Tiada minat dalam dunia penyiaran radio merupakan sebab utama Fadli Kamsani pernah menolak tawaran bekerja di stesen radio Mediacorp sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun, apabila pihak pengurusan radio Melayu masih berminat melamarnya untuk tugasan itu, beliau langsung mendapatkan pandangan ibunya.
“Saya rasa berkat doa Ibu. Beliau kata ‘kau ambil sajalah’ kerja di radio. Saya pun ikut nasihat Ibu dan tak sangka dah enam tahun saya bertugas sebagai penyiar radio.
“Saya berada di stesen Warna 942 selama setahun setengah sebelum berpindah ke Ria 897. Pejam celik, dah enam tahun saya jadi deejay,” jelasnya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom.
Fadli, 32 tahun, bapa dua anak kecil, memang tidak menduga tugas sebagai penyiar ini lebih daripada kerjaya penyiaran yang akan membawanya untuk menjelajah serta meninjau dunia hiburan dan kehidupan seharian masyarakat pendengar.
Hatinya tersentuh apabila seorang wanita warga emas yang membahasakan dirinya sebagai ‘Nenek’, bertemu dengannya dalam satu acara luar sambil bertanya mengapa beliau tinggalkan stesen Warna dan menerajui tugas di Ria pula?
“Saya pernah kendalikan segmen malam di Warna ketika saya baru masuk bidang penyiaran radio.
“Nenek itu menjelaskan kepada saya, suara sayalah yang menemaninya sepanjang malam.
“Sembang saya jadi ‘sahabat’ nenek ini sebelum melelapkan mata untuk tidur.
“Kata-katanya itu membuatkan saya tersentuh dan sekali gus beri saya semangat baru.
“Detik itulah saya menyedari ini bukan kerja biasa dan ini bukan setakat sembang kosong dalam konti.
“Penyiar radio bahkan memiliki tanggungjawab besar untuk menemani orang-orang seperti ‘Nenek’ dan memberi keceriaan buat mereka,” cerita Fadli, yang mula dicungkil bakat pengacaraan dan lakonannya selepas memasuki Anugerah Skrin 2016.
Beliau menambah apa yang membuatnya kadangkala gentar untuk menerima tawaran sebagai penyiar radio adalah penguasaan bahasa Melayunya yang disifatkan biasa-biasa sahaja dan belum mantap.
“Saya tak tahu bolehkah saya berbual dengan fasih dan teratur pada ketika itu. Masuk pula stesen Warna 942 yang kita sedia maklum lebih didengari warga lebih mapan.
“Tapi selepas menjalani latihan di Warna, masuk Ria, saya pula jadi terlalu teratur dan formal dari segi pertuturan dan diminta untuk ‘santaikan’ penyampaian saya agar mudah dihadam generasi muda yang mendengar Ria,” katanya sambil tertawa.
Di Ria, Fadli juga telah melalui proses bertukar-tukar rakan penyiar kerana rombakan yang dibuat pihak pengurusan untuk mencuba sesuatu yang baru.
Beliau pernah bergandingan dengan Azura Goh sebelum dipasangkan dengan naib juara pertandingan, Suara Juara: The Star Voice 2023, Raihan Yacob, yang kemudian mendapat tawaran menjadi guru.
“Saya beri galakan kepada Raihan agar menerima tawaran yang diberi kepadanya untuk jadi guru, kerjaya idamannya.
“Kemudian, saya pula digandingkan dengan sahabat saya, Farhana M. Noor.
“Apa yang menyeronokkan adalah apabila kita dapat kemukakan topik mudah yang boleh dijadikan perbincangan pendengar radio.
“Topik seperti apakah perlu memeriksa telefon bimbit pasangan kita juga boleh menarik perhatian pendengar,” katanya lagi.
Pada Ramadan lalu, Fadli berkongsi betapa meriahnya apabila dapat berbuka puasa dengan Farhana di konti sambil berbincang tentang idea gila-gila tetapi bernas, yang boleh mereka utarakan di radio.
“Kami tempah makanan ‘bento’ setiap hari daripada penjual berpangkalan dari rumah. Senanglah, tak payah fikir hari ini nak buka apa?” katanya lagi. – HARYANI ISMAIL
“
Saya pernah kendalikan segmen malam di Warna ketika saya baru masuk bidang penyiaran radio. Nenek itu menjelaskan kepada saya, suara sayalah yang menemaninya sepanjang malam. Sembang saya jadi ‘sahabat’ nenek ini sebelum melelapkan mata untuk tidur. Kata-katanya itu membuatkan saya tersentuh dan sekali gus beri saya semangat baru. Detik itulah saya menyedari ini bukan kerja biasa dan ini bukan setakat sembang kosong dalam konti. Penyiar radio bahkan memiliki tanggungjawab besar untuk menemani orang-orang seperti ‘Nenek’ dan memberi keceriaan buat mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg