KUALA LUMPUR: Hampir 10 tahun tidak bertemu, Ratu Rock, Ella, 59 tahun, membawa pemain gitar legenda Jepun, Kyoji Yamamoto, beraksi dalam konsert istimewanya, Ella USA pada 17 Mei depan.
Ella dan Yamamoto sudah saling mengenali sejak 30 tahun lalu ketika pemuzik berpengalaman hebat itu turut terbabit dalam pembikinan album Ella USA yang dilancarkan pada 1994.
“Saya dan Yamamoto masih lagi baik dan tetap berhubung hingga kini. Malah, Yamamoto juga pernah hadir sebagai pemuzik undangan dalam Konsert 30 Tahun Ella pada 2016.
“Hampir 10 tahun kami tidak bertemu dan bekerjasama. Jadi, saya bakal bawakan semula Yamamoto datang ke Malaysia khas untuk konsert Ella USA di Arena of Stars, Genting Highlands,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini baru-baru ini.
Ella berkata sehingga kini, beliau masih berasa kagum dengan bakat Yamamoto dalam bidang muzik sebagai pemain gitar terkenal di arena antarabangsa, lapor Berita Harian Malaysia.
Berbicara pengalaman lalunya ketika merakamkan album Ella USA, katanya, beliau sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pemuzik handalan dari luar negara yang cara bekerja sangat berbeza.
“Ada beberapa pengalaman yang saya tidak boleh lupakan seperti pernah berjalan dalam kesejukan untuk ke studio rakaman, selain merasai situasi gempa bumi.
“Tidak hanya itu, proses rakaman album Ella USA juga dibuat sepenuhnya pada waktu siang. Ia sama sekali berbeza di Malaysia yang kita biasa rakam lagu pada waktu malam,” katanya.
Ujar Ella lagi, apa yang pernah dilaluinya ketika rakaman album adalah pengalaman sangat berharga dan amat dibanggakan oleh dirinya kerana ia tidak boleh dibeli di mana-mana.
“Konsert Ella USA dijangka berlangsung hampir dua jam dengan kebanyakan lagu yang saya nyanyikan daripada album berkenaan. Harapan saya agar peminat terhibur.
“Apapun, album Ella USA ini tetap sangat unik di mata saya. Ia termasuklah ada antara lagunya masih diingati peminat sampai sekarang dan ‘evergreen’ seperti lagu Demi, Nuri, Permata Pemotong Permata (PPP) dan beberapa lagi,” katanya.
Sudah empat dekad aktif dalam karier seni suara, Ella berkata beliau akan berusaha memberi persembahan terbaik kepada penonton berikutan harga tiket konsert Ella USA ditetapkan antara RM389 ($116) sehingga RM99.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg