KUALA LUMPUR: Pelakon veteran yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja, iaitu Dharma Harun Al Rashid, 69 tahun, dilapor meninggal dunia sendirian di rumahnya pada 25 November.
Anak Allahyarham Dharma, iaitu Muhammad Al Syafiq, 36 tahun, mengesahkan pemergian bapanya itu.
Muhammad Al Syafiq memberitahu, setibanya di rumah dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kira-kira 9.10 malam, bapanya didapati sudah tidak bernyawa.
“Saya baru balik kelas... Dia jatuh. Tubuh badannya sudah keras dan sejuk. Saya pusing mana pun dia keras. Saya sudah panggil ambulans,” katanya yang kedengaran panik ketika dihubungi Harian Metro.
Pada Julai lalu, Harian Metro melaporkan keadaan fizikal Allahyarham Dharma yang popular pada era 1980-an itu semakin merosot.
Keadaan Allahyarham Dharma hangat diperkatakan selepas Muhammad Al Syafiq memuat naik foto arwah mengerjakan solat dalam keadaan duduk.
Allahyarham Dharma yang juga popular dengan filem Sikit Punya Gila dilaporkan mengakui berat badannya hanya 45 kilogram.
Allahyarham Dharma tinggal bersama Muhammad Al Syafiq dan anak perempuannya, Siti Qurratu Aini, 37 tahun, yang juga masih mengikuti pengajian di Aswara.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, mengenang Allahyarham Dharma Harun Al Rashid sebagai insan berkeperibadian lembut, bersahaja dan diminati ramai.
“Saya berdukacita menerima perkhabaran bahawa seniman Dharma Harun Al Rashid telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
“Pertemuan saya dengan Allahyarham Dharma pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada artis veteran di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) awal tahun ini (2025) masih segar dalam ingatan.
“Beliau seorang yang berkeperibadian lembut, bersahaja dan dihormati ramai,” tulisnya dalam catatan Facebook.
Fahmi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dharma dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat dirasai ini.
“Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Dharma dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Aniq Suhair, tidak menyangka telefilem Ayah yang menggandingkannya dengan Allahyarham Dharma Harun Al Rashid merupakan naskhah terakhir lakonan bintang legenda itu.
Aniq yang membawakan watak anak Dharma berkata beliau terkejut sebaik menerima berita pemergian pelakon veteran itu.
“Saya rasa sangat sayu mengenangkan pemergian sebutir permata berharga dalam industri. Pada masa sama, saya bertuah kerana dapat berkongsi set dengan arwah,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) pula.
Aniq berkata beliau masih sempat berjumpa anak arwah, Muhammad Al Syafiq, baru-baru ini dan bertanyakan perkembangan kesihatan bapanya.
“Syafiq maklumkan ayahnya dalam keadaan baik. Jadi apabila menerima berita pemergian arwah, saya sangat terkejut dan terkilan,” ujarnya.
Bagi Aniq, Allahyarham Dharma bukan sekadar figura legenda yang dihormati, malah seorang insan penuh budi pekerti dan rendah hati.
“Arwah bukan hanya seorang pelakon hebat, tetapi juga guru yang penuh pengalaman dan kasih sayang. Walaupun berstatus legenda, arwah sangat merendah hati, suka bergurau dan selalu menceriakan suasana di set.
“Cara arwah menegur, membimbing, menyakat dan berbual membuatkan saya rasa seperti sedang bersembang dengan datuk sendiri. Orangnya lembut, berbudi bahasa dan tidak pernah kedekut ilmu,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg