Sebelum menonton filem Memori arahan Abid Hussain, saya melihat gambar di Instagram pada lewat Julai di mana ramai penonton di pawagam Malaysia menangis kerana tersentuh dengan jalan ceritanya.
Filem itu menceritakan mengenai Dr Hassan (lakonan Datuk Hilal Azman) yang disahkan menghidap penyakit Alzheimer dan tinggal bersendirian.
Apabila terlibat dalam satu kemalangan, anaknya, Imran (lakonan Hisyam Hamid) terpaksa pulang untuk menjaga bapanya walaupun sudah lama berjauhan kerana mempunyai hubungan yang tegang dengan bapanya.
Walaupun perlu menunggu hingga 14 Ogos untuk tayangannya di Singapura, saya tertarik untuk menonton filem tersebut kerana memaparkan tema kekeluargaan, sesuatu yang dekat di hati ramai penonton.
Konflik mula timbul apabila Imran pulang melawat bapanya bersama isterinya Rina, (lakonan Diana Danielle) namun sebenarnya mereka sedang mengalami masalah rumah tangga dan ingin berpisah.
Apabila mendengar mereka berdua bertengkar di dalam bilik, Dr Hassan keluar dari rumah dan membuat anaknya tercari-cari ke mana bapanya mehilang sepanjang hari.
Dari situlah, Imran dan Rina mula mengetahui mengenai keadaan bapa mereka yang semakin merosot dan memerlukan bantuan penjaga setiap masa untuk menguruskan kehidupan hariannya.
Mereka berdua bersetuju untuk tidak pulang ke Kuala Lumpur dan menetap di Terengganu untuk menjaga Dr Hassan buat sementara waktu.
Namun, keputusan itu turut membuka luka lama dalam diri Imran yang tidak dapat menerima cara bapanya menolak dirinya ke dalam laut semasa kecil – satu cara untuk mengajarnya mengatasi rasa takut dan belajar berenang.
Memori dari insiden itu turut membuat Imran rasa marah dengan bapanya yang sentiasa mahukan yang terbaik dalam diri anaknya itu.
Pada pendapat saya, Datuk Hilal dan Hisyam berjaya menghidupkan watak masing-masing dan membuat penonton memahami apa yang dirasakan kededua individu tersebut.
Walaupun saya mengenali lakonan Datuk Hilal daripada drama bersiri komedi Keluarga Iskandar, saya tersentuh melihat cara beliau menjiwai watak seorang warga emas dengan demensia.
Diana turut berjaya menghidupkan watak Rina yang prihatin dan mendahagakan kasih sayang daripada orang tua selepas kehilangan kededua ibu bapanya.
Walaupun membawa watak pembantu, ia menggambarkan keadaan sebenar yang dilalui penjaga sepenuh masa apabila berhadapan dengan pesakit demensia.
Membesar sepanjang hidup saya bersama datuk nenek dan duduk serumah dengan mereka hingga kini, saya dapat menghayati jalan ceritanya dan turut bersimpati dengan watak Dr Hassan.
Saya teringat bagaimana datuk saya sangat aktif suatu ketika dahulu.
Beliau akan menghantar saya ke sekolah setiap hari tanpa rasa jemu – dari saya di tadika sehingga saya ke universiti.
Kini, saya melihat bagaimana beliau tidak selincah pada usia lewat 80-an namun bersyukur dapat terus meluangkan masa bersamanya setiap hari.
Bagi saya, Memori merupakan filem yang membawa banyak nasihat tentang menghargai hubungan antara ahli keluarga seperti sikap toleransi dan saling membantu satu sama lain.
Ia turut mengupas isu demensia dalam kalangan masyarakat setempat dengan jumlah penduduk dalam negara ini semakin menua.
Jalan ceritanya yang mudah difahami dengan sinematografi yang menunjukkan keindahan pantai di Terengganu merupakan sesuatu yang akan membuat penonton tertarik dengan naskhah tersebut.
Ia turut memberi peluang kepada penonton untuk mengimbau kembali kenangan pahit manis bersama orang tua mereka.
Pastinya, filem Memori merupakan karya yang wajib ditonton semua lapisan masyarakat.
Memori sedang ditayagkan di dua cawangan pawagam Golden Village, Yishun 10 dan Vivocity.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg