Elak lelah tonton Gegar Vaganza dengan pembaharuan, ubah suai format

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elak lelah tonton Gegar Vaganza dengan pembaharuan, ubah suai format

Antara usulan asingkan kategori solo dan kumpulan; padan peserta ‘otai’ dengan komposer Gen-Z; adakan peringkat saringan pilih wakil S’pura, Indonesia
Jan 27, 2026 | 5:30 AM

Elak lelah tonton Gegar Vaganza dengan pembaharuan, ubah suai format

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mendua, yang dianggotai (dari kiri) Marisha Friska Halauwet, Hendra Purnanto (Pungky) dan Diana Puspitasari, memilki mutu kumpulan yang mampu memberi takrifan segar pada setiap lagu orang lain yang dinyanyikan.
Mendua, yang dianggotai (dari kiri) Marisha Friska Halauwet, Hendra Purnanto (Pungky) dan Diana Puspitasari, memilki mutu kumpulan yang mampu memberi takrifan segar pada setiap lagu orang lain yang dinyanyikan. - Foto ASTRO

Di kala ‘demam’ Gegar Vaganza 12 (GV12) sudah pun reda dengan terlabuhnya tirai pertandingan akhir program realiti kesukaan ramai itu pada 18 Januari lalu, saya dan beberapa teman peminat rancangan tersebut mula memikirkan apa lagi yang boleh ditambah baik.

Ini memandangkan jenama besar GV yang sudah dikenali di Nusantara, mencakupi lautan penonton di Singapura dan Indonesia, sudah bertahan selama 12 edisi dan wajar dikembangkan lagi termasuk melibatkan peserta Korea Selatan, Thailand, Filipina, Jepun, mahupun Brunei.

Kalau saban tahun bersandarkan format yang sama di samping mengekalkan barisan pengadil yang serupa, penonton pun boleh naik bosan juga, bagaimana menarik dan menghiburkan pun rancangan ini.

Bagi saya, satu perkara yang ketara adalah perlunya mengasingkan kategori solo dan kumpulan sebab ia ibarat membandingkan antara buah epal dan buah pir.

Kalau masuk gelanggang pertandingan, peserta solo hanya perlu mengawal suaranya sahaja. Tapi peserta dalam sesebuah kumpulan perlu menyelaras keharmonian suara mereka dan memastikan semuanya selari, dengan bait-bait lirik dibahagi sama rata dan seimbang.

Mungkin ketika kumpulan seperti Elite, Kool, Eva, The Lima, Senario, One Nation Emcees dan Indigo masuk bertanding, penonton setia tidak begitu merasakan perlunya mengasingkan kategori solo daripada kumpulan atau duo.

Sebabnya, kerapkali belum apa-apa, kumpulan sudah tersingkir dahulu kerana kurangnya sinergi dan kemantapan suara.

Hanya One Nation Emcees dan The Lima sahaja yang masuk ke pusingan akhir. Itu pun persembahan mereka bak ada pasang surut dan tidak konsisten. Kadang di atas, kadang di bawah.

Namun, bagi GV12, saya merasakan kumpulan yang bersaing mempunyai kelebihan yang tidak boleh diabaikan, baik Mendua mahupun Freshies yang langkahnya terhenti di peringkat suku akhir.

Kumpulan Mendua, yang terdiri daripada pemuzik dan vokalis latar dan padu suara Kahitna, Hendra Purnanto (Pungky), 47 tahun serta Marisha Friska Halauwet (Sasha), 43 tahun, seorang pakar bedah dan Diana Puspitasari, 43 tahun, usahawan makanan organik, cukup mengagumkan saya secara peribadi.

Ini selari dengan pandangan juri yang sentiasa merasakan mereka ada penjiwaan atau ‘feel’, peserta Indonesia terbaik dan kumpulan terbaik dalam kalangan bintang GV dari 12 edisi pertandingan.

Mereka yang menyepi dan tidak aktif sebagai sebuah kumpulan sejak 2008 merupakan juara pada Konsert Pertama, di mana mereka mengembalikan nostalgia lagu inspirasi, Hampir Ke Situ, yang dijadikan runut bunyi (OST) filem Duyung.

Selepas itu, mereka berada di lima tangga teratas, bahkan muncul juara lagi sewaktu membawakan lagu Bila Resah dan Terlalu Istimewa.

Apa yang menakjubkan, kededua Sasha dan Diana masih ligat menari meskipun sudah meninggalkan pentas hiburan selama 18 tahun untuk memburu kerjaya dan impian masing-masing serta membangun keluarga kecil mereka.

Pungky pula selalu dipuji kerana suaranya yang menenangkan dan dikatakan persis Anuar Zain.

Pendek kata, berbanding beberapa peserta lain yang masih aktif menyanyi dan tidak merakam lagu baru, mereka yang mungkin tidak pernah terfikir untuk berkarya lagi ada dinamisme, profesionalisme dan sinergi persembahan yang sayang, kalau tidak diteruskan selepas GV12.

Saya anggap mereka ‘ada kelas’ ketika dicabar menyanyikan lagu opera Pavarotti, Nessun Dorma, yang hanya peserta tertentu sahaja mampu bawakan. 

Cuma dalam pusingan duet konsert akhir, pembahagian lagu Billie Jean (lagu asal Michael Jackson), membuatkan Mendua kelihatan sedikit tenggelam dan bagai hanya mengiringi Marsha Milan dalam persembahannya.

Saya kira kalau beri Sasha dan Diana sedikit daripada bahagian solo Marsha, pastinya tidak mengecewakan juga.

Pastinya berbeza dengan duet ‘power’ Iskandar dan Jaclyn Victor bagi lagu Senja Nan Merah kerana pembahagian nyanyian (lelaki dan wanita) lebih seimbang seperti lagu asal Datuk Awie dan Ziana Zain.

Mendua, dalam pada itu, sering tampil dengan busana yang cantik dan kemas, menampakkan keanggunan Sasha dan Diana yang saya sifatkan masih ada ‘groove’ untuk menjadi penghibur bermutu.

Justeru, Mendua memang disebut-sebut bakal juara, bahkan memberi cabaran hebat buat juara GV12, Iskandar Ismail, dari Singapura.

Di dalam saya bersorak untuk Iskandar (orang Singapura menang lagi!) sambil mengenang wawancara saya dengannya semasa beliau bergelar juara SG Mania pada 2014 dibuat ketika sama-sama berjalan di tempat meletak kereta Caldecott Hill (bangunan Mediacorp lama), saya juga menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan Mendua sebagai Naib Juara GV12.

Malahan, saya berharap benar jika Astro boleh memperkenalkan program All Stars Group Gegar Vaganza, sebagaimana diadakan program All Stars Gegar Vaganza sebelum ini.

Ini adalah bagi mengiktiraf usaha kumpulan, baik berdua, bertiga, berempat atau berlima.

 Artis solo mungkin mempertaruhkan kehadiran pentas dan lontaran suara yang bertenaga seperti Iskandar.

Bagi Mendua, seandainya salah seorang anggota mempunyai nada suara ‘ke laut’, pastinya ia akan menggagalkan peluang mereka untuk mara ke pusingan selanjutnya.

Ini menjadi perbincangan tentang kumpulan Freshies yang terdiri daripada ibu saudara, Shima, 52 tahun dan anak saudaranya, Ejie, 51 tahun.

Ada ramai juga netizen yang menyatakan Ejie boleh bawa Freshies ke depan kerana suaranya yang masih lunak tetapi Shima kadangkala ‘lambat masuk’, tersilap tempo atau tidak menampakkan keyakinan diri.

Namun, bagi saya, Freshies tetap segar dalam GV12 dan memberi harapan kepada golongan ‘50 sen’ mereka masih mampu menari penuh gaya seperti zaman anak dara dahulu.

Dinamika sesebuah kumpulan harus dijadikan antara kriteria pengadilan. Mereka boleh dapat markah bonus 20 peratus dalam penilaian kalau sinergi mereka sebaik Mendua yang memang versatil dan akan beri sehabis baik dalam apa jua genre yang ditugaskan.

Memandangkan sudah ada peserta Singapura dan Indonesia secara konsisten saban tahun, saya juga mengharapkan bahang pertandingan dapat ditambah dengan mengadakan pusingan pemilihan di negara masing-masing.

Harus ada pasukan khusus (pihak pengurusan dari seberang pun boleh), yang dapat membantu mencorak dan mempersiapkan peserta wakil negara untuk GV12. Bukanlah nak pisahkan serumpun bangsa tetapi bukankah menarik jika kita dapat sokong peserta dari negara sendiri sampai jadi wakil negara ke GV.

Ada yang bimbang cogan kata ‘Otai masih berbisa’ jadi lemau jika dah kehabisan idea untuk perkukuh jenama GV dan mendapat peserta yang benar-benar ‘otai’ (berusia 50-an tahun ke atas).

Memang seronok bernostalgia dengan lagu lama yang menaikkan nama bintang GV dahulu.

Tapi mungkin kalau matlamat program ini adalah bagi menyuntik kesegaran dan meniup semangat baru dalam diri mereka untuk terus bertahan dalam era digital, satu pusingan pada peringkat separuh akhir atau akhir boleh diperkenalkan.

Bintang GV boleh digandingkan dengan penggubah lagu dan penulis lirik Generasi Z. Bikin lagu baru yang kemudian boleh dirakam bagi pendengaran di Spotify atau YouTube.

Nak beri versi ‘remix’ pada lagu lama mereka pun boleh bagi satu proses eksperimen yang lumayan. Kemudian minta peminat dan netizen undi lagu mana paling berkenan sebagai santapan halwa telinga.

Pastinya seronok kalau ada pembaharuan pada format GV. Dah nak masuk GV13...takkan tang tu, tang tu sahaja? Takut timbul pula masalah ‘GV Fatigue’ atau kelelahan dalam menonton GV.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg