Seorang pelakon berperanan menenun kehidupan watak ke dalam setiap gerak tubuh, intonasi suara dan pandangan mata, agar kisah yang dipersembahkan terasa hidup sekali gus meninggalkan kesan abadi pada penonton.
Itulah antara perkara yang sempat dikongsi pelakon pentas mapan, Farah Ong, 40-an tahun, ketika wartawan Berita Harian (BH) berpeluang menemuinya di The Artground yang terletak di kawasan Holland Village, semasa sesi latihan pementasan Yusof: Portrait of a President oleh Teater Ekamatra.
Sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60), Esplanade menugaskan Teater Ekamatra bagi mengembalikan pementasan, Yusof: Portrait of a President, kini dalam tujuh set persembahan, antara 17 Oktober dengan 24 Oktober di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Terdahulu, pementasan terbabit dipentaskan buat kali pertama pada 2015, di Teater Studio, Esplanade.
Naskhah asal Zizi Azah Abdul Majid itu dipentaskan semula di bawah arahan pengarah, Mohd Fared Jainal, sebagai sebahagian daya usaha Esplanade, 60 Connections – At Home and Afar.
Menurut Farah, beliau membawakan tiga watak berbeza iaitu Lili, adik kepada Yusof Ishak; Sri, wartawan cereka yang bertugas di Utusan Melayu; serta Samsiah, isteri kepada Aziz yang juga adik ipar Yusof.
Walaupun masih lagi memegang watak yang sama seperti dalam pementasan 10 tahun lalu, Farah mengakui versi kali ini membawa nafas segar dengan penekanan yang lebih mendalam terhadap perkembangan watak wanita.
“Saya masih membawakan watak yang sama seperti dalam pementasan 10 tahun lalu, tetapi versi kali ini menampilkan skrip yang telah diperkemas, dengan penekanan yang lebih mendalam terhadap perkembangan watak Lili sehingga menjadikannya lebih kuat dan menyerlah.
“Bagi saya, ia menarik kerana dalam pementasan Yusof pada 2015, watak-watak lelaki dan khususnya, Yusof, diberikan lebih penelitian.
“Kali ini, keteguhan semangat wanita lebih diketengahkan, menonjolkan kekuatan serta peranan penting mereka pada era tersebut, dan saya sangat menghargai usaha ini,” kata Farah kepada BH.
Pada masa sama, naskhah itu turut mengekalkan barisan pelakon Sani Hussein selaku Yusof Ishak; Siti Khalijah Zainal sebagai Puan Noor Aishah; serta Dalifah Shahril yang turut memerankan watak berbilang.
Di samping itu, Farah turut menyingkap perjuangan wanita mengekalkan diri serta kedudukan dalam masyarakat yang dikuasai lelaki pada era 1960-an melalui cerminan watak Sri.
Baginya, penekanan terhadap watak wanita dalam pementasan kali ini bukan sekadar penyegaran semula jalan cerita, malah juga suatu penghormatan mencerminkan kekuatan sebenar wanita pada zaman tersebut.
“Sebelum ini, Sri dipaparkan sebagai watak sampingan sahaja. Tetapi, apa yang saya kagumi tentang watak ini adalah jiwa dan semangatnya yang kental.
“Melalui pementasan ini, kita dapat lihat Sri melalui pelbagai fasa kehidupan, khususnya dalam pekerjaan yang dilakukan iaitu sebagai seorang guru, dan kemudian, wartawan.
“Ramai yang mungkin tidak tahu betapa lantang suara dan kuat semangat wanita memperjuangkan hak mereka ketika itu.
“Saya berpendapat langkah ini sangat baik kerana ia mencerminkan cabaran yang dihadapi wanita untuk menegakkan suara mereka pada zaman 1960-an, yang mungkin tidak diketahui ramai atau kurang diceritakan.
“Saya rasa keputusan menonjolkan peranan wanita ini amat tepat.
“Ia menunjukkan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap latar, malah turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perubahan,” ujarnya.
Bagi setiap pementasan, Farah akan menumpukan perhatian pada skrip serta proses memahami dengan lebih mendalam setiap watak yang dibawanya.
Namun, dalam pementasan, Yusof: Portrait of a President, apatah lagi ketika membawakan watak berbilang, beliau sedar perlu menekankan perbezaan dari segi gerak tubuh, cara bertutur dan ciri perwatakan bagi setiap watak.
“Saya rasa watak Lili agak sukar kerana beliau merupakan watak nyata dan kami tidak begitu mengenali dirinya secara peribadi, berbanding dengan Sri yang merupakan watak fiksyen serta lebih mudah dibentuk.
“Cabaran utama saya adalah membezakan gaya lakonan bagi setiap watak agar masing-masing tampil dengan identiti dan jiwa tersendiri.
“Menariknya lagi, cara saya berjalan agak berlainan dengan orang lain disebabkan struktur kaki saya agak kurang seimbang.
“Maka, hal pertama yang saya akan ubah adalah cara berjalan bagi setiap watak,” ujarnya.
Menyentuh tentang kelebihan pementasan kali ini, ia menampilkan dua pelakon baru dalam pementasan, namun sudah tidak asing dalam dunia lakonan, iaitu Ghafir Akbar dan Fauzie Laily, sekali gus menggantikan Erwin Shah Ismail dan Najip Soiman.
Kehadiran kedua-dua pelakon itu turut memberikan pengalaman baru kepada Farah, khususnya Ghafir yang berasal dari Malaysia.
“Apa yang membuat saya tertarik ketika berlakon dengan Ghafir adalah cara beliau bertutur dalam bahasa Melayu.
“Sebagai pelakon dari Malaysia, gaya percakapannya berbeza, dan saya juga belajar banyak daripadanya.
“Pengalaman ini memberikan perspektif baru dari segi bahasa dan pendekatan lakonan,” jelas Farah.
Tiket bagi pementasan Yusof: Portrait of a President telah laris dijual.
Bagaimanapun, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket ‘restricted view’ atau pandangan terhad, ia berharga $40 dan boleh diperolehi melalui laman web Sistic di pautan, https://www.sistic.com.sg/events/president1025
“
“Ramai yang mungkin tidak tahu betapa lantang suara dan kuat semangat wanita memperjuangkan hak mereka ketika itu. Saya berpendapat langkah ini sangat baik kerana ia mencerminkan cabaran yang dihadapi wanita untuk menegakkan suara mereka pada zaman 1960-an, yang mungkin tidak diketahui ramai atau kurang diceritakan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg