Konsert minggu keempat rancangan realiti popular terbitan Astro, Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12), menampilkan 13 peserta yang beraksi bersama pasangan duet masing-masing.
13 peserta tersebut terdiri daripada Nubhan, Mark Adam, Datuk Elaine Kang, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura dan Freshies (Ejie dan Shima).
Pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dari Indonesia, yang membawa warna muzik mereka tersendiri.
Lebih daripada itu, penyanyi kelahiran Singapura yang juga anak kepada Allahyarham R. Ismail iaitu, Iskandar Ismail, atau mesra dengan nama pentas Eiss, 45 tahun, sekali lagi berhasil mencuri perhatian apabila meraih tempat pertama dengan markah keseluruhan 84.25 peratus.
Pencapaian cemerlang itu merupakan hasil persembahan bertenaga bersama juara Gegar Vaganza Musim Ke-11, Liza Aziz, menerusi lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You, dendangan asal Marc Anthony dan Tina Arena, lapor laman Astro Gempak.
Ketua juri GV12, Datuk Ramli MS, menyifatkan persembahan Eiss sebagai satu persembahan yang sangat mengagumkan.
“Untuk lagu ini, jika dilihat daripada ‘range’ (julat) vokal, saya sebenarnya lebih suka jika awak menggunakan nada rendah seperti di korus pertama.
“Apa yang awak lakukan itu tidak salah, ia sudah bagus. Namun, akan lebih ‘cantik’ jika awak kekal pada nada rendah kerana apabila awak nyanyi nada tinggi, ia bersatu dengan suara Liza.
“Apa pun, persembahan ini sangat megah. Syabas, usaha yang sangat baik,” kata Ramli MS.
Sebelum ini, pada minggu kedua, Eiss berjaya menempati kedudukan tertinggi dengan markah sekitar 71.50 peratus menerusi persembahan akustik bertenaga lagu Warisan Wanita Terakhir, nyanyian asal kumpulan Teacher’s Pet.
Bagaimanapun, dua nama terpaksa akur apabila diumumkan sebagai bintang yang tersingkir di minggu keempat GV12 iaitu Shy8 dengan nilai markah sebanyak 52.00 peratus, dan Datuk Elaine Kang dengan markah 46.75 peratus.
Berikut merupakan markah keseluruhan bagi minggu keempat GV12:
Iskandar bersama Liza Aziz: I Want To Spend My Lifetime Loving You (84.25%)
Nubhan bersama Mawi: Kian (78.25%)
Krisya bersama Azmi Saat: Fantasia Bulan Madu (69.00%)
Kumpulan Mendua bersama Kaer Azami: Izinku Pergi (68.25%)
Mark Adam bersama Mimifly: Jangan Kau Mimpi (66.25%)
Shae bersama Tomok: Cari Jodoh (65.75%)
Mel Sakura bersama Naqiu: Dua Insan Bercinta (65.50%)
Ruri Repvblik bersama Didi Hijau Daun: Suara Ku Berharap (64.25%)
Kumpulan Freshies bersama Ina Freshies dan Mamat Exists: Rahsia Pohon Cemara (63.25%)
Rahmat Ekamatra bersama Ayai Ilusi: Tiara (61.50%)
Korie bersama Saiful Apek: Hanya Nyanyian Dalam Sepi (57.00%)
SHY8 bersama Farahdhiya: Siapa Dia Sebelum Daku (52.00%)
Datuk Elaine Kang bersama Dia Fadila: Yesterday Once More (46.75%)
GV12 yang disiarkan secara langsung dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, boleh ditonton melalui saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 9 malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg