Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hady Mirza ceburi bidang baru sebagai ejen hartanah

Jun 30, 2025 | 7:21 PM
Pemenang Singapore Idol dan Asian Idol, Hady Mirza menceburi bidang hartanah.
Pemenang Singapore Idol dan Asian Idol, Hady Mirza menceburi bidang hartanah. - Foto ihsan oleh HADY MIRZA

Setelah empat percubaan dalam dua tahun, pemenang Singapore Idol yang kedua dan juara Asian Idol, Hady Mirza, kini melangkah ke dunia kerjaya baru sebagai seorang ejen hartanah.

Dalam satu hantaran Instagram baru-baru ini, Hady, 45 tahun, memperkenalkan dirinya sebagai seorang ejen hartanah, menandakan permulaan babak baru dalam kehidupannya.

Berpakaian kemas dan tersenyum mesra di hadapan kamera, Hady berkongsi bahawa perubahan ini telah lama dirancang, namun seringkali tertangguh.

“Pada mulanya saya fikir mungkin sudah terlambat tapi ada sesuatu dalam diri saya yang berkata ‘tidak’ dan saya masih layak untuk memperbaiki diri,” tulisnya dalam hantaran itu.

View post on Instagram
 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang menjadi tonggak kekuatan dan motivasinya sepanjang perjalananannya itu.

Hady memberitahu Berita Harian (BH) sebab di sebalik keputusannya menceburi bidang hartanah.

“Sepanjang bertahun-tahun, saya sendiri pernah beberapa kali membeli dan menjual rumah. Tanpa bimbingan yang betul, proses itu boleh menjadi beban.

“Jadi saya harap saya dapat membantu sesiapa yang memerlukan nasihat dan bantuan berkaitan hartanah,” ujar beliau kepada BH.

Hady (tengah) bersama mentornya, Pengarah Kanan Pemasaran ERA, Encik Sulaiman Saad (kiri) dan Pengarah Kanan Agensi ERA, Encik Adi Mesti Jadi (kanan).
Hady (tengah) bersama mentornya, Pengarah Kanan Pemasaran ERA, Encik Sulaiman Saad (kiri) dan Pengarah Kanan Agensi ERA, Encik Adi Mesti Jadi (kanan). - Foto ihsan oleh HADY MIRZA

Namun, laluan ke bidang ini bukanlah mudah atau cepat. Duta Persatuan Ain itu akur bahawa proses menjadi ejen hartanah mengambil masa kerana ia merangkumi pendaftaran, pembelajaran, hingga menempah tarikh peperiksaan.

Mengulas tentang pengalaman menduduki peperiksaan hartanah, Hady berkata ia mencabar:

“Peperiksaan tak mudah. Saya mendaftar dengan beberapa tutor bertauliah untuk pastikan saya dapat liputan pembelajaran yang menyeluruh.

“Ia memerlukan disiplin dan pengorbanan mingguan untuk belajar, di samping komitmen lain dalam projek-projek saya. Isteri saya memainkan peranan besar dalam membantu dari segi sokongan moral dan logistik.”

Menurutnya, beliau telah mengambil peperiksaan itu pada Mac, dan mendapat kelulusan sejak Mei.

Hady bukan asing dalam dunia perniagaan. Sepanjang sedekad lalu, beliau pernah melibatkan diri dalam pelbagai jenis jualan, daripada barangan makanan hingga kereta.

“Pengalaman dalam dunia jualan itu yang mendorong saya untuk terlibat secara lebih serius dalam bidang ini,” katanya. “Saya juga sudah biasa berurusan dengan peminat dan pelanggan, dan hubungan baik itu banyak membantu.”

Hantarannya di Instagram itu menerima lebih 1,500 ‘likes’ sejak 27 Jun dan komen-komen menyusul mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaannya dalam bidang baru ini.

Antaranya ialah rakan nyanyi dan pemenang Singapore Idol pertama, Taufik Batisah yang juga kini dalam bidang hartanah, berkata: “Tabarakallah, semoga berjaya dan dapat peluang co-broke (bekerjasama).”

Seorang lagi rakan artis dari Malaysia, Jaclyn Victor, berkata: “Awwww, saya sangat gembira untuk kamu! Tahniah Hady! Kejayaan yang sangat berbaloi dan wajar!

Apabila ditanya bagaimana beliau akan mengimbangi masa sebagai ejen hartanah dan juga sebagai penyanyi, beliau menjelaskan pengurusnya, NHM ENTERTAINMENT akan terus menguruskan semua persembahannya.

Untuk urusan hartanah pula, mentornya akan membantu sekiranya diperlukan.

Isterinya pula akan menguruskan jadualnya secara keseluruhan. Beliau juga menambah bahawa persembahan seterusnya adalah pada 3 Ogos, konsert Hari Kebangsaan dan 23 Ogos, Konsert Persatuan Ain bersama Bunda Hetty.

Buat mereka yang masih teragak-agak untuk menceburi bidang hartanah, Hady menasihatkan:
“Saya galakkan mereka untuk cuba, sebab kalau tak cuba, takkan tahu. Tapi penting untuk dapatkan bimbingan yang betul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg