Topik diikuti
Pergi ke BHkuFazura minta netizen henti ganggu hidupnya yang hanya ingin tenang besarkan anak tunggal
Fazura minta netizen henti ganggu hidupnya yang hanya ingin tenang besarkan anak tunggal
Fazura minta netizen henti ganggu hidupnya yang hanya ingin tenang besarkan anak tunggal
Aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin meminta warga maya tidak lagi mengganggu hidupnya kerana mahu melalui hari-hari dengan tenang demi membesarkan puteri tersayang, Nur Fatima Aisya, yang berusia enam tahun.
Pada sesi langsung media sosial pada 28 Julai, Fazura merayu segala bentuk provokasi terhadap dirinya dihentikan.
“Cukuplah, jangan ganggu saya. Mulai sekarang, saya dan Fatima akan sentiasa berdua mengharungi segala-galanya.
“Saya mohon kepada semua, cukuplah. Jangan ganggu saya lagi. Biarkan saya besarkan Fatima dengan sebaik-baiknya, dalam keadaan tenang dan harmoni.
“Ingatlah, jodoh, ajal dan maut semuanya sudah ditentukan Allah. Saya harap peminat saya dan Fattah Amin (bekas suami) dapat terima hakikat bahawa sudah tiada jodoh antara kami,” katanya.
Fazura berkata beliau tidak kisah sekiranya dibenci segelintir pihak, namun provokasi berterusan yang tercetus di media sosial dikhuatiri memberi kesan kepada Fatima, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Saya mohon kepada semua di luar sana, sama ada anda membenci atau tidak sukakan saya, itu hak masing-masing.
“Tetapi, apa yang paling penting, jangan ganggu saya lagi. Seperti yang saya katakan sebelum ini, selagi masih ada provokasi atau kata-kata tidak baik daripada mana-mana pihak, selagi itulah perbalahan dalam kalangan peminat akan berterusan.
“Jika provokasi dihentikan, tiada lagi perbalahan. Mulai hari ini, marilah kita hidup dalam suasana harmoni.
“Cukuplah dengan provokasi, fitnah, cacian dan kempen memburukkan orang... Cukuplah,” katanya dalam nada sebak.
Mengulas kejadian yang berlaku pada 26 Julai lalu, Fazura berkata perkara itu sudah diselesaikan selepas berbincang dengan Fattah.
“Itulah yang berlaku Ahad lalu. Saya sudah berjumpa bapa kepada Fatima dan kami sudah mencapai kata sepakat.
“Saya harap selepas ini, buat kali terakhir, semua peminat tolonglah hormati keputusan kami. Inilah yang saya sudah janjikan akan lakukan dan jika masih ada pihak yang belum tunaikan janji mereka, saya harap mereka dapat berbuat demikian,” katanya.
Fazura berkata keutamaannya kini adalah memastikan dirinya sihat, gembira dan terus bekerja demi membesarkan anak tunggalnya.
“Saya perlu sihat, saya perlu gembira dan saya perlu bekerja untuk membesarkan anak saya sebaik-baiknya. Itu sahaja yang saya harapkan.
“Maafkan saya kerana menangis hari ini. Saya tidak sangka perkara ini memberi kesan sebegini kepada saya.
“Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong dan mempertahankan saya. Saya tahu ada kalanya anda marah kerana sayangkan saya.
“Tetapi mulai sekarang, marilah kita sama-sama bersabar dan mengawal emosi demi keharmonian semua,” katanya.
Topik berkaitan Fazura dan Fattah mula diperkatakan apabila Fatima berkongsi hantaran di media sosial memaklumkan sambutan hari kebudayaan di sekolah tahun ini (2026), diserikan dengan kehadiran kedua-dua ibu bapanya itu, seperti dilaporkan BH Online pada 25 Julai.
Menerusi hantaran Instagram (IG), Fatima dilaporkan meluahkan rasa teruja dan syukur apabila berpeluang meluangkan masa bersama Fattah dan Fazura sepanjang program berkenaan.
Malah, Fatima yang membahasakan dirinya Nyamma, menyifatkan sambutan itu sebagai antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya.
Bagaimanapun, gara-gara hantaran itu, pelbagai provokasi termasuk dakwaan dan kecaman dilemparkan dalam media sosial membabitkan Fazura dan Fattah, dengan masing-masing bertindak mengeluarkan kenyataan atas kekecohan tercetus.