Fattah Amin, 35 tahun, berpendapat setiap individu ada cara tersendiri meneruskan kehidupan selepas melalui episod perpisahan.
Bagi pelakon filem Kulit Wayang itu, tidak salah jika seseorang itu cepat melupakan kisah silam kerana setiap individu melalui fasa kehidupan berbeza.
Fattah berkata demikian kepada Berita Harian Malaysia apabila diminta mengulas dakwaan dikatakan cepat ‘move on’ selepas bercerai dengan pelakon, Nur Fazura, pada 7 Oktober lalu.
“Semua yang terjadi ada hikmah dan jodoh saya pun sudah ditetapkan sekali.
“Apa yang saya lalui ini adalah takdir dan jalan yang Allah tetapkan.
“Jadi , soal saya ‘move on’ atau sama ada saya dapat jodoh cepat mahupun lambat, saya serah pada Allah... Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikkannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK) pada 24 Jun.
Bagaimanapun, Fattah tidak menafikan sesetengah lelaki cepat melupakan kisah silam berbanding wanita, namun, ia bergantung kepada apa yang mereka lalui dalam kehidupan.
“Kena tanya balik mereka ‘move on’ dari segi apa? Kalau hal perceraian, bagi saya bergantung kepada individu.
“Mungkin ada sebab mereka cepat melupakan, kena tanya dia balik. Ada pula yang lambat melupakan, bagi saya, cepat atau lambat terpulang pada individu.
“Sama juga seperti jodoh, ada yang datang cepat dan ada jodoh yang lambat,” katanya.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Mereka yang disahkan bercerai pada 7 Oktober lalu, dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, yang berusia empat tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg