Topic followed successfully
Go to BHkuEzad Lazim, isteri bakal tunai Haji
Ezad Lazim, isteri bakal tunai Haji
Ezad Lazim, isteri bakal tunai Haji
Penyanyi Malaysia dan vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim meluahkan rasa syukur apabila terpilih untuk mengerjakan ibadah haji bersama isterinya, Zeana Ramli, pada 2026.
Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 46 tahun, memaklumkan mereka dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 30 April dan akan berada di sana selama 45 hari.
“Doakan segalanya dipermudahkan.
“Saya ada sedikit rasa risau sebab tidak pernah pergi, jadi saya banyak bertanya pada Along (Exists) dan Shah (Slam) yang sudah berpengalaman.
“Balik dari sana nanti, kami akan terus fokus pada konsert dan rakaman lagu,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert, 30 Tahun Dan Selamanya Exists Memento Mori, pada 23 April.
Biarpun teruja, penyanyi lagu Jesnita itu mengakui berat hati memikirkan dua anaknya, Puteri Rania Keisha, 13 tahun, dan Putra Muhammad Darwish, 11 tahun, yang akan ditinggalkan dalam tempoh yang lama, lapor Harian Metro.
Ezad kini sedang mengatur urusan penjagaan anak-anaknya dengan bantuan ahli keluarga terdekat serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.
“Alhamdulillah, kami baru mendapat pembantu rumah baharu selepas pembantu lama pulang ke Indonesia dan tidak kembali semula.
“Kami harap dia okey kerana dia yang akan paling banyak menghabiskan masa dengan anak-anak.
“Ibu mentua saya juga ada menyatakan hasrat untuk menjenguk anak-anak, namun saya tidak mahu membebankannya kerana beliau baru saja menjalani pembedahan akibat kanser,” ujarnya lagi.
Ezad menyerahkan segala urusan kepada Allah swt dan berharap anak-anaknya yang masih bersekolah dapat menjaga diri dengan baik sepanjang ketiadaan mereka.
Dalam perkembangan lain, Ezad dan Exists bakal menjayakan konsert 30 Tahun Dan Selamanya Exists Memento Mori di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia pada 1 Ogos depan.

