Topik diikuti
Pergi ke BHkuFattah, Amira membilang hari sambut anak sulung
Fattah, Amira membilang hari sambut anak sulung
Fattah, Amira membilang hari sambut anak sulung
KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman membilang hari untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka, dijangka Jun ini.
Fattah berkata beliau kini dalam keadaan bersedia jika Amira menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin, lapor BH Online.
Sehubungan itu, Fattah hanya menerima tawaran ‘job’ (kerja) di ibu negara dan Selangor sejak isteri berada pada penghujung kehamilan.
Malah, pelbagai keperluan bayi termasuk beg berisi pakaian dan kelengkapan lain sudah disediakan andai tiba masa Amirah hendak dibawa ke hospital.
“Saya hanya terima tawaran kerja di Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ‘job’ bulan depan,” katanya ketika ditemui pada acara Picklebash 2.0 di Bukit Kiara di sini, pada 18 Jun.
Sementara itu, biarpun sudah mempunyai pengalaman bergelar bapa, Fattah mengakui tetap berdebar menantikan kelahiran anak kedua.
“Sejujurnya, saya memang agak berdebar walaupun ini bukan pengalaman pertama. Setiap kehamilan dan proses bersalin adalah berbeza, jadi, saya sendiri tidak dapat menjangka bagaimana keadaannya kali ini.
“Kadang-kadang apabila Mira mengalami kontraksi, saya mula risau dan tertanya-tanya sama ada itu petanda beliau akan bersalin. Ada masanya kami terus merujuk doktor kerana sukar membuat andaian sendiri.
“Apa pun, saya hanya mengharapkan doa yang baik-baik dan semoga segala urusan Mira untuk melahirkan anak dipermudahkan,” katanya.
Mengulas mengenai jantina bayi, Fattah berkata beliau dan isteri sudah mengetahui mengenainya, namun, memilih untuk merahsiakan perkara itu buat masa ini.
“Kami akan umumkan selepas bayi lahir,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi anak sulungnya, Nur Fatima Aisya, 6 tahun, Fattah berkata puterinya itu dijangka teruja apabila dapat bertemu adiknya kelak.
“Fatima sudah tahu dia bakal menjadi kakak dan nampak teruja. Namun, saya rasa perasaan sebenar itu mungkin akan lebih terserlah apabila dia melihat sendiri adiknya nanti,” katanya.
