Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Shae akui mempunyai masalah pendengaran sejak usianya 8 tahun.
Namun menurut Shae, atau nama sebenarnya, Sheryl Gething, 31 tahun, beliau tidak pernah berkongsi perkara tersebut kepada orang tuanya kerana tidak mahu mereka berdua risau.
“Sejak usia 8 tahun, saya mulai sedar susah untuk mendengar.
“Dari duduk di bahagian belakang dalam kelas, saya pindah ke bahagian depan.
“Saya pada mulanya merahsiakan masalah telinga daripada ibu bapa sehingga usia saya 16 tahun, barulah saya beritahu kepada ibu bapa bahawa mengalami masalah pendengaran,” katanya dalam sidang media bersama media seberang.
Tambah penyanyi kacukan Australia-Indonesia itu, tiga pakar perubatan mengesahkan telinga kirinya tidak lagi berfungsi.
Meskipun boleh melakukan pembedahan namun ia tidak memberi jaminan kepadanya untuk pulih seperti dulu.
“Saya berjumpa dengan tiga doktor pakar telinga dan ketiga-tiga mereka mengesahkan memang telinga kiri saya tidak berfungsi, telinga kiri saya pekak.
“Doktor maklumkan pendengaran manusia yang normal adalah antara julat 0 hingga 25, tetapi telinga kiri saya 112. Maksudnya, saya langsung tidak boleh dengar.
“Doktor kata boleh lakukan pembedahan, namun tidak memberi jaminan telinga saya boleh sembuh semula atau sebaliknya,” tambahnya, lapor Astro Gempak.
Shae juga tidak menafikan masalah pendengaran itu kadangkala menjejaskan persembahannya di pentas.
“Sebagai penyanyi, kadangkala masalah itu mengganggu persembahan dan menyebabkan saya tidak boleh menyanyi dengan baik.
“Tetapi untungnya zaman sekarang ada alat bantuan untuk penyanyi, selagi ‘ear monitor’ itu berfungsi dengan baik, tidak menjadi masalah untuk saya,” ujar Shae yang dikenali dengan lagu Sayang.
Dalam konsert minggu ketiga, Shae berada di tempat ke-12 daripada 13 peserta selepas meraih 57 peratus bagi persembahannya. Beliau menyanyikan lagu Risalah Hati, nyanyian asal Dewa 19.
Bakat Singapura, Iskandar Ismail atau Eiss yang membawa lagu Bourgenvilla (nyanyian asal kumpulan Spring) meraih tempat kedua dengan markah 71 peratus.
Bekas peserta Akademi Fantasia (AF), Nubhan yang menyanyikan lagu Bintang (nyanyian asal Budak Kacamata) berjaya meraih tempat pertama dengan 71.5 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg