Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fattah Amin, Amira Othman bakal bernikah

Pernikahan akan berlangsung pada 14 Sep, dan disiarkan secara langsung di UniFi TV 2.0
Sep 8, 2025 | 7:10 PM
Pelakon, Fattah Amin (kanan), dan penyanyi, Amira Othman, bakal melangsungkan pernikahan pada 14 September 2025. Ini sekali gus menamatkan andaian dan tanda tanya yang sering bermain di fikiran netizen terhadap hubungan mereka akhir-akhir ini.
Pelakon, Fattah Amin (kanan), dan penyanyi, Amira Othman, bakal melangsungkan pernikahan pada 14 September 2025. Ini sekali gus menamatkan andaian dan tanda tanya yang sering bermain di fikiran netizen terhadap hubungan mereka akhir-akhir ini. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Menjawab segala teka-teki dan tanda tanya yang kerap bermain di fikiran peminat setia, pasangan selebriti Malaysia iaitu pelakon Fattah Amin, 35 tahun, dan penyanyi Amira Othman, 32 tahun, mengesahkan akan bernikah pada 14 September ini.

Ia bersamaan hari kelahiran Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, yang ke-35. 

Pasangan merpati dua sejoli itu mengemukakan berita baik tersebut pada sidang media pelancaran single duet terbaru Amira berjudul, Rasa & Takdir, dendangan bersama sang adik, Irfan Haris, 23 tahun.

Sidang media tersebut diadakan di Hotel Imperial Lexis, Kuala Lumpur, Malaysia, pada 8 September. 

Dalam satu hantaran video yang dimuat naik di laman media sosial, kehadiran Fattah di hotel tersebut dianggap suatu kejutan. 

“Sebenarnya, hari ini, saya dan Amira ada berita baik yang ingin dikongsikan.

“Seperti yang ramai tahu, kami berdua adalah rakan sekerja.

“Sepanjang tempoh kami berkenalan ini, insyaAllah, dengan izin-Nya, kami ingin menukar status daripada rakan sekerja menjadi rakan serumah,” kata Fattah dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Pengumuman yang dikemukakan oleh Fattah itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin, sekali gus meleraikan andaian dan tanda tanya netizen terhadap hubungan mereka akhir-akhir ini.

Pada masa yang sama, Irfan menyerahkan kunci kepada Fattah sebagai simbol melangkah ke kehidupan baru sebagai pasangan suami isteri bersama kakaknya, Amira.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa majlis pernikahan akan berlangsung pada 14 September.

“Kurang lebih seminggu daripada sekarang,” tambah Fattah.

Di samping itu, Amira juga menyatakan bahawa keputusan untuk mengumumkan berita gembira ini dibuat selaras dengan janji mereka kepada peminat bahawa sebarang perkembangan baik akan dikongsikan dengan segera.

“Setiap kali kami diwawancara, kami akan ditanya soalan ini. 

“Kami juga sudah berjanji sekiranya ada berita yang baik, ia pasti akan dikongsi (kepada peminat).

“Jadi, kami melunaskan janji itu dan ingin mengajak semua bersama-sama menyaksikan hari pernikahan saya dan Fattah, insyaAllah,” ujar Amira.

Amira turut mendedahkan tanda pagar bagi hari penuh berbahagianya bersama Fattah iaitu, ‘Setulus Takdir Fattah Amira’.

Bagi rakyat Malaysia, pernikahan Fattah dan Amira boleh ditonton secara langsung pada 14 September, dan secara percuma melalui wadah penstriman digital, UniFi TV 2.0.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg