Penyanyi Malaysia, Ernie Zakri mengakui antara impian besarnya dalam meneruskan kerjaya seni nyanyian adalah berduet dan merakamkan lagu bersama Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Berikutan itu, Ernie, 32 tahun, tidak menolak jika berpeluang untuk bekerjasama dengan penyanyi nombor satu Malaysia dalam album terbaru, Sahabat yang bakal dilancarkan pada 2025.
“Insya-Allah, semua masih dalam perancangan. Ada penambahan penyanyi sebenarnya.
“Saya berdoa agar kerjaya saya panjang supaya sempat dan dapat berduet dengan individu hebat ini,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media bagi mempromosikan lagu terbarunya bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito berjudul Kisah Penuh Kecewa di Pejabat Urusan Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, berkata setakat ini, belum ada sebarang perancangan khusus mengenai kerjasama itu namun sudah ‘membisikkan’ sesuatu kepada pengurus Siti, Rozi Abdul Razak.
“Buat masa sekarang, lagu dengan Siti belum ada lagi. Saya sangat berharap dapat merakamkan lagu duet bersama, tapi semua ini harus dirancang dengan teliti.
“Saya pasti dan sangat yakin yang Siti sangat sibuk sebab kami di bawah bumbung sama, Universal Music Malaysia. Beliau sedang sibuk menguruskan banyak perkara sekarang.
“Perancangan kena berjalan dengan baik untuk kedua-dua pihak. Saya sudah ‘bisik-bisik’ dengan Kak Rozi (pengurus Siti). Itu yang saya mampu kongsi setakat ini,” katanya.
Pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 itu bakal tampil dengan album Sahabat yang menyaksikan kerjasama antara penyanyi Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjadi satu lagi buah tangan berharganya.
Dijangka menemui peminat dari dua negara pada pertengahan 2025, Ernie berkongsi, album Sahabat menghimpunkan 10 lagu yang kesemuanya dirakamkan secara duet.
Dalam perkembangan lain, Ernie muncul dengan lagu duet terbaru bersama Anggi berjudul Kisah Penuh Kecewa yang kini mendapat sambutan positif daripada pendengar.
Lagu yang bakal dimuatkan dalam album Sahabat itu boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei dan turut dipersembahkan di konsert Aura di Singapura pada 30 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg