Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dalifah Shahril sahut cabaran bawa berbilang watak dalam pementasan

Aug 31, 2025 | 5:30 AM
Dalifah Shahril, aishah tun
Penggiat, pelakon serta penerbit teater, Dalifah Shahril, akui mencabar bawa watak ibu kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak, Aishah Tun, dek kurangnya kajian dan maklumat yang boleh dijadikan rujukan untuk menjayakan watak tersebut. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sebut sahaja nama Dalifah Shahril, tiada watak yang tidak mampu dibawakannya. 

Bakat lakonan pelakon, penerbit sekali gus pendidik teater itu tidak perlu diragui, dan namanya kini sudah menjadi ikon seni teater tempatan.

Baru-baru ini, penulis Berita Minggu (BM) berpeluang bertemu dengan Dalifah semasa sesi latihan pementasan Yusof: Portrait of a President oleh Teater Ekamatra di Artground, berdekatan kawasan Holland Village.

Sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60), Esplanade menugaskan Teater Ekamatra bagi mengembalikan pementasan Yusof: Portrait of a President dalam lima set persembahan iaitu – pada 17 Oktober mulai 8 malam, 18 dan 19 Oktober pada 3 petang dan 8 malam, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.

Naskhah asal Zizi Azah Abdul Majid itu dipentaskan semula di bawah arahan pengarah, Mohd Fared Jainal, sebagai sebahagian daya usaha Esplanade, 60 Connections – At Home and Afar.

Dalam pementasan Yusof: Portrait of a President, Dalifah menggalas tanggungjawab membawakan beberapa watak berbeza iaitu – Aishah Tun, ibu kepada Allahyarham Presiden Yusof Ishak; Wati, watak fiksyen yang digambarkan sebagai jiran Yusof; Ina, watak rekaan lain yang mewakili setiausaha Yusof di pejabat akhbar Utusan Melayu; dan Mas, adik ipar yang juga isteri kepada adik Yusof, Ramlee Ishak.

Walaupun kini tampil dengan imej berhijab, bagi Dalifah, 45 tahun, hal itu tidak menjadi penghalang dalam menjayakan sesuatu watak dalam sebuah pementasan teater.

“Saya rasa tidak begitu (terjejas) kerana pada zaman dulu, wanita bertudung hanya mengenakan kain selendang yang diletakkan di kepala lalu diselimpangkan ke bahu.

“Kami juga ada berbincang sejauh mana bahagian perlu ditutup, dan masih lagi dalam proses perbincangan untuk menemui jalan tengah,” kata Dalifah, yang berhijab sejak 2021.

Dalam pada itu, 10 tahun merupakan tempoh yang panjang setelah pementasan sulung Yusof: Portrait of President diadakan di Teater Studio Esplanade, sempena Pesta Raya 2015.

Dalifah juga tidak menafikan perbezaan yang dirasakan apabila membawakan pelbagai watak yang sama dalam pementasan kali ini.

“Sedekad bukanlah jangka masa yang singkat. 

“Dalam tempoh itu, banyak ilmu dan pengetahuan baru yang kami timba mengenai tokoh yang dilakonkan.

“Saya akui, kami turut berkembang dan semakin matang seiring dengan perjalanan masa.

“Secara tak langsung, cara pembawaan watak pasti berubah, lebih-lebih lagi untuk kami yang memegang berbilang watak.

“Kemahiran mengolah watak jugat amat penting supaya jelas kelihataan perbezaannya, selain perlu bekerjasama dengan rakan pelakon lain untuk menghidupkan watak dengan lebih meyakinkan,” katanya lagi.

Daripada empat watak yang dibawakan, Dalifah mengakui watak Aishah Tun paling mencabar kerana kurangnya kajian dan maklumat yang boleh dijadikan rujukan untuk menjayakan watak itu.

Namun, bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Dalifah tetap berikhtiar berbincang dengan pengarah pementasan, Fared, bagi mencari inti pati yang boleh disemat dalam lakonannya berlandaskan skrip yang tersedia.

“Dalam perbincangan bersama pengarah, kami cuba mengenal pasti elemen penting dalam skrip yang boleh diserapkan ke dalam watak Aishah Tun.

“Kami dapati bahawa ibu Yusof berperwatakan lembut tapi tegas. 

“Gabungan dua sifat ini menjadi kunci dalam melakonkan watak itu.

“Beliau juga merupakan tonggak keluarga. 

“Dengan membesarkan sembilan orang anak, yang mana semua anak lelaki memiliki sifat keras kepala, beliaulah yang menjadi perantaraan, memastikan keseimbangan dalam rumah tangga. 

“Perbezaan inilah yang harus saya tonjolkan dalam lakonan, berbanding watak-watak lain,” jelasnya.

Ini justeru berlainan dengan watak rekaan seperti Wati dan Ina, kerana Dalifah mempunyai ruang yang lebih luas untuk mencipta dan menghidupkannya mengikut kreativiti dan imaginasi sendiri.

Selain lakonan pentas, Dalifah turut aktif melabur tenaga dan masa sebagai penerbit teater di bawah naungan syarikat teater Melayu tempatan, Teater Kami.

Sempena Pesta Raya 2025, Dalifah bersama rakan seni seperjuangan, Saiful Amri Ahmad Elahi, telah menerbitkan pementasan Salina, berdasarkan novel hasil tulisan sasterawan terbilang, A. Samad Said.

Pementasan yang ditugaskan oleh Esplanade dan diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Atin Amat, membawa penonton menyusuri lorong kenangan dalam era 1950-an yang penuh dengan onak duri kehidupan kampung di Singapura.

Apabila ditanya BM tentang kepentingan mengangkat karya novel ke pentas teater untuk merangsang cinta terhadap sastera, Dalifah berkata:

“Kalau karya-karya itu mampu memberi kesan dan pengajaran kepada penonton, saya rasa mengapa tidak, bukan? 

“Kadangkala, selepas menonton pementasan, kita jadi lebih tertarik untuk membaca novel asalnya. 

“Ia memberikan pemahaman yang lebih mendalam terhadap cerita tersebut, sekali gus mendorong kita untuk terus membaca dan menambah minat terhadap sastera. 

“Dari situlah lahir pula idea baru yang boleh mencetuskan karya dan jalan cerita yang segar.”

Pada 2021, Dalifah bersama rakan-rakan teater, termasuk Saiful, Anwar Hadi Ramli dan Suhaili Safari, memulakan inisiatif untuk membina rangkaian penggiat teater yang dinamakan PertamaSG.

Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha susulan memperolehi Geran Individu Bekerja Sendiri (SEP) yang diselaras Majlis Seni Kebangsaan (NAC)  bagi mewujudkan program berkongsi ilmu seni.

“Sebagai salah seorang ahli pengasas kolektif ini, saya rasa perkembangan seni kita semakin rancak dan kreatif.

“Dalam era ini, ramai penggiat mahupun syarikat teater menggunakan wadah digital dan kaedah baru untuk memikat hati penonton.

“Lebih ramai orang yang kini hadir ke pementasan teater, dan itu satu perkembangan yang sangat membanggakan,” kata Dalifah.

Menyentuh pula tentang inisiatif Pas Budaya SG, Dalifah berharap agar masyarakat dapat memupuk minat terhadap seni serta terus memberi sokongan kepada bakat tempatan.

“Percayalah, penggiat seni tempatan kita sama hebat dengan penggiat seni di pentas antarabangsa!” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg