Setiap kali kakinya melangkah masuk ke bilik air beliau di Blok 127, Yishun Street 11, Cik Nurifah Abdul Manap, dibelenggu rasa bimbang
Siling bilik airnya mula menunjukkan tanda-tanda gelembung sejak akhir Mei dan terdapat bahagian yang terkopak.
Terdapat pengelupasan konkrit iaitu lapisan permukaan konkrit merekah dan menyerpih keluar.
Cik Nurifah terus membuat laporan ke Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 6 Jun.
Pegawai HDB kemudian datang ke rumahnya pada 13 Jun untuk memeriksa bahagian siling yang terjejas lalu mengikisnya demi keselamatan.
“Kami masih rasa bimbang kerana mungkin terdapat bahagian lain di siling yang ‘longgar’ dan berkemungkinan akan jatuh,” ujar usahawan berusia 41 tahun itu.
Cik Nurifah bersama suaminya, Encik Azahari Ali, 53 tahun, tinggal bersama dua warga emas dan juga seorang pembantu rumah.
Beliau menambah: “Ini bukan lagi sekadar isu siling rosak – tapi ketakutan kalau ada orang lain pula yang cedera lepas ini.”
Cik Nurifah semakin bimbang setelah jirannya di tingkat sama mengalami siling konkrit yang runtuh.
Pada 19 Jun sekitar 4.45 pagi, jirannya, Encik Mohamad Hashim Arshad, 65 tahun, sedang menggunakan tandas dan mengalami kecederaan serius apabila serpihan konkrit besar dari siling tandas runtuh secara mengejut dan terkena bahagian kiri badannya.
Nasib menyebelahi Encik Hashim kerana beliau sedang duduk di jamban yang terletak di sudut kiri, jauh sedikit dari tempat serpihan konkrit itu jatuh di tengah-tengah bilik air.
Meskipun demikian, Encik Hashim mengalami kecederaan serius – termasuk memerlukan lebih 10 jahitan di dahi dan bahagian belakang kepala, lebam di lengan kiri serta luka di lutut kiri.
“Saya pengsan sekejap bila terkena konkrit itu. Bila sedar, semuanya gelap kerana lampu juga jatuh bersama siling,” kongsi beliau apabila ditemui wartawan pada malam 20 Jun, setelah dirawat di hospital.
Encik Hashim menggambarkan keadaan itu seperti gempa bumi.
Bunyi dan impak kejadian itu sungguh kuat.
Isterinya, Cik Sa’adeah Hj Atan, 62 tahun, yang juga telah bangun untukbersolat tahajud terdengar bunyi kuat dan teriakan suaminya lalu segera datang membantu.
Encik Hashim ditemui berlumuran darah di bilik air sebelum dibawa ke ruang tamu dan kepalanya dibalut apabila paramedik tiba.
Kejadian itu mendapat perhatian Anggota Parlimen GRC Nee Soon yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Beliau mengunjungi keluarga mangsa pada 20 Jun dan memuat naik kenyataan di media sosial.
“Saya melawat sebuah flat di Blok 127, di Chong Pang. Konkrit terkopak dan mencederakan pemilik flat. Beliau kini menerima rawatan di hospital. Saya telah bercakap dengan isterinya.
“Saya maklumkan bahawa kami akan membantu mereka, termasuk bayaran kos pembaikan. Sukarelawan saya sedang berhubung dengan HDB dan majlis bandaran mengenai perkara ini.”
Menjawab pertanyaan BH, HDB mengesahkan bahawa mereka dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada 19 Jun dan telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan pada petang yang sama.
“Pegawai kami telah menjalankan siasatan segera dan menemui konkrit yang runtuh di lantai bilik air utama. Kami telah membantu membuang konkrit tersebut,” kata HDB.
Semasa pemeriksaan lanjut di unit berkenaan, pegawai turut mendapati terdapat “sedikit bonjolan konkrit pada siling bilik air dapur”.
Walaupun tiada tanda keretakan serius, HDB berkata mereka akan membuang konkrit tersebut sebagai langkah berjaga-jaga pada Isnin, 23 Jun.
“Kami faham bahawa ini adalah satu pengalaman yang membimbangkan bagi penduduk dan keluarganya.
“Kami sedang membantu mereka melalui Skim Bantuan Baik Pulih Ihsan (GRA), di mana HDB akan menanggung 50 peratus daripada kos pembaikan,” tambahnya.
Menurut HDB, unit berkenaan telah dibina 41 tahun lalu dan menjalani kerja naik taraf di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP) pada 2018.
Sebagai sebahagian daripada kerja naik taraf, jubin dan kelengkapan baru dipasang di tandas dan siling dicat semula.
Namun begitu, “tiada kerja pembaikan untuk konkrit terkopak dilakukan kerana tiada tanda-tanda konkrit terkopak ketika itu”, ujar HDB.
HDB turut menjelaskan bahawa konkrit terkopak adalah proses semula jadi yang berlaku akibat pengkarbonan – terutama di kawasan lembap seperti tandas dan dapur.
“Penduduk digalakkan menutup retak dengan segera, mengecat semula siling secara berkala dan memastikan pengudaraan yang baik di kawasan lembap,” kata kenyataan itu.
Seorang lagi jiran di tingkat yang sama, Encik KW Tham, berkata sejak beliau pindah ke unit tersebut pada 2010, beliau telah mengalami empat kejadian siling runtuh – di dapur dan kedua-dua bilik airnya.
Kejadian keruntuhan siling terakhir berlaku pada awal 2024.
“Saya rasa macam tiada penghujung untuk masalah ini.
“Kami harap HDB dapat kawal dan pantau isu sebegini dengan lebih serius,” kata Encik Tham yang telah berbelanja sekitar $2,000 secara keseluruhan untuk kerja pembaikan silingnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg