Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon M’sia Fattah Amin saman pempengaruh RM5j kerana fitnah curang punca cerai dengan Fazura

Sep 4, 2025 | 4:25 PM
Pelakon popular Malaysia, Fattah Amin dan mantan isterinya, Fazura.
Pelakon popular Malaysia, Fattah Amin dan mantan isterinya, Fazura. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September memerintahkan pasangan suami isteri menurunkan semua hantaran di media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap pelakon Fattah Amin, berhubung punca perceraiannya dengan selebriti, Fazura.

Pempengaruh media sosial, Nuraien Adilla Hasha Akhbar, 29 tahun, selaku defendan pertama dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, 29 tahun, yang juga defendan kedua masing-masing menerbitkan hantaran fitnah dengan menuduh Fattah berlaku curang terhadap bekas isterinya.

Peguam Encik Mohd Faiz Iskandar Hamzah yang mewakili Fattah berkata Hakim Datuk Anand Ponnudurai membenarkan permohonan injuksi (menghalang) ad-interim (sementara) oleh Fattah supaya kedua-dua defendan menurunkan hantaran itu.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan plaintif (Fattah) terhadap kedua-dua defendan. Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah injunksi ad-interim untuk defendan menurunkan semua hantaran di media sosial.

“Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah ad-interim untuk defendan-defendan menurunkan semua hantaran berkenaan sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya adalah dihalang untuk menerbitkan apa-apa kenyataan berkenaan dengan plaintif, khususnya berkenaan dengan dakwaan kononnya plaintif berlaku curang,” katanya selepas ditemui media sebaik selesai prosiding dilakukan secara dalam kamar dan Fattah Amin tidak hadir.

Dalam pernyataan tuntutan saman yang difailkan pada 26 Ogos lalu, Fattah, 35 tahun, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin mendakwa Nuraien Adilla dan Mohd Hafizzuddin menerbitkan kenyataan fitnah di dalam akaun Threads masing-masing pada 29 Julai dan 22 Ogos.

Fattah berkata kenyataan fitnah yang dibuat Nuraien Adilla telah diterbitkan, ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas kepada pihak ketiga antaranya beberapa portal hiburan yang mana ia mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat awam terhadap plaintif.

Menurut Fattah, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya plaintif telah berlaku curang dengan bekas isteri apabila mempunyai hubungan dengan seorang wanita, perbuatan curang plaintif dengan wanita terbabit adalah punca perceraian dengan Fazura.

“Akibat daripada tindakan mereka, saya mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum (public humiliation) selain ia telah mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam pernyataan itu, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, Fattah memohon satu injunksi untuk menghalang defendan-defendan atau ejennya mengeluarkan, menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Fattah turut memohon kedua-dua defendan membuat kenyataan maaf tidak bersyarat secara bertulis atas terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif di akaun Threads defendan dan mana-mana akaun media sosial di kawalan mereka.

Pelakon itu turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM5 juta ($1.5 juta).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg