Bagi pelakon teater Siti K, yang sudah terbiasa membawa watak orang lain di atas pentas, terasa agak janggal melihat kisah hidupnya sendiri dilakonkan orang lain dan dipentaskan buat tatapan mata ramai.
Bagaimanapun, Siti K, atau nama sebenarnya Siti Khalijah Zainal, 40 tahun, meluahkan rasa teruja apabila perjalanan kerjayanya yang penuh pasang surut sebagai pelakon pentas, diangkat dalam muzikal terbitan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Beyond The Classroom atau ‘Di Luar Bilik Darjah’.
Berpaksikan tema sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60), ‘Membina Singapura Kita Bersama’, muzikal arahan Dwayne Lau itu meraikan kuasa transformatif pendidikan ITE berdasarkan kisah benar alumni institusi tersebut termasuk legenda bola sepak negara, Fandi Ahmad, dan peguam, Kawal Pal Singh.
Bagi Siti K, pengalaman menonton pementasan itu pada 11 Julai di Auditorium Tay Eng Soon, ITE Kolej Central di Ang Mo Kio, membawa dirinya melintasi kembara masa, bagai sirih pulang ke gagang.
Beliau juga seakan tidak percaya kisah hidupnya dipaparkan dengan penuh emosi melalui persembahan cemerlang pelakon muda berbakat, Nurjannah Qurratul’Farhaien Mohamad Faizal.
Nurjannah merupakan pelajar Tahun 2 jurusan Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Acara di ITE Kolej Central.
“Secara jujur, saya seperti masih di awang-awangan mimpi.
“Bukan saya hendak merendah hati, tetapi saya sedar masih jauh perjalanan kerjaya saya.
“Saya tidak pernah rasa ‘saya sudah sampai dalam satu tahap kehidupan’ untuk mempunyai sebuah kisah tentang diri saya.
“Saya fikir, ‘Saya cuma seorang pelakon. Apalah sumbangan saya kepada negara, jika dibandingkan dengan Fandi atau Kawal?’
“Namun, saya amat bersyukur diberikan peluang ini.
“Saya tidak sangka akan berasa begitu terkesan melihat kisah peribadi diangkat ke pentas, apatah lagi ketika ia menyentuh tentang keluarga saya yang sentiasa memberi sokongan.
“Dalam apa jua yang saya lakukan, restu ibu bapa amat penting,” kata Siti K kepada Berita Minggu (BM).
Beliau ditemui BM di The Artground yang terletak di kawasan Holland Village, semasa sesi latihan pementasan Yusof: Portait of a President oleh Teater Ekamatra, naskhah asal Zizi Azah Abdul Majid dan diarahkan oleh Mohd Fared Jainal.
Lebih daripada itu, Siti K turut memuji inisiatif muzikal ITE yang berjaya memicu api semangat dalam kalangan pelajar serta mengubah pandangan serong masyarakat terhadap kejayaan pelajar ITE yang sering dipandang remeh.
Menyentuh mengenai penglibatannya dalam pementasan terbabit untuk kali kedua, Siti K bakal menjayakan watak sebagai isteri kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak (lakonan Sani Hussin) iaitu, Allahyarhamha Puan Noor Aishah.
Siti K akui dilanda perasaan bercampur baur, antara bahagia dengan sayu, ketika membuat persiapan bagi pementasan Yusof: Portait of a President, yang bakal menemui penonton antara 17 dengan 19 Oktober di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Semasa pementasan itu dipersembahkan buat julung-julung kalinya sempena Pesta Raya pada 2015 di Studio Teater Esplanade, Siti K sempat bertemu dengan Wanita Pertama Singapura (dari 1965 hingga 1970) itu.
Berkongsi dengan BM, beliau mengenangkan detik-detik bermakna ketika menjayakan pementasan tatkala itu dan disaksikan langsung oleh Puan Noor Aishah.
“Sudah tentu, pementasan kali ini dirasakan lebih menyentuh hati, seiring dengan rasa kehilangan Puan Noor Aishah yang saya rasakan cukup mendalam.
“Saya masih ingat lagi persembahan pementasan Yusof pada 2015, di Studio Teater, Esplanade.
“Terdapat satu adegan di ambang persembahan pementasan versi sebelumnya, di mana saya berdiri tepat di hadapan Puan Noor Aishah, dan bayangan itu benar-benar meninggalkan kesan dalam diri.
“Kali ini, dengan beberapa perubahan dilakukan pada skrip untuk memperbaikinya, adegan tersebut ditiadakan.
“Sebagai pelakon, saya cuma berharap dapat mengekalkan inti pati, keikhlasan dan kebenaran wataknya – sebagaimana saya cuba sampaikan 10 tahun lalu,” singkap Siti K.
Selain itu, Siti K turut berasakan perkembangan dirinya dalam tempoh yang panjang itu sangat ketara, terutama melalui kajian mendalam yang dilakukannya terhadap Puan Noor Aishah, demi menjayakan watak tersebut dengan lebih berkesan.
“Saya rasa, dari segi kajian, ia sudah banyak berkembang, lebih-lebih lagi dengan adanya buku mengenai Puan Noor Aishah sekarang.
“Keadaan ini memudahkan saya untuk meneliti semula kajian terdahulu, menjadikannya lebih mendalam dan menyeronokkan.
“Selain dapat memahami perjuangan Puan Noor Aishah, saya juga berpeluang melihat sosok Yusof Ishak melalui pandangan isterinya,” katanya, yang merujuk kepada buku biografi, Puan Noor Aishah: Singapore’s First Lady, hasil tulisan Kevin Tan, sebagai bahan kajian.
Pada masa yang sama, perbincangan dan perkongsian bersama pereka busana daripada Kebaya Societe, Sufiyanto, yang mengenali Puan Noor Aishah secara peribadi, turut memperdalam pemahamannya tentang tokoh itu – bukan sahaja sebagai Wanita Pertama Singapura, malah sebagai seorang ibu, nenek dan jiran yang dihormati serta disayangi ramai.
Lantas, bagaimana pula Siti K memberi takrifan tersendiri tentang diri Puan Noor Aishah secara peribadi?
“Bagi saya, beliau seorang wanita yang luar biasa setianya – setia pada negara, suami dan juga keluarga.
“Kesetiaan beliau terpancar dalam setiap tindak-tanduk dan pengorbanan yang dilakukannya,” ujar Siti K dengan penuh yakin.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin menyaksikan pementasan Yusof: Portrait of a President, tiket berharga antara $50 dengan $65 boleh didapatkan melalui laman web Sistic di pautan https://sistic.com.sg/events/president1025
Kredit Pas Budaya SG juga boleh digunakan untuk membeli tiket bagi acara itu.
Demi memenuhi permintaan ramai, pihak Esplanade telah membuka slot persembahan tambahan pada 19 Oktober bermula 8 malam, di Teater Singtel Waterfront.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg