Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Erma Fatima masih ingat Ogy Ahmad Daud lempar skrip ketika lakon bersama

Apr 28, 2025 | 5:30 AM
 Erma Fatima,  Fauziah Ahmad Daud, Puteri
Pelakon, pengarah dan penerbit Malaysia, Erma Fatima, masih ingat pengalaman beraksi dengan pelakon mapan idolanya, Fauziah Ahmad Daud, dalam filem pertamanya, ‘Puteri’ pada 1987. - Foto NSTP

Pelakon, pengarah dan penerbit Malaysia, Erma Fatima pernah dilempar skrip oleh pelakon mapan, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dipanggil Ogy, ketika di awal kemunculannya dalam dunia lakonan.

Menerusi wawancara dalam podcast bersama wadah digital Siar, Erma, 57 tahun, berkongsi pengalaman yang mendidik dirinya menjadi anak seni bersemangat kental hingga kini.

“Ketika berlakon dalam filem Puteri, saya pernah dilempar skrip oleh Kak Ogy.

“Dilempar betul-betul di hadapan saya sambil berkata, ‘Hafal dialog kau. Lepas tu baru panggil aku’.

“Dia terus keluar dari set penggambaran dan enggan kembali selagi saya belum bersedia. Waktu itu, saya baru pertama kali berlakon dengannya. Terketar-ketar saya pegang skrip tu.

“Kalau tak bersedia, kita bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, bahkan juga menyusahkan orang lain di set, terutama mereka yang dah hafal skrip dan datang dengan persediaan rapi.

“Saya terus duduk di situ, tak berganjak langsung. Hafal skrip sungguh-sungguh sampai betul-betul dapat,” katanya yang dikenali dengan drama Mak Cun.

Menurut Erma, kejadian itu tidak pernah melukakan hatinya, sebaliknya dijadikan ilmu dan pengalaman kerana dapat bergandingan dengan pelakon yang diidolakannya, lapor Harian Metro.

“Saya langsung tak ambil hati dengan tindakan Kak Ogy itu. Dia adalah idola saya sejak zaman sekolah. Saya membesar dengan filem lakonannya.

“Apabila dia bertindak sebegitu, itu sebenarnya satu cabaran untuk saya. Maksudnya, dia cabar, ‘Kalau kau nak berdiri sebelah aku, kau kena jadi lebih baik’, itu adalah cabaran untuk saya.

“Saya dipilih oleh Uncle Rahim Razali (pengarah filem Puteri) sendiri. Tapi apabila digandingkan dengan pelakon hebat yang pernah menang pelbagai anugerah, sudah tentu saya mahu buktikan bahawa saya juga mampu,” katanya.

Erma turut berpendapat tindakan Ogy itu bukanlah kerana sikap berlagak ‘diva’, sebaliknya sesuatu yang wajar kerana komitmen penuh yang diberikannya sebagai pelakon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg