Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Feminin tak hirau netizen kecam saiz badan

Vokalis utama, As, anggap kecaman perkara biasa, lebih terharu disambut baik di pentas Konsert GenKRU
May 26, 2025 | 8:34 AM
feminin, GenKRU, untukmu
Anggota kumpulan Feminin, (dari kiri) Along, Watie dan As, mendapat sambutan menggalakkan ketika tampil dengan lagu ‘Untukmu’ pada konsert KRU, GenKru, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Malaysia, pada 11 Mei. - Foto HARIAN METRO

Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Begitulah pendekatan yang diambil vokalis kumpulan terkenal pada era 1990-an, Feminin, Asfarina Muhamad, 50 tahun, apabila ada netizen menghina perubahan fizikal dirinya dan juga adiknya, Ruzilawati Muhamad, selepas mereka muncul kembali dalam Konsert GenKRU pada 11 Mei di Axiata Arena, Malaysia.

Ada yang berkata: “Eh... eh... dari saiz S jadi 6XL.”

Yang seorang menambah: “Feminin dulu sekeping biskut...s ekarang dah jadi roti gebu.”

Penampilan As, khususnya, dilihat jauh berbeza selepas bergelar ibu empat anak termasuk seorang anak bongsu yang mengalami autisme.

Dahulu, beliau kelihatan lincah menari dengan gaya ranggi tetapi kini apabila ditanya Azza Elite dalam satu sesi ‘live’ di TikTok beberapa hari selepas konsert, As bersenda dan berkata:

“Bukan sahaja tak ingat ‘step’ dalam lagu Kini tapi sekarang dah tak boleh.

“Kalau bab joget yang kena duduk tu... terus duduk sahaja... dah tak boleh bangun!”

Mengulas perihal body shaming, As mengakui sudah lali dengan kecaman kerana pernah berdepan dengannya ketika mula menceburi bidang seni lebih tiga dekad lalu.

“Tidak mengapa, kami sudah biasa dengan kecaman. Macam kes body shaming, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Kalau nak survive (hidup) dalam dunia seni, begitulah caranya.

“Dari zaman dahulu sejak mula jadi artis, apa sahaja orang tak cakap pasal Feminin? Tapi, kami buat tak tahu sahaja dan tak payah nak melenting.

“Kami tak pernah nak balas apa-apa. Nak cakap apa, cakaplah.

“Kalau layan, makin menjadi-jadi. Selalunya saya tak baca komen negatif.

“Malaslah sebab tak mendatangkan faedah pun,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Media sosial kecoh dengan keterujaan peminat yang tidak sabar hendak melihat mereka beraksi dalam konsert KRU.

Ternyata, sambutan yang diterima luar biasa kerana selepas lebih dua dekad menghilang daripada radar seni, Konsert GenKRU kembali menyatukan mereka di pentas gah.

Biarpun hanya menampilkan As, Watie dan Along (Nor Askiela Zainal Abidin) tanpa kehadiran Yatie (Andriaty Abdul Rahman) dan Deq Nor (Noor Intan Zanariah Abdul Zaharin), namun, ia bukan penghalang untuk peminat berhibur sambil mengimbau kenangan lalu.

As mengakui rasa gementar dan cuak yang menghantui diri hilang sebaik sahaja melihat ribuan peminat bersorak melihat kemunculan mereka di pentas.

“Perasaan ini tidak boleh hendak digambarkan. Semuanya bercampur baur.

“Sebenarnya, masa kami naik pentas untuk buat persembahan, masa itu dikira waktu tidur saya. Maklumlah faktor usia.

“Mata memang sudah nak terlelap. Tetapi, bila nampak ribuan penonton menjerit dan memanggil Feminin, kami jadi teruja. Mata yang mengantuk terus terbeliak!

“Hendak menangis pun ada sebab kami terharu dan tak sangka kemunculan Feminin dapat sambutan luar biasa,” katanya lagi.

Pada persembahan malam itu, Feminin mendendangkan lagu ciptaan KRU, yang merupakan irama hit Feminin dan diingati ramai hingga hari ini, Untukmu.

Axiata Arena langsung menjadi ‘gegak gempita’ dengan sorakan peminat yang menyanyi bersama.

Ditanya adakah ‘reunion’ atau penyatuan semula itu dilihat sebagai detik permulaan untuk Feminin kembali aktif, As berkata perkara itu sukar dilaksanakan memandangkan masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.

“Memang ada tawaran mahu Feminin kembali sejak 2022. Namun disebabkan kekangan masa, kami terpaksa tolak.

“Macam saya, sibuk urus keluarga. Saya buat kali ini disebabkan hendak hargai jasa KRU yang banyak menghasilkan lagu untuk Feminin selain ubati kerinduan peminat.

“Dalam situasi sekarang, semuanya kena dapat keizinan suami. Apabila Azman Adnan (suami As yang merupakan pemain bola sepak legenda) benarkan, barulah saya bersetuju.

“Sepatutnya, Yatie akan sertai kami, namun disebabkan kesibukan, dia tak dapat bersama.

“Keutamaan Feminin sekarang berbeza berbanding ketika kami masih berusia 20-an tahun.” ujarnya.

Disebabkan kesibukan, As berkata, mereka tidak punya banyak masa untuk membuat latihan sebelum malam konsert.

“Kami hanya sempat buat latihan pada Jumaat dan Ahad, berlatih dua kali sebelum konsert.

“Pada malam konsert, demi untuk menghilangkan perasaan gugup, kami menyanyi secara santai sahaja.

“Apa yang penting, peminat terhibur dan kerinduan mereka untuk melihat Feminin kembali beraksi terubat,” katanya.

Feminin dibubar secara rasmi pada 1997 berikutan pengunduran anggota dan krisis ekonomi yang memberi kesan kepada industri muzik.

Pernah dinobatkan sebagai pemenang trofi Artis Baru Duo/Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi pertama pada 1993, mereka terkenal dengan lagu, Untukmu, Kini, Rindu, Kehadiran serta ‘cover’ Ideal Sisters, Hanya Sekali.

Dalam pada itu, turut tular ialah video persandingan Deq Nor di Sarawak, di mana sekumpulan remaja dan kanak-kanak mengenakan pakaian serba kuning seperti dalam klip video Untukmu kumpulan Feminin.

Mereka berlima membuat persembahan sehingga Deq Nor yang teruja menyanyi sama di tempat duduknya sebak dan terharu sehingga menitiskan air mata.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg