Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘Arze’ selami semangat waja wanita Timur Tengah

Berlatarbelakangkan masyarakat di Beirut, ‘Arze’ filem terakhir ditayang di pawagam The Projector sebelum penutupan
Aug 21, 2025 | 5:30 AM
 Diamand Abou Abboud, arze
Pelakon asal Lebanon, Diamand Abou Abboud, terima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kahirah, bagi persembahannya dalam filem Arze, pada 2024 - Foto INSTAGRAM THE PROJECTOR

Ada sesuatu yang sayu tetapi bermakna apabila Arze, sebuah filem dari Timur Tengah, menjadi antara tayangan terakhir di pawagam ‘indie’, The Projector, sebelum ia menutup tirai secara mengejut pada 19 Ogos lalu, dek cabaran industri yang penuh dengan pasang surutnya.

Pawagam itu mungkin sudah sunyi, namun kisah yang dipaparkan dalam tayangan filem terakhir mereka masih segar dalam ingatan saya.

Bayangkan anda bersandar di atas sofa empuk dalam sebuah pawagam yang membangkitkan nostalgia suasana klasik.

Ada keharuman samar dalam pawagam itu, bukan hanyir atau tengik, tetapi bau campuran karpet lama dan langsir baldu, seolah-olah mencipta suasana yang hangat dan penuh kenangan.

Meskipun suasananya berbeza daripada pawagam arus perdana, ruang The Projector yang bertempat di Golden Mile Tower itu, tetap memberikan keselesaan tersendiri ketika saya menikmati filem alternatif, Arze, pada 6 Ogos.

Ia merupakan filem Timur Tengah pertama yang dikeluarkan di Singapura oleh syarikat penerbitan dan pengedaran karya filem, Hazelnut Media. 

Melebihi sekadar filem, Arze merupakan sebuah kisah yang menyelami ketabahan dan semangat waja kaum Hawa, lebih-lebih lagi mereka yang memikul tanggungjawab keluarga dalam kesempitan ekonomi dan keadaan sosial yang getir akibat peperangan serta perselisihan kaum di Timur Tengah.

Ia mengisahkan tentang seorang ibu tunggal bernama, Arze (lakonan Diamand Abou Abboud), yang tinggal bersama anak lelakinya, Kinan (Bilal Al Hamwi) serta kakak perempuannya, Layla (Betty Taoutel), di Beirut, Lebanon.

Bergelut dengan tekanan untuk mencari rezeki, Arze mencari jalan penyelesaian dengan menggadaikan gelang perhiasan Layla, demi membeli sebuah skuter agar anaknya, Kinan dapat menghantar pesanan pai sayur buatannya kepada pelanggan.

Peristiwa kecurian skuter Arze mencetuskan kekacauan, hingga segala rahsia keluarga terbongkar dan emosi yang dipendam mula terserlah.

Disebabkan bantuan polis tidak memberikan hasil, Arze mengambil langkah berani sekali gus mengheret Kinan menyusuri berbagai sudut kota Beirut untuk mencari kenderaan berharga itu.

Babak kemuncak adalah ketika Arze terpaksa menyamar sebagai seorang Muslim Sunni, kemudian Syiah, dan akhirnya seorang Kristian, setiap kali melintasi kawasan yang berbeza demi menjejaki skuternya yang hilang.

Namun, yang lebih meninggalkan kesan adalah pertemuannya dengan seorang warga tempatan yang berkata:

“Tidak ada siapa akan percaya padamu. Mereka hanya percaya pada kaum mereka sendiri.”

Kata-kata itu membuat saya merenung lebih jauh tentang jurang perbezaan kaum, serta krisis kepercayaan yang wujud akibat konflik perang saudara.

Sentuhan kreatif dan bijak pengarah, Mira Shaib, menjadikan babak pencarian skuter itu lebih daripada sekadar perjalanan fizikal, malah juga sebagai simbol merentasi sempadan kaum, budaya serta ketegangan yang masih mendarah daging dalam masyarakat Beirut moden.

Selain itu, saya turut kagum dengan penjiwaan pelakon asal Lebanon iaitu, Diamand sebagai Arze, yang menampilkan pelbagai kedalaman emosi dalam lakonan – sebagai seorang ibu dan juga adik perempuan, yang sentiasa mendahulukan orang lain. 

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Berita Harian (BH), Diamand akur ia satu cabaran mengetengahkan lapisan perjuangan rumit seorang wanita yang seringkali dipandang remeh oleh masyarakat.

“Watak Arze bagai dihanyutkan gelombang emosi yang rumit.

“Beliau seorang yang keras kepala dan penuh tenaga, tetapi di sebalik itu, beliau juga menyimpan kerentanan. 

“Ada konflik dalam dirinya, antara mahu bertindak, tetapi takut.

“Bagaimanapun, dalam kesedihan, beliau tetap melangkah maju, dan di situlah terletaknya keindahan dirinya yang memiliki pelbagai lapisan emosi dek cabaran yang datang bertali arus,” kata Diamand kepada BH.

Lebih mengagumkan lagi, Diamand turut menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kahirah, bagi persembahannya dalam filem Arze, pada 2024.

Sementara itu, Bilal, pelakon kelahiran Syria yang dibesarkan di Lebanon, berkongsi bahawa Arze merupakan penampilan sulungnya di layar perak.

Dalam Arze, Bilal memegang watak Kinan, seorang remaja yang memiliki pemikiran keanak-anakan.

“Kinan mahu mengejar impian untuk melanjutkan pelajaran di luar negara bersama kekasihnya. 

“Tetapi pada masa yang sama, beliau juga tahu ibunya sangat memerlukan bantuan daripadanya. 

“Beliau tersepit antara impian peribadi dan tanggungjawab keluarga,” kata Bilal.

Menyentuh hubungan Kinan dengan ibunya, Arze, Bilal menyifatkan Kinan sebagai “remaja yang tidak tahu arah tuju dalam hidupnya”.

“Kinan berasa ibunya tidak benar-benar memahami dirinya.

“Oleh itu, beliau lebih rapat dengan mak ciknya, Layla,” tambah Bilal.

Menyentuh pesanan dan harapan yang ingin disampaikan kepada penonton antarabangsa melalui filem Arze, Diamand berkata:

“Melalui filem ini, ia sebenarnya mencetuskan rasa untuk kita muhasabah diri, melihat kembali siapa diri kita dan bagaimana kita memandang hidup ini.

“Itu sangat penting, bukan sahaja untuk perkembangan diri, malah juga untuk generasi akan datang, perkembangan masyarakat serta kemajuan negara. 

“Dan saya percaya, pesanan sebegini juga relevan buat penonton antarabangsa.”

Butiran lanjut mengenai tayangan filem Arze tidak dapat dikemukakan memandangkan pawagam The Projector telah menutup operasi dengan serta-merta pada 19 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg