Gara-gara ‘Gedik Raya’, Ifa Raziah dikecam papar babak kurang sopan
Gara-gara ‘Gedik Raya’, Ifa Raziah dikecam papar babak kurang sopan
Penyanyi, pelakon dan personaliti popular, Datuk Ifa Raziah, dikecam netizen di media sosial selepas video muzik lagu Raya miliknya, Gedik Raya, memaparkan adegan yang menonjolkan bahagian belakang badan sehingga dianggap kurang sopan oleh segelintir pihak.
Bagaimanapun, Ifa, 50 tahun, memaklumkan visual terbabit merupakan hasil imej janaan komputer (CGI), dan suntingan penerbitan bagi mendapatkan kesan visual tertentu.
Menurut pelakon drama Spa Q itu, ramai pihak tidak tahu mengenai perkara itu dan terus membuat andaian tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Kalau dilihat secara objektif, pergerakan yang saya lakukan juga sangat sederhana, tidak keterlaluan dan tidak menjolok mata seperti yang digambarkan.
“Malah, ada banyak karya lain yang jauh lebih berani tetapi tidak menerima kecaman sebegini.
“Jadi, di situ saya lihat persepsi masyarakat kadang-kadang dipengaruhi oleh siapa individu terbabit, dan bukan pada apa yang sebenarnya ditonton,” katanya dalam laporan, Harian Metro.
Secara peribadi, Ifa menganggap isu itu diperbesarkan dan ada unsur ‘double standard’ (pilih kasih).
Beliau menambah babak yang diperkatakan itu hanyalah sebahagian daripada koreografi tarian dalam video muzik.
“Kalau kita lihat banyak video muzik Raya lain pun, semuanya ada babak tarian dengan pelbagai pergerakan dan ‘gerakan’ itu perkara biasa dalam karya hiburan.
“Jadi, saya tidak faham kenapa apabila membabitkan saya, ia tiba-tiba menjadi satu kesalahan besar.
“Tarian sudah wujud sejak zaman dahulu lagi dalam budaya hiburan kita, daripada persembahan pentas, filem, sehinggalah video muzik moden.
“Kenapa sekarang tiba-tiba ia dianggap salah hanya kerana membabitkan saya?,” ujarnya.
Bagaimanapun, dalam industri hiburan, Ifa akur kritikan memang perkara yang tidak boleh dielakkan oleh mana-mana selebriti.
“Saya sudah hampir 30 tahun berada dalam bidang ini, jadi saya sangat faham apabila kita tampil dengan sesuatu yang berbeza atau berani, pasti akan ada respons, sama ada positif atau negatif.
“Dari segi mental, saya memang sudah bersedia.
“Sepanjang perjalanan kerjaya saya, saya sudah melalui pelbagai fasa iaitu pujian, kecaman, pahit dan manis.
“Semua itu sebenarnya mematangkan saya sebagai seorang artis dan individu.
“Apa pun, saya hormati pandangan individu, tetapi pada masa sama saya juga berhak berkarya mengikut identiti saya sebagai artis.
“Yang penting niat saya adalah untuk menghiburkan, bukan untuk menyinggung mana-mana pihak,” tambah Ifa.

