Topic followed successfully
Go to BHkuFilem terakhir Dharma Harun bakal ditayang di pawagam M’sia
Filem terakhir Dharma Harun bakal ditayang di pawagam M’sia
Pembabitan pelakon popular era 1980-an dalam filem itu adalah secara kebetulan
Filem terakhir Dharma Harun bakal ditayang di pawagam M’sia
AMPANG: Penerbit filem Felai Fx: Apa Mau Takut, Richard Ung bersama pengarahnya, Zamri Zakaria menjelaskan pembabitan pelakon popular era 1980-an, Allahyarham Dharma Harun Al-Rashid dalam naskhah itu adalah secara kebetulan, iaitu tanpa dirancang lebih awal.
Richard berkata pada awalnya Allahyarham Dharma hanya hadir untuk menemani anaknya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35 tahun, untuk mengikuti sesi uji bakat filem berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, kehadiran pelakon legenda itu tidak disangka membuka ruang lain apabila mereka melihat arwah Dharma masih berada dalam keadaan cergas dan sesuai untuk memegang watak penting.
Richard berkata beliau kemudian mencadangkan kepada Zamri agar Allahyarham Dharma diberi peranan sesuai dengan kredibiliti dan pengalamannya.
“Ketika itu, arwah belum ada masalah kesihatan. Arwah datang untuk uji bakat Syafiq.
“Tapi saya tengok arwah masih ‘solid’. Jadi, saya terus cadangkan beliau kepada pengarah untuk bawa watak ketua sindiket atau ketua kelab ‘rader’ itu.
“Arwah bawa watak Rudi dengan baik,” katanya ditemui pada majlis doa selamat meraikan tayangan filem Felai Fx serta tahlil buat Allahyarham Dharma di Masjid Al Mustaqim, di sini, baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, Allahyarham Dharma menghidap gastrik, asma, selain masalah bengkak pada jantung, paru-paru dan tiroid.
Syafiq berkata beliau dan bapanya bagaimanapun tidak muncul dalam babak sama.
Naskhah berkenaan disiapkan pada 2024, iaitu ketika ayahnya masih sihat dan mampu bermain alat muzik.
Ditanya perasaannya apabila melihat ayahnya berlakon di set penggambaran, Syafiq mengakui kagum dengan watak yang dibawa ayah yang disifatkan cukup berkarisma.
“Di set penggambaran, saya kagum waktu babak pertama Ayah muncul.
“Arwah macam watak dalam cerita Godfather... Itu saya sangat suka.
“Saya tidak sangka ayah bawa watak gangster dengan baik,” jelasnya.
Syafiq berkata beliau menerima pelbagai tawaran berlakon hasil pembabitan dalam sebuah filem antarabangsa, iaitu kerjasama dengan Indonesia dan tenaga kerja dari Hollywood, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Syafiq menjelaskan kebanyakan tawaran lain terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadual kelasnya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Filem Felai Fx: Apa Mau Takut yang bakal memasuki pawagam di seluruh negara pada 30 April, adalah lakonan terakhir Allahyarham Dharma yang terkenal dengan filem Adik Manja pada era 1980-an.

