Naib Juara GV12, Mendua, janji takkan ‘menghilang’ lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib Juara GV12, Mendua, janji takkan ‘menghilang’ lagi

Ingin karya seterusnya dapat sambutan semeriah lagu hit, ‘Hampir Ke Situ’
Jan 21, 2026 | 5:30 AM

Naib Juara GV12, Mendua, janji takkan ‘menghilang’ lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mendua, gv12, naib juara
Walaupun sudah hampir dua dekad tidak sepentas, persahabatan Naib Juara GV12, Mendua yang dianggotai oleh (dari kiri) Diana Puspitasari, Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) tetap kukuh. Kini, mereka bersemangat untuk kembali ke dunia seni dengan karya baru. - Foto ASTRO

Walaupun sudah hampir dua dekad tidak sepentas, persahabatan kumpulan Mendua yang dianggotai oleh Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari tetap kukuh. 

Kini, ikatan itu menjadi lebih manis apabila mereka muncul sebagai Naib Juara dalam pertandingan realiti Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12).

Apakah rahsia persahabatan erat Mendua, bak bukit sama didaki, lurah sama dituruni itu?

Dengan penuh keghairahan, Pungky, 47 tahun, berkata kepada Berita Harian (BH):

“Sebenarnya, tiada rahsia di sebalik persahabatan kami yang cukup erat. Kalau ditanya, saya juga bingung.

“Mungkin, keserasian yang ada, membuat kami senang bekerjasama antara satu sama lain.

“Pada awal penyertaan dalam GV12, kami akur alami sedikit keraguan kerana sudah lebih 18 tahun tidak menyanyi bersama. 

“Persoalan, ‘Mampukah kami maju ke hadapan sebagai satu kumpulan?’ sering bermain di fikiran.

“Tetapi, sepertinya kami mampu menempuh perjalanan itu dengan baik, hinggalah menjadi Naib Juara GV12.”

Wawancara bersama wartawan BH itu diadakan semasa sidang media akhir GV12 di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, pada 18 Januari.

Hasil kemenangan tempat kedua dalam GV12, Mendua berhasil membawa pulang piala berserta hadiah wang tunai bernilai RM50,000 ($15,951).

Dalam pusingan akhir itu, persembahan mereka yang memukau melalui lagu Judika, Jikalau Kau Cinta, turut meraih pujian daripada juri tetap, Hetty Koes Endang, dengan menggelarkan Mendua sebagai ‘kumpulan terbaik’ yang pernah disaksikan di pentas Gegar Vaganza (GV).

Mereka turut berpadu suara dengan penyanyi berketurunan Sabah, Marsha Milan, menerusi lagu Michael Jackson, Billie Jean.

Bagi Sasha, 43 tahun, pula, beliau berkata kunci persahabatan yang baik bergantung kepada keupayaan untuk menghormati antara satu sama lain dan saling memahami keadaan masing-masing, khususnya dalam kerjaya dan kehidupan peribadi setiap anggota.

“Ini juga boleh dijadikan pelajaran buat semua, yang mana dalam persahabatan, kita tidak semestinya perlu sentiasa bertemu. 

“Sebelum ini, ada kalanya saya berjumpa dengan Pungky di Indonesia, namun dengan Diana pula jarang kerana masing-masing sibuk.

“Namun, apabila kami kembali bersatu di pentas GV12, langsung tidak ada rasa janggal. 

“Sehingga kini pun, tidak pernah ada detik kami bergaduh atau bermasam muka sehingga tidak bertegur sapa,” ujar Sasha.

Bercerita lanjut mengenai haluan kerjaya yang kini mengisi kehidupan anggota Mendua, yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kurang aktif dalam dunia seni selepas penyertaan dalam program realiti TV3, Gang Starz (2007), Sasha berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai doktor bedah umum.

“Sejak awal, saya memang sudah tertarik untuk menceburi bidang kesihatan dan gemar merawat pesakit, apatah lagi kerana ayah saya juga seorang doktor yang menjadi inspirasi saya. 

“Namun begitu, pada masa sama, minat dan semangat saya sebenarnya terletak pada bidang nyanyian. 

“Lebih menariknya lagi, selepas selesai kuliah dalam bidang kedoktoran, minat bernyanyi semakin bertambah pula.

“Ada kalanya, ketika berada di tengah-tengah prosedur pembedahan, saya akan bersenandung kecil bagi mengurangkan tekanan pada diri dan juga pesakit,” cerita Sasha.

Sementara itu, Diana, 43 tahun, ibu tiga anak berusia antara tujuh dengan 15 tahun, memilih untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan buah-buahan dan makanan sihat.

“Sama seperti Sasha, saya berminat dalam bidang kesihatan. Kalau Sasha dalam bidang kedoktoran, saya pula dalam bidang bisnes.

“Saya menguruskan serta mengimport makanan organik dan pelbagai jenis buah-buahan.

“Ini kerana, di Indonesia agak sukar untuk mendapatkan makanan yang organik dan sihat, justeru timbul idea untuk dijadikan peluang perniagaan,” ujar Diana.

Pungky pula kekal dalam bidang seni suara di Indonesia.

Sebelum ini, beliau aktif menjadi penyanyi latar bagi penyanyi ternama Indonesia seperti Krisdayanti dan Rossa. 

Beliau juga merupakan vokalis tambahan bagi kumpulan vokal Indonesia, Kahitna, sekali gus menggantikan vokalis utama, mendiang Carlo Saba, yang meninggal dunia pada 2023 akibat serangan jantung. 

Kahitna merupakan kumpulan vokal yang diasaskan oleh komposer ternama Indonesia, Yovie Widianto, sejak 1986.

Bagaimanapun, kini Pungky berhasrat untuk menumpukan perhatian terhadap Mendua, termasuk menghasilkan karya baru bersama Sasha dan Diana.

“Buat masa ini, saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kumpulan Mendua, dan menghasilkan karya bersama kededua sahabat baik saya ini.

“Seandainya masih diberikan peluang untuk projek lain, saya akan melaksanakannya secara serentak,” katanya yang turut mendalami bidang seni pengarahan suara.

Beliau juga sempat mengajar vokal sewaktu pandemik Covid-19 melanda, namun kerjaya itu tidak dilakukan secara serius.

Sebelum ini, Mendua dikenali sebagai kumpulan ‘one hit wonder’ (cuma dikenali kerana satu lagu hit sahaja), dengan kejayaan lagu Hampir Ke Situ, yang turut dijadikan runut bunyi (OST) bagi filem Duyung (2008).

Lalu, apakah Mendua akan mengulangi sejarah yang sama?

“Sebelum GV12, kami sudah tetapkan matlamat. Dalam mana-mana pertandingan, kami akan memanfaatkan peluang baru diberikan dengan sebaiknya.

“Kami sudah berbincang dengan keluarga dan pasukan Mendua tentang rancangan menghasilkan karya baru selepas GV12, sebab niat kami bukan sekadar muncul lalu ‘menghilang’ lagi.

“Bagaimanapun, kami hanya mampu merancang. Tuhanlah yang menentukan jalan kami seterusnya.

“Saya juga berharap karya Mendua yang akan datang dapat meraih sambutan semeriah lagu sebelum ini, Hampir Ke Situ,” ujar Sasha.

Watch on YouTube

Sejauh ini, Mendua belum mempunyai perancangan untuk mendekati peminat di Indonesia, mahupun menciptakan karya baru di sana.

“Sejujurnya, kami ini ‘made in Malaysia’ (dipopularkan di Malaysia).

“Kami dipertemukan sekali gus memulakan kerjaya seni di sini. Tetapi, ia tidak menolak kemungkinan kami berkarya di Indonesia.

“Jika ada karya baru daripada Mendua, didoakan sahaja agar ia mendapat sambutan baik dan meriah di Malaysia, mahupun Indonesia,” kata Diana, dan Pungky.

Watch on YouTube
Watch on YouTube
Watch on YouTube
Watch on YouTube
Watch on YouTube
Watch on YouTube
Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg