Seorang pelakon ‘otai’ atau berpengalaman tidak memerlukan banyak usaha untuk menjiwai watak dalam naskhah drama mahupun filem.
Ibarat masuk ‘kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum’ – apapun cabaran atau tuntutan watak yang diberikan, pastinya dapat disesuaikan dengan penuh keyakinan dan karisma, mengikut rentak naskhah yang dibawa.
Begitulah yang dirasakan penulis Berita Minggu (BM) ketika berpeluang bertemu dengan pelakon veteran, Wan Hanafi Su, 75 tahun, baru-baru ini di ruang istirahat Gold Class pawagam Golden Village, Suntec City, sempena sesi tayangan eksklusif filem Badak, terbitan Papahan Films di Singapura.
Susulan kejayaan filem La Luna pada 2023, yang mana Wan Hanafi membawakan watak Tok Hassan, ketua kampung yang menyekat kemajuan dalam kampung Bras Basah, kini beliau kembali beraksi dalam filem Badak.
Filem Badak, arahan M. Raihan Halim, mengisahkan seorang bapa pekak dan bisu, Salihin Aziz atau ‘Badak’ (lakonan Shaheizy Sam), yang membesarkan anak tunggalnya, Mirah (Aida Amron), seorang diri dan turut bergelut dengan peranan kebapaan akibat kekosongan figura ayah dalam hidupnya.
Sementara itu, Mirah amat mencintai bidang muzik, mewarisi minat daripada datuknya, seorang penyanyi veteran yang dilakonkan oleh Wan Hanafi.
Dalam sebuah karya seni, pelakon filem Blood Brothers itu juga menekankan betapa pentingnya kesefahaman antara pengarah dengan pelakon untuk menghasilkan lakonan yang kukuh dan selaras dengan kehendak naskhah.
“Raihan seorang pengarah yang faham apa yang saya buat, termasuk apa yang saya tak buat.
“Jarang sekali saya berpeluang bertemu pengarah seperti dirinya.
“Bagi saya, ketika ada persefahaman itu, lebih mudah untuk kami meneroka lebih teliti naskhah yang dibawakan.
“Raihan juga bukanlah pengarah yang meminta pelakon melakukan perkara yang beliau inginkan sahaja.
“Kadangkala, ada juga perkara yang beliau ingin saya lakukan, tetapi saya tolak terutama dalam La Luna, ketika saya membawakan watak Tok Hassan.
“Saya kata, ‘Bagi Ayah buat dulu, nanti kamu lihat mana lebih baik’.
“Alhamdulillah, beliau terima dan suka apa yang saya lakukan,” kata Wan Hanafi, yang lebih mesra disapa ‘Ayah’.
Sepanjang 47 tahun bergelar anak seni, beliau turut berkata filem arahan Raihan itu berjaya menyentuh perasaannya secara peribadi, membawa perspektif segar pada peranan dan emosi seorang bapa.
Selain itu, watak yang dilakonkan oleh Wan Hanafi itu turut membawa cabaran tersendiri, kerana perlu menjiwai emosi seorang ayah yang terlalu ego untuk memahami dunia anaknya yang pekak.
“Menariknya tentang Badak, Raihan cuba memaparkan perbezaan tiga generasi – datuk, ayah dan anak.
“Yang berbeza ialah watak Badak seorang yang pekak dan bisu. Namun, pastinya ketiga-tiga watak ini mempunyai ego masing-masing.
“Lebih-lebih lagi sebagai seorang datuk dan ayah, saya faham didikan yang tidak mengikut acuan sendiri – tetapi lebih kepada melepaskan anak untuk meniti kehidupan secara berdikari.
“Dalam Badak, watak datuk juga ada egonya. Dia faham apa yang dilalui anaknya (Badak), hanya sahaja pura-pura tak faham.
“Ini supaya Badak dapat selesaikan masalah hubungan dan perselisihan faham dengan anaknya, Mirah, sendiri,” kata Wan Hanafi lagi.
Menyentuh gandingannya bersama pelakon prolifik, Shaheizy Sam, 43 tahun, pelakon asal Besut, Terengganu itu, akur mereka memiliki ‘chemistry’ atau keserasian dalam lakonan yang cukup istimewa.
Kali pertama Wan Hanafi bekerjasama dengan Shaheizy adalah menerusi filem aksi jenayah, Kisah Paling Gangster, pada 2013.
“Saya mengenali Shaheizy ketika bekerjasama buat kali pertama dalam filem, Kisah Paling Gangster.
“Kami berdua mempunyai ‘chemistry’ yang sangat erat dan mesra.
“Walaupun dalam filem Badak kami tidak banyak bertutur melalui dialog, kami tetap mampu menunjukkan keserasian hubungan antara bapa dan anak dengan jelas,” ulasnya.
Dengan pengalaman luas yang digarap sepanjang kerjaya dalam bidang lakonan, baik dalam naskhah drama atau di layar perak, Wan Hanafi pastinya telah menyaksikan perkembangan dunia perfileman sejak era 1970-an hingga kini.
Bagaimanapun, beliau berpendapat filem yang sarat dengan pesanan seperti Badak, berpotensi membuka mata penonton serta menyampaikan pengajaran yang mendalam kepada masyarakat.
“Ada kalanya, saya rasa risau juga dengan trend semasa. Tetapi, ia juga tergantung kepada jenis filem yang ingin penonton lihat.
“Sebagai contoh, apabila seseorang sudah mencipta ‘trademark’ atau identiti tersendiri dalam filem aksi, maka arah karya seterusnya cenderung ke arah genre tersebut.
“Namun, jika terlalu banyak menghasilkan filem aksi pun, itu tidak bagus juga.
“Maka, dengan kemunculan filem Badak ini, ia membawa satu kesedaran baru dan industri perfileman Malaysia juga seharusnya memberi tumpuan kepada isu dan kisah yang menggambarkan realiti kehidupan, terutama berkaitan cabaran dalam sesebuah keluarga.
“Dengan cara itu, karya sebegini dapat menjadi cerminan yang mengajak penonton merenung serta memperluas sudut pandang mereka,” ujar Wan Hanafi yang pernah terlibat dalam penerbitan Singapura berjudul, Apprentice, pada 2016.
Apabila ditanya BM sama ada beliau sanggup mengorbankan rambut panjang demi watak, Wan Hanafi dengan pantas mengakui pernah berbuat demikian untuk telefilem Airmata Papa, pada 2005.
“Pernah sekali, saya disuruh botak! Waktu itu saya lakukan untuk telefilem Airmata Papa.
“Dalam karya itu, saya tidak ada dialog pun kerana watak yang saya bawakan memiliki trauma, membuatkannya tak boleh bercakap.
“Jadi, untuk membuat penampilan watak itu kelihatan menyerlah, saya melakukan perkara di luar jangkaan iaitu mengorbankan rambut panjang saya,” kata Wan Hanafi.
Badak kini boleh ditonton di Singapura. Ia hanya ditayangkan di beberapa pawagam Golden Village iaitu, GV Vivocity, GV Plaza, GV Tampines dan GV Yishun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg