Di tengah-tengah pelbagai tanda tanya mengenai punca keretakan rumah tangganya bersama pelakon, Que Haidar, Linda Jasmine, yang juga guru tarian, kini mengalihkan tumpuannya kepada peranan sebagai pengurus anaknya, Tengku Ratu Haidar, dalam program realiti anjuran Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2).

Program yang berkonsep selebriti sebagai pengurus kepada anak mereka dalam pertandingan pencarian bakat baru itu, disiarkan secara langsung dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, menerusi saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 9 malam.

Tidak terlintas dalam fikiran Linda, atau nama sebenarnya, Linda Jasmine Hashim Murad Mohamed Hashim, 53 tahun, bahawa anaknya, Ratu, 16 tahun, akan menceburi bidang seni suara.

Bagaimanapun, beliau kagum dengan keberanian anaknya itu dalam menyahut cabaran baru.

“Saya rasa seronok, namun sempat terlintas di fikiran bahawa ini bukanlah bidang yang mungkin ingin diceburi Ratu, memandangkan dia tidak pernah melalui latihan vokal sebelum ini.

“Namun, saya tidak menyangka dia tetap mahu menyertai pertandingan ini.

“Ketika saya menerima panggilan daripada Astro untuk menyertai TTMM2, saya sempat berbincang dengannya kerana dia juga berhak mengetahui peluang yang ditawarkan kepadanya.

“Saya tabik dengan keberanian Ratu. Dengan begitu tenang, dia hanya menjawab, ‘Okey’. Saya sendiri tidak pasti dari mana datangnya keberanian dan keyakinan itu.

“Walaupun saya sudah lama menari, saya bukanlah seorang yang memiliki keyakinan tinggi.

“Jadi, saya tidak rasa keyakinan itu diwarisi daripada saya,” kata Linda, ketika dihubungi Berita Harian (BH), baru-baru ini.

Ratu merupakan anak hasil perkahwinan Linda dan Que, yang bertahan antara 2009 dengan 2024.

Mereka juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Tengku Cleopatra Haidar, 13 tahun.

Bagaimanapun, ketika ditanya lanjut berkait perkembangan hubungan dengan pelakon itu, Linda enggan memberi respons.

Linda turut mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan, 26 tahun, yang juga aktif dalam bidang muzik, menerusi perkahwinan pertamanya dengan Khan Imran Abdullah, yang mana latar belakangnya tidak diketahui umum.

Sebagai pengurus Ratu dalam program tersebut, Linda turut percaya memiliki daya tarikan atau faktor ‘X’ bukanlah satu-satunya penentu kejayaan seseorang dalam bidang seni.

“Sebelum ini, Ratu juga pernah terlibat dalam menjayakan sebuah filem, namun, ia hanya watak kecil sahaja.

“Dia juga mempunyai minat dalam bidang lakonan.

“Namun, pada masa yang sama, saya tidak mahu dia terjun secara terburu-buru ke dalam dunia lakonan tanpa persediaan atau asas pendidikan yang kukuh dalam bidang tersebut.

“Selain itu, meskipun saya hanya guru tarian, saya percaya kekuatan saya terletak pada kemampuan untuk membimbing serta membantu orang lain mengenal pasti potensi diri mereka, terutama dalam perkara yang mereka sendiri masih ragu-ragu.

“Saya juga rasa penyertaan Ratu dalam pertandingan ini merupakan satu pendedahan yang baik dalam dunia seni, kerana ia memberi peluang kepadanya untuk memahami erti tanggungjawab, kerja keras serta disiplin sebagai anak seni.

“Memiliki daya tarikan sahaja tidak cukup jika ingin berjaya dalam bidang seni,” ujarnya, yang pernah menjadi guru tarian dalam program realiti, Akademi Fantasia.

Sebelum ini, beliau turut mengendalikan syarikat studio tarian dan persembahan sendiri yang dikenali sebagai Linda Jasmine Performing Arts Studio, pada awal 2000-an.

Ia tidak lagi diteruskan disebabkan kekangan jadual yang padat serta komitmennya pada Akademi Fantasia, yang berlangsung selama 12 musim, antara 2004 dengan 2015.

Di samping itu, bagi memberikan sepenuh perhatian terhadap penyertaan dalam program TTMM2, Ratu memilih untuk mengambil cuti sekolah untuk sementara waktu.

“Sejujurnya, saya sangat gemuruh untuk menyertai pertandingan ini. Namun, saya cuba sedaya upaya untuk tampil dengan keyakinan diri yang baik.

“Pada masa yang sama, saya juga berusaha untuk tidak terlalu mempedulikan pandangan orang lain terhadap diri saya.

“Selain itu, saya sudah terbiasa dengan dunia seni kerana kedua-dua ibu bapa saya juga terlibat dalam bidang ini.

“Namun, saya teruja dengan apa yang bakal menanti saya.

“Saya belum pasti sama ada akan beralih ke bidang lakonan selepas ini… mungkin iya, tetapi buat masa ini saya lebih memberi tumpuan kepada nyanyian dan tarian.

“Sepanjang menyertai pertandingan ini, saya mengambil cuti daripada sekolah. Selepas program ini pula, saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE),” ujarnya.

Bagi minggu pengenalan TTMM2 yang berlangsung pada 19 April, Ratu mempersembahkan lagu, Firasat, nyanyian asal penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan.

Hasil persembahan itu, Ratu meraih markah sebanyak 64.67 peratus, di samping menduduki tempat kelapan dalam carta persembahan terbaik bagi minggu pertama.

Ketika ditanya mengenai hala tuju Ratu dalam bidang seni selepas penyertaannya dalam TTMM2, Linda mengakui beliau masih belum mempunyai jawapan yang muktamad.

“Setakat ini, saya belum berfikir sejauh itu.

“Ada satu detik di mana saya terfikir selepas program ini, kami akan mencari syarikat pengurusan yang sesuai untuk menguruskan Ratu.

“Kemudian saya mula berfikir semula, mungkin ia tidak perlu.

“Dalam era kini, seseorang artis lebih mudah untuk dihakimi dan perlu berdepan cabaran dalam dunia hiburan yang agak keras.

“Ratu masih lagi berusia 16 tahun, dan mahu menjalani hidupnya sendiri. Dalam pada itu, dia juga berhak bahagia dengan kehidupan sendiri.

“Saya sendiri masih belum pasti hala tuju terbaik untuknya, sama ada untuk mendapatkan pengurusan profesional atau menghantarnya ke luar negara agar dia dapat mendalami seni persembahan dengan lebih luas tanpa membimbangkan pendapat orang lain.

“Namun, saya masih mempertimbangkan ke mana hala tuju yang sesuai untuknya selepas program ini,” kata Linda.

Sementara itu, penonton juga boleh menantikan persembahan Ratu yang bakal membawakan lagu Inggeris, Sometimes, nyanyian asal Britney Spears, menerusi TTMM2, yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria pada 26 April, 9 malam.