KUALA LUMPUR: Ziana Zain tidak menyangka anak kecil yang memakai reben besar di kepala dan mendendangkan lagu popularnya pada majlis persandingan, kira-kira 27 tahun lalu (1998), kini bergelar penyanyi terkenal.
Bakat kecil dimaksudkan Ziana ialah anak saudaranya, Ernie Zakri, 32 tahun, yang kini dikenali sebagai antara vokalis pelapis wanita dengan rangkaian lagu hit seperti Masing Masing dan Aura, lapor BH Online.
“Pada 1998, Ernie menyanyikan lagu Berpisah Jua pada majlis persandingan saya. Beliau juga menjadi ‘flower girl’ (dayang) saya.
“Walaupun pilihan lagunya ‘salah’ (seloroh), tetapi siapa sangka, budak kecil ‘tembam’ yang memakai reben di atas kepala sudah jadi penyanyi sekarang.
Bangga dengan pencapaian Ernie, Ziana mengaku tidak sangka dapat berkongsi pentas dengan anak saudaranya itu pada Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pada 18 Oktober depan.
“Dahulu beliau tengok kami menyanyi, sekarang, saya dan Ernie akan berkongsi, bukan sahaja pentas, malah, peminat.
“Bagi saya, ini kombinasi yang sangat menarik kerana membabitkan dua generasi berbeza,” katanya pada sidang media Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di sini, baru-baru ini.
Ziana bakal berkongsi pentas bersama Ernie; adiknya, Anuar Zain; dan juga suami Ernie, Syamel pada konsert itu.
Ziana mengakui sebak akhirnya impian untuk mementaskan konsert yang digelar persembahan ‘anak-beranak’ atau ‘empat sekeluarga’ akhirnya tercapai.
“Setiap kali berjumpa kami berempat selalu berbincang, alangkah seronoknya kalau dapat adakan konsert bersama-sama.
“Insya-Allah, kami hendak jadikan konsert ini diingati sampai bila-bila dan mungkin boleh menjadi sejarah dalam industri muzik,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg