Topik diikuti
Pergi ke BHkuExists bakal adakan konsert ‘Back to School’ di S’pura
Exists bakal adakan konsert ‘Back to School’ di S’pura
Kumpulan pop rok legenda Malaysia, Exists, bakal kembali ke Singapura menerusi konsert, Exists: Back To School Live In Singapore, pada 15 Januari 2027 di The Star Theatre.
Bertema, ‘Kembali ke Sekolah’, konsert ini bakal menjadi sebuah malam penuh nostalgia untuk meraikan pelbagai kenangan.
Bagi peminat, karya muzik Exists tidak dapat dipisahkan daripada lipatan sejarah zaman remaja mereka.
Bermula dari zaman persekolahan, cinta pertama, semangat persahabatan, kekecewaan, sehinggalah memori yang membentuk kedewasaan.
Antara lagu popular mereka yang terus mendapat tempat dalam hati pendengar merentas generasi termasuk Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan Jesnita
Ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991, Exists telah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama paling berpengaruh dalam arena muzik pop rok Melayu.
Menerusi penglibatan selama lebih tiga dekad, band tersebut telah menghasilkan deretan lagu yang kekal terpahat kukuh dalam ingatan pencinta muzik di Malaysia, Singapura, serta Indonesia.
Malah, rekod himpunan lagu mereka terus subur merentasi zaman, seperti lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang turut popular dan dikenali di Indonesia menerusi judul, Buih Jadi Permaidani.
Sehingga kini, Exists terus membuktikan karya muzik serta kehebatan persembahan pentas mereka kekal relevan.
Menurut kenyataan media SS Karya Entertainment, persembahan Exists di Kuala Lumpur pada Ogos 2026, meraih pujian hebat, khususnya dari segi keutuhan vokal, mutu muzik, serta keakraban berterusan bersama peminat.
Kini, giliran Singapura pula untuk menyaksikan kehebatan tersebut.
Dianjurkan oleh SS Karya Entertainment bersama MUSE+, konsert yang dinanti-nantikan itu menjanjikan sebuah malam penuh nostalgia, persembahan mantap, serta alunan lagu-lagu rok Melayu malar segar.
Diharapkan peminat daripada pelbagai generasi juga dapat berhimpun untuk meraikan perjalanan muzik Exists yang luar biasa.
Mengulas tentang konsert tersebut, jurucakap SS Karya Entertainment selaku pihak pengajur berkata:
“Konsep Back to School ini bakal membawa apa yang kami mahu penonton rasakan.
“Kami mahu mereka datang ke The Star Theatre, meninggalkan segala keraguan serta urusan harian, dan meluangkan satu malam untuk mengimbau semula lagu-lagu, persahabatan, emosi, dan kenangan yang pernah membentuk diri mereka.”
Orang ramai boleh mendapatkan tiket ke konsert Exists: Back To School Live In Singapore mulai 15 September menerusi pautan, https://bh.sg/MvpM
Terdapat enam kategori tiket berbeza iaitu VIP (Jesnita) – $258; Diamond (Seperti Dulu) – $168; Platinum (Langkah Seiringan) – $148; Gold (Janji Padamu) – $128; Silver (Alasanmu) – $108; dan Bronze (Julia) – $88.
