirinya, namun beliau menerimanya dengan hati terbuka.

“Januari tahun depan (2026) genap dua tahun saya tak berlakon. Tiada drama, tiada filem, langsung tiada tawaran.

“Nak kata saya berhenti berlakon, tidak… Tapi pelik juga bila fikir, takkan orang dah tak ingat kita,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) di majlis pelancaran buku, P Ramlee Kisah Tanpa Noktah, di bistro Saloma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Mungkin sebab saya berbadan begini dan sudah bertudung, agak susah nak sesuaikan watak. Tapi saya tak mahu berprasangka. Saya lebih suka berfikir positif,” tambah beliau.

Pelakon itu menjelaskan, beliau kini lebih banyak meluangkan masa berinteraksi dengan peminat melalui siaran langsung di TikTok, selain menguruskan perniagaan makanan.

“Saya buat ‘live’ di TikTok sebab ramai yang rindu nak tengok saya dan nak tahu apa yang saya buat sekarang.

“Melalui platform itu, saya berkongsi cerita dan pengalaman dengan peminat, jadi tak perlulah saya ulang jawapan setiap kali orang tanya saya masih berlakon atau tidak,” ujarnya.

Syanie mengakui, beliau sebenarnya rindu suasana di set penggambaran, termasuk sesi latihan dialog dan arahan ‘action’ pengarah yang meminta lakonan dimulakan.

“Kalau dapat berlakon pun, saya tak perlukan watak besar. Cukup sekadar watak sampingan, asalkan saya masih berada dalam industri ini.

“Alhamdulillah, karya lama saya masih ditayangkan sampai sekarang,” katanya.

Syanie kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem, Budak Flat, yang ditayangkan pada 2023.

Bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia (musim kedua) itu berkata, beliau tidak pernah berasa kecil hati atau kesal, sebaliknya percaya rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk.

“Kecil hati itu tidak, tapi sedih itu ada. Tapi saya percaya, rezeki tak pernah salah alamat.

“Kadang-kadang rezeki bukan daripada berlakon, tapi daripada perniagaan atau ulasan produk yang saya buat. Alhamdulillah, itu pun membantu jana pendapatan juga,” katanya.

Dalam masa yang sama, Syanie bersyukur kerana ibunya, Ruhani Abd Rahman, 77 tahun, yang pernah aktif sebagai penerbit drama dan filem, sentiasa memberikan sokongan moral.

Malah, pada majlis pelancaran buku berkenaan, Syanie turut ditemani ibunya.

“Saya tinggal dengan ibu, jadi kami memang selalu bersama. Ibu pun sihat, cuma tak boleh berjalan jauh sebab kedua-dua lututnya baru dibedah tahun lalu (2024).

“Tapi beliau aktif ikut program tadarus dan aktiviti bersama rakan-rakannya,” katanya.

Mengulas mengenai kerjaya ibunya, Syanie menjelaskan, Ruhani sudah lebih sedekad tidak lagi aktif mengusahakan syarikat produksinya, Nizarman Sdn Bhd, dan tidak bercadang memperbaharui lesen.

“Sudah lebih 10 tahun ibu tak jalankan produksi. Sekarang penerbit terlalu ramai dan nak dapat peluang pun susah.

“Ibu pernah suruh saya ambil alih, tapi saya tak mahu pening kepala. Satu ‘job’ pun kadang tak cukup nak tampung kos produksi,” kongsinya.

Ruhani menerusi syarikatnya, Nizarman Sdn Bhd, pernah menghasilkan beberapa filem bermutu tinggi yang diangkat di persada Festival Filem Malaysia (FFM).

Antaranya adalah Bintang Malam yang memenangi lapan trofi di FFM ke-10 termasuk Filem Terbaik, selain XX Ray, XX Ray II, dan Hanya Kawan (1997), arahan Pengarah Harapan FFM ke-13, pelawak Harith Iskander.

Ruhani juga berani meneroka genre baru menerusi filem, Qaisy dan Laila (2005), dihasilkan bersama penulis prolifik, Datuk Habsah Hassan, yang mengangkat tema perjuangan dan kemanusiaan berlatarkan konflik di Afghanistan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg