Ungkapan takkan Melayu hilang di dunia sering kita dengar, tetapi sudahkah kita benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan nilai dan seni Melayu yang terus bertahan hingga ke hari ini?
Pertanyaan ini sering bermain di kotak fikiran saya, adakah kita sebagai orang Melayu sudah cukup mengenal siapa diri kita?
Mungkin soalan ini juga wajar menjadi bahan muhasabah bersama.
Akhir-akhir ini, dunia perfileman di rantau ini semakin banyak memaparkan warisan nilai dan seni Melayu, khususnya silat.
Filem epik seperti Mat Kilau (2022) dan Pendekar Awang: Darah Indera Gajah (2024) contoh karya yang mengangkat kisah perjuangan dan kepahlawanan pendekar Melayu dalam menghadapi penjajahan dan penindasan Barat.
Peminat dunia perfileman Melayu juga pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem, Gayong, terbitan SOL Pictures dan diarahkan pengarah asal Singapura, Faisal Ishak.
Bagi saya, pengarah Faisal, yang dikenali dengan filem trilogi bertemakan jenayah, Juvana (dari 2013 hingga 2016) telah mempersembahkan satu karya biopik yang sarat dengan nilai seni dan budaya, serta adab orang Melayu.
Dalam Gayong yang berlatarkan 1940-an di Singapura, beliau menyulam perjalanan hidup mahaguru silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, lakonan Beto Kusyairy, dengan keindahan seni silat yang memukau.
Melalui penceritaan yang mendalam dan sinematografi yang menarik, Faisal bukan sahaja menggali khazanah warisan Melayu, malah membangkitkan pelbagai emosi penonton, daripada rasa syahdu dan marah hingga bahang semangat yang membara, dengan kehalusan sentuhan artistiknya.
Selain Beto, filem ini turut menampilkan persembahan cemerlang daripada Syafie Naswip, Nabila Huda, serta Yayan Ruhian, pelakon kelahiran Indonesia yang terkenal melalui pelbagai filem aksi bertaraf antarabangsa.
Filem ini telah mula ditayangkan di pawagam pada 8 Mei di Malaysia dan 22 Mei di Singapura.
Ketika saya mengetahui pelakon Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 45 tahun, memainkan watak utama sebagai Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, saya tidak rasa terkejut malah, sangat menanti-nantikan persembahan lakonannya yang dijangka memuaskan.
Lebih-lebih lagi setelah melihatnya menunjukkan kemahiran dalam seni silat melalui watak Wahid dalam filem Mat Kilau, arahan Syamsul Yusof, dan bonusnya, Beto dikatakan telah mendalami seni silat gayong sejak berumur tujuh tahun lagi.
Kehebatan lakonannya yang luar biasa, dipadukan dengan paparan emosi yang mendalam, berjaya menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan penonton, sekali gus menjadikan watak Wahid begitu mengesankan.
Dalam Gayong, babak aksi yang menjadi kegemaran saya adalah ketika Meor berlaga dengan tentera Barat di bilik dapur bersih di Berek Gillman, Singapura – yang kini telah bertukar menjadi galeri seni kontemporari – di tengah-tengah keadaan yang gelap gelita.
Degupan jantung saya jadi tidak keruan melihat piring bertebaran jatuh dan sesekali Meor tewas dek terkena pukulan tentera British yang bertubi-tubi.
Bagaimanapun, keahlian dan kecekapan Meor bersilat walau dalam keadaan yang menghambat penglihatannya, berhasil menarik perhatian Leftenan Kolonel Pope, yang kemudian melantiknya sebagai jurulatih seni bela diri tanpa senjata untuk membimbing pasukan tentera British.
Ini merupakan satu penghormatan besar kerana beliau menjadi orang Melayu pertama yang memikul peranan tersebut.
Rasa hormat saya kepada sosok yang bernama Meor ini turut memuncak apabila beliau beradu kemahiran dengan Master Chan (lakonan Eric Chen), pelatih seni bela diri kungfu yang dipertontonkan tentera British.
Meskipun, sudah terang lagi bersuluh, keunggulan ilmu silat Meor dapat menandingi kemahiran Master Chan, namun tidak sekali pun niatnya ingin memperlekehkan seni bela lain dan menconteng arang pada muka seorang mahaguru kungfu.
Ungkapan Meor yang masih tersemat dalam ingatan adalah setiap seni bela diri mempunyai keistimewaannya sendiri, tanpa ada yang lebih unggul.
Silat hanyalah alat untuk mempertahankan diri, membuat masyarakat Melayu lebih ampuh dan tidak seharusnya digunakan untuk membunuh atau dimegah-megahkan.
Begitulah halusnya cara orang dulu mengungkapkan nilai adab yang sebenar dalam budaya Melayu, membuatkan saya tersentuh dan sedikit malu menyedari betapa ceteknya pemahaman saya tentang budi pekerti orang Melayu.
Sementara itu, lakonan Nabila memegang watak Che Som, isteri Meor juga patut diberikan pujian.
Beliau merupakan tonggak kekuatan Meor sehingga menjadi mahaguru silat gayong yang dihormati.
Ketangkasan Nabila memaparkan seni silat dengan menggunakan kain cindai juga sangat menakjubkan, meskipun dalam babak yang singkat.
Setelah menyaksikan ketiga-tiga filem ini iaitu, Mat Kilau, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dan Gayong, jelas terlihat semangat serta dedikasi tinggi para penerbit yang berjaya menggambarkan nilai Melayu melalui kisah perjalanan pendekar dan pahlawan Melayu, satu usaha yang wajar diberi penghargaan.
Walaupun saya berharap filem Gayong dapat menampilkan lebih ramai pelakon Singapura untuk menambah elemen ‘lokal’, saya juga ingin penonton melihat filem ini melampaui sekadar kisah sejarah dan menghayati pesanan yang ingin disampaikan.
Mungkin harapan agar filem di rantau ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa terdengar terlalu tinggi, tetapi saya yakin dengan bakat dan dedikasi industri perfileman serantau yang semakin berkembang.
Tidak mustahil filem terbitan rantau ini mampu menembusi pasaran sejagat, sebagaimana kejayaan Ip Man, meraih kutipan ‘box-office’ antarabangsa sekali gus menyegarkan semula seni bela diri kung fu bagi generasi muda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg