Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ifa Raziah sekeluarga rancang kerjakan umrah bersama Roslan Shah

May 18, 2025 | 5:30 AM
Ifa Raziah, Cik Lan, Roslan Shah, Berdamai
Datuk Ifa Raziah akui ego yang kadangkala menjadi hambatan baginya memulihkan hubungan dengan Roslan Shah. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Kalau ikutkan hati yang masih panas membara mengenangkan perselisihan faham antaranya dengan pengacara asal Singapura, Roslan Shah, memanglah Datuk Ifa Raziah terasa berat menamatkan ‘perang dingin’ mereka selama tujuh tahun.

Bagaimanapun, setelah adik bongsunya, Allahyarhamha Sharifah Norhana Mustapha, meninggal dunia pada November 2024, berdetik di hatinya, “Apakah dengan bermasam muka selamanya dengan Cik Lan (nama pentas Roslan) akan membawa pada ketenangan hati yang didambakan?”

Ifa, 49 tahun, atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, akan selalu teringatkan dua perkara yang dianggap jasa besar Roslan kepadanya, iaitu menahan kereta yang dipandu seorang jejaka bernama Mohd Yani Abdul Rahman, yang kemudian diperkenalkan kepadanya.

Tup...tup...bibit-bibit cinta mekar antara Ifa dengan Mohd Yani, yang kini sudah bergelar suaminya selama 21 tahun, sejak 2004.

Kedua, Roslan, 55 tahun, juga adalah antara sahabat yang sanggup membantu Ifa mengurus jenazah arwah ibunya pada 2010, bahkan mengusung jenazah bonda tercinta sehingga ke liang lahad.

“Sememangnya, semasa Cik Lan datang ke reruai saya di Singapore Expo tahun lalu (2024) untuk ucap salam takziah dan serahkan sampul wang untuk arwah adik saya, Ana, saya memang keras hati dan tak nak layan sangat.

“Dia hubungi saya beberapa kali nak minta maaf. Tapi sebab kami dah tak berkawan selama tujuh tahun dan saya masih sakit hati atas perbuatannya dan tak boleh nampak muka dia, maka saya pun layan Cik Lan macam acuh tak acuh.

“Dia nak beri duit untuk anak-anak arwah adik, saya sengaja cakap, ‘Aku tak perlu duit kau, Cik Lan’.

“Tapi mungkin pemergian adik saya itu menjadi asbab untuk Allah buka pintu hati saya agar kembali bersahabat dengannya, maka perlahan-lahan, hati saya mula berlembut,” kongsi Ifa, dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM).

Perselisihan faham mereka terjadi apabila Roslan mendakwa Ifa mengupah orang untuk menembaknya.

Kededuanya juga telah membuat laporan polis berkenaan hal serius ini.

Menurut Ifa lagi, selepas hatinya sejuk sedikit dan menerima sedekah Roslan kepada anak-anak saudaranya sebagai satu langkah murni, beliau sengaja berseloroh meminta pembantu peribadinya yang dianggap lurus bendul agar meminta Roslan menambah wang yang disumbangkan.

“Saya minta pembantu peribadi saya beritahu Roslan, ‘Mak ayam (Ifa) cakap tak cukup...kalau beri dalam mata wang dolar Singapura, tak apalah juga...Kita kali tiga (bagi dapatkan tukaran mata wang ringgit Malaysia). Ini masih dalam duit ringgit!

“Tak tahan saya ketawa sebab gurauan saya ni disangka serius oleh pembantu peribadi dan sekali gus Cik Lan. Hai, dia boleh tambah pula wang dalam sampul.

“Dari situ, saya selami betapa murninya hati Cik Lan yang prihatin tentang anak-anak arwah adik saya. Lama benar saya tak tertawa geli hati memikirkan kesungguhan Cik Lan mengikut kata saya, yang sebenarnya bergurau.

“Saya maafkan Cik Lan walau pada masa itu, saya tak boleh lupakan keperitan yang dia bawa pada kehidupan saya dek dakwaan tersebut,” cerita Ifa.

Menurutnya, masa memang mengubah segalanya walaupun tempoh tujuh tahun untuk berdamai dianggap sangat panjang.

“Saya selalu beritahu kepada orang-orang yang meminta kami berbaik semula bahawa mereka tak tahu bagaimana kejadian macam ni masih bikin saya sakit hati. Sebabnya, mereka tak kena dan mereka tak tahu.

“Saya pun ingat Cik Lan ni sengaja nak bikin kandungan media sosial bagi menularkannya untuk pengikutnya. Tapi Allah Maha Kaya, hati saya terbuka perlahan-lahan.

“Sesungguhnya, macam lagu Aishah, Kemaafan Dendam Yang Terindah,” ujar ibu dua anak ini.

Menurutnya, mereka sudah lama saling membantu satu sama lain, di mana Singapura sudah menjadi seperti rumah keduanya, dalam urusan berniaga dan membina kerjaya seni.

Roslan turut membantunya menebarkan sayap niaganya di Singapura, sepertimana bantuan yang dihulurkan kepada Roslan di Malaysia.

“Bapa mentua saya orang Singapura. Beraya di Singapura pun dah jadi perkara biasa.

“Saya akur semua insan tak sempurna. Kalau diimbas balik, kami masing-masing ada sifat buruk atau kelemahan.

“Tapi kalau tak kerana Cik Lan tahan kereta yang dipandu jejaka bernama Mohd Yani di depan rumah saya, hai...saya takkan bertemu jodoh dengannya.

“Pada 2010, Cik Lan pun ada ketika saya kehilangan arwah ibu saya. Seminggu sekali dia jenguk ibu di hospital.

“Semasa jenazah dikebumikan, dia juga yang mengusungnya sampai ke liang lahad. Tak semua sahabat yang melakukan perkara seperti ini.

“Semasa Cik Lan kehilangan ibunya pada 2019, apakan daya? Kami dah bergaduh tetapi saya sampaikan takziah menerusi seorang rakan usahawan di Singapura, Che Ta SG. Sebab saya ingat arwah ibu Lan, yang pernah saya temui,” jelas Ifa lagi.

Kerana arwah ibu Roslan, Ifa akui, beliau merendahkan egonya untuk layangkan salam takziah, walaupun menerusi orang tengah.

Ifa, ibu dua anak berusia 25 tahun dan 19 tahun, kini mengharapkan rancangan mendirikan umrah bersama sebelum akhir 2025, dapat dilaksanakan seiringan dengan keinginan meraikan ulang tahun Roslan pada 17 November dan anak Ifa pada 19 November di depan Kaabah.

“Bersyukur sangat kalau dapat raikan Hari Lahir di Makkah. Semoga dipermudahkan hajat kami.

“Selepas menunaikan umrah kelak, saya mengusulkan kepada Cik Lan jika kita beramai-ramai boleh merancang mengerjakan haji pula pada 2026 pula.

“Bagi saya, istimewa kalau saya sekeluarga dapat ke sana dengan sahabat saya, Cik Lan, sejajar dengan rezeki yang Allah beri bagi kami memulihkan persahabatan kami, dan mencari rezeki bersama,” ujar Ifa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg