KUALA LUMPUR: Adik mana yang tidak merindui kakaknya yang telah lama tidak ditemui.
“Saya betul-betul rindukan kamu dari lubuk hati ini,” demikian luahan bintang veteran, Noor Kumalasari, 69 tahun, terhadap kakak tersayang, Anita Sarawak, 72 tahun, yang sehingga hari ini didakwa belum ditemui, selepas penyanyi Seksis itu dilapor pulang ke Amerika Syarikat (AS), secara tiba-tiba pada 2011.
“Sudah berapa lama kita tidak bercerita panjang, ketawa dan faham antara satu sama lain, seperti waktu dahulu.
“Noor cukup rindukan detik di mana kita berdua boleh ketawa, berkongsi cerita lucu dan kisah peribadi. Noor harap kita dapat berjumpa.
“Semoga Allah rahmati Anita dan Mahathir (suami Anita), tetapkan iman dan beroleh ukhrawi yang diredai Allah. Jaga diri dan Noor sayangkan Anita selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Noor Kumalasari berkongsi kerinduan terhadap Anita dalam program audio siar kendalian Syahril A Kadir di saluran Tanah Berdaulat TV, yang mula disiarkan di YouTube, pad 16 Julai, tukil Berita Harian Malaysia (BHM).
Noor Kumalasari mendedahkan kali terakhir beliau dapat berbual panjang dengan Anita, kira-kira dua tahun lalu (2023). Bagi beliau, Anita cukup istimewa kerana mereka sangat rapat sejak kecil.
“Mestilah saya rindukan dia. Sedangkan Dharma Harun Al Rashid (gandingan dalam filem ‘box office’ Adik Manja) pun saya hendak jumpa, apatah lagi kakak sendiri yang rapat sejak kecil,” katanya bergenang air mata mengenangkan Anita.
Noor Kumalasari berkata, Anita menjadi insan ‘penyelamat’ apabila memulihkan semangat dirinya selepas dikecam teruk wartawan yang menyaksikan beliau beraksi dalam persembahan di sebuah stadium di Kuala Lumpur, pada era 1970-an.
“Saya dikritik teruk apabila dikatakan tidak boleh menyanyi. Suara saya dikatakan sama macam Anita dan hendak tiru dia hingga saya alami kemurungan.
“Ketika berada di Singapura, saya hubungi Anita untuk mengadu. Anita nasihatkan saya, kalau hendak jadi orang seni, kena telan semua kritikan terutama sekali penyanyi.
“Anita suruh saya ambil kritikan itu sebagai cabaran untuk perbaiki diri,” katanya.
Mengimbau detik kepulangan Anita ke Amerika Syarikat, Noor mendakwa tidak dimaklumkan dan tidak tahu perancangan kakaknya untuk meninggalkan Malaysia.
“Anita pergi mendadak. Ketika saya hubungi salah seorang kakak kami, dia beritahu, mereka sudah hantar Anita pulang,” katanya.
Bagi mengubati kerinduan terhadap Anita, Noor Kumalasari suka menyediakan juadah kegemaran kakaknya, iaitu ayam adobo.
Sebelum mengakhiri temu bual, Syahril bertanya Noor Kumalasari mengenai kerinduan peminat terhadap dirinya.
Noor yang menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31, mengakui mengikuti komen peminat dan berterima kasih kerana mereka tidak pernah berhenti mendoakannya.
“Bagi saya berlakon dan menyanyi adalah kenangan manis. Saya tidak akan buka balik buku lama dengan izin Allah.
“Bagaimanapun, saya berharap peminat terus berdoa untuk saya. Sama juga, saya akan sentiasa doakan peminat,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg