Pernahkah anda terfikir apakah yang berada di minda penulis dan pengarah terkenal Singapura, M Raihan Halim, sewaktu beliau menghasilkan skrip filemnya?
Bagaimanakah beliau mendapat idea-idea baru dan menarik untuk menghasilkan filem yang disifatkan kadangkala mencabar stereotaip dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan?
Itulah antara inti pati yang dikongsikan oleh pengasas bersama syarikat penerbitan Papahan Films dalam ceramah atau sesi masterclass yang diberi mana Dari Skrip ke Layar Perak.
Selama satu setengah jam, para hadirin dapat mendengar kisah menarik yang menjadi inspirasi atau permulaan bagi ketiga-tiga filem komersialnya iaitu Banting (2014), La Luna (2023) dan Badak, yang baru mula tayangan di Singapura pada 16 Oktober lalu.
Sesi yang diadakan di The Screening Room yang terletak di The Arts House pada 9 November lalu merupakan antara acara khas sempena Pesta Penulis Singapura 2025 (SWF) yang berlangsung dari 7 hingga 16 November.
SWF 2025 menampilkan lebih 200 program termasuk sesi bacaan, persembahan, pameran dan ceramah dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil.
Dengan tema ‘Bentuk Perkara yang Akan Datang’ atau Shape of Things to Come, ia mengajak para hadirin untuk membayangkan masa depan dengan harapan, keberanian dan penuh imaginasi, sedang negara ini meraikan kemerdekaannya yang ke-60 (SG60).
Dimulakan pada 1986, SWF merupakan acara dwitahunan yang meraikan bakat penulis tempatan dan dari Asia Tenggara.
Semasa ceramah tersebut, Raihan turut mengongsikan kepada para hadirin jurnal dan catatannya semasa beliau sedang bekerja di set penggambaran bagi setiap filemnya.
Nota yang membantu dalam proses kreatifnya itu dianggap sebagai sesuatu cukup peribadi.
Mengupas mengenai filem Banting, Raihan, 43 tahun, berkata mungkin ramai tertanya-tanya kenapa beliau sebagai seorang pengarah filem lelaki ingin menulis naskhah mengenai seorang wanita berhijab yang mempunyai minat dalam sukan gusti.
Sebenarnya, ia merupakan respons kepada diri remajanya yang seakan ‘memberontak’ apabila ibu bapanya kurang setuju dengan impiannya untuk menjadi pengarah dan penerbit filem.
Bagi filem La Luna yang dibintangi pelakon Malaysia, Sharifah Amani dan Shaheizy Sam, idea itu tercetus selepas Raihan membaca satu laporan akhbar mengenai kedai pakaian dalaman wanita yang mengalami kebakaran di Timur Tengah.
Beliau cuba mencari jawapan mengapa kedai itu telah dijilat api namun tiada jawapan kukuh. Lantas, La Luna dicipta sebagai satu ‘jawapan’ bagi dirinya.
Raihan mengakui kehidupan peribadinya turut mempengaruhi cara beliau menulis jalan cerita sesebuah naskhah.
Watak ketua polis, Salihin Arshad (lakonan Shaheizy) dalam La Luna merupakan seorang bapa tunggal.
Ia dipengaruhi dengan diri Raihan yang pernah mengalami penceraian dan pengalamannya membesar dengan ibu bapanya bercerai ketika dirinya masih di bangku sekolah.
Sesi tersebut turut memberi peluang kepada para hadirin untuk mengajukan soalan kepada pengarah itu.
Antara soalan yang ditanya termasuk mengapa beliau sering menggunakan nama ‘Salihin’ bagi watak dalam filem atau dramanya.
Raihan berkata ia bermula dengan drama televisyen pertamanya, Yazid Pakai Lampin yang mana watak utamanya bernama Yazid Salihin.
Selepas itu, ia menjadi seperti satu ‘keperluan’ untuk beliau menggunakan nama Salihin bagi salah satu watak dalam naskhahnya.
Merumuskan sesi ceramah itu, Raihan menggalak semua penulis filem baru untuk menghasilkan karya yang boleh membuat diri mereka sendiri menghayati emosi dan mesejnya yang ingin disampaikan dahulu.
Beliau berkata sebagai penulis mereka tidak seharusnya menulis dengan harapan semata-mata untuk membuat para penonton terharu dengan jalan ceritanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai SWF 2025 dan acara yang bakal diadakan sila ke laman www.singaporewritersfestival.com atau ke akaun Instagram @sgwritersfest.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg