Topik diikuti
Pergi ke BHkuElly Mazlein: Pemergian Siti Hasmah satu kehilangan besar buat Malaysia, seluruh dunia
Elly Mazlein: Pemergian Siti Hasmah satu kehilangan besar buat Malaysia, seluruh dunia
Elly Mazlein: Pemergian Siti Hasmah satu kehilangan besar buat Malaysia, seluruh dunia
Menurut penyanyi, pelakon dan pengacara dari Malaysia, Elly Mazlein, pemergian Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, merupakan satu kehilangan yang sangat besar buat Malaysia.
Elly, atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 46 tahun, berkata beliau begitu terkejut sebaik sahaja menerima berita duka mengenai pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu.
Allahyarhamha Dr Siti Hasmah, 100 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 28 September kira-kira 9.20 pagi.
Mengimbau kenangan terakhir, Elly berkata beliau berpeluang bertemu dengan Allahyarhamha pada acara Majlis Seniman Semeja, yang diadakan pada 21 September 2026 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Majlis itu diadakan sempena meraikan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir Mohamad, yang ke-101 dan Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah yang ke-100
“Awalnya bila dapat berita sedih ini, memang saya sangat terkejut.
“Kalau ikutkan, baru seminggu kami anak-anak seni bertemu dengan arwah Tun Hasmah dan Tun Mahathir.
“Waktu itu arwah kelihatan sangat gembira dan tersentuh hati apabila diraikan ramai bersama-sama. Saya sempat bersalam dan berborak ringkas dengan beliau.
“Tak sangka rupanya itu kali terakhir saya dapat berpeluang berjumpa dengan arwah Tun (Hasmah),” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Elly, yang pernah memainkan watak sebagai Tun Siti Hasmah ketika dewasa dalam teater muzikal Tun Mahathir II pada 2011, berkata pemergian Allahyarhamha itu bukan sahaja meruntun jiwa rakyat Malaysia, malah turut dirasai di peringkat antarabangsa.
“Bukan sahaja di Malaysia, malah satu dunia mengenali siapa itu Tun Mahathir dan Tun Hasmah.
“Beliau antara sosok wanita terhebat dan saya sangat berbangga kerana beliau adalah contoh serta teladan isteri terbaik di dunia.
“Sifatnya yang bersahaja, penyayang dan sentiasa berada di belakang suaminya memberikan kekuatan amat mengagumkan.
“Pemergian beliau memang sangat dirasai,” katanya.
Dalam pada itu, Elly turut mendoakan agar roh Allahyarhamha ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Walau bagaimanapun, kita kena akur setiap yang datang pasti akan pergi.
“Saya mendoakan semoga roh Allahyarhamha ditempatkan bersama orang-orang yang solehah dan dipermudahkan segala urusan.
“Saya juga mendoakan agar Tun Mahathir diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur,” katanya.
“
“Beliau (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) antara sosok wanita terhebat dan saya sangat berbangga kerana beliau adalah contoh serta teladan isteri terbaik di dunia... Pemergian beliau memang sangat dirasai.”