Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hael Husaini, Nadeera sambut Lebaran ‘Meriah Lain Macam’

Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Hael Husaini, tidak salah memilih rakan penyanyi, Nadeera, sebagai pasangan duet kerana lagu ‘Meriah Lain Macam’, berhasil menambat hati peminat.
Hael Husaini, tidak salah memilih rakan penyanyi, Nadeera, sebagai pasangan duet kerana lagu ‘Meriah Lain Macam’, berhasil menambat hati peminat. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE ROCKETFUEL NETWORK

Aidilfitri kali ini disambut ‘Meriah Lain Macam’ dengan lagu dendangan penyanyi Malaysia, Hael Husaini dan juga Nadeera Zaini, yang tular di media sosial.

Apabila saya tatap layar telefon bijak sambil menonton kandungan di laman TikTok, saya pasti akan terjebak dalam beberapa potongan video pengguna menarikan gerakan ikonik lagu itu, terutama, pasangan pengantin baru yang menyambut Aidilfitri bersama buat kali pertama.

Pada awalnya, ketika mendengarkan lagu ini, saya fikir, ‘Mampukah ia tular seperti lagu Raya milik Hael Husaini sebelum ini?’.

Dengan seni kata bersifat dialog ala-ala manja, saya sempat berasa kurang yakin lagu ini akan mendapat tarikan seperti lagu Lebaran, Bersyukur Seadanya dan Raya Kita Raya, yang diciptakan penyanyi dan komposer itu.

Bagaimanapun, video muzik, Meriah Lain Macam, telah mencapai 8.4 juta tontonan di YouTube dan berada di carta dua lagu tersohor kini di ruang maya, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Sebagai penyanyi dan komposer berbakat, saya akui Hael pandai menyesuaikan diri dengan perkembangan muzik semasa – yang mementingkan irama lagu rancak serta lirik yang menarik dan mudah diingat – untuk menarik perhatian peminat.  

Selain melodi yang segar dan lirik yang mudah dihayati, kebolehan Hael dan Nadeera dalam menyampaikan suasana Aidilfitri dengan gaya bersahaja daripada perspektif pasangan suami isteri, berjaya mendapat sambutan hangat lantas, menjadikan lagu ini tular.

Menjengah ke ruang komen, ada yang mengatakan lagu ini ‘akan menjadi antara lagu Raya moden yang malar segar’.

Malahan, lagu ini terbukti ‘Meriah Lain Macam’ kerana berjaya merentas ke luar negara setelah mendapat perhatian daripada penggemar di Indonesia dan juga Korea Selatan.

Ramai turut memuji kepintaran Nadeera, penyanyi yang mula dikenali selepas memenangi peraduan nyanyian realiti, Big Stage (Musim Kelima), dalam mengalunkan dan mengadunkan suaranya, melengkapi melodi dan vokal Hael.

Mungkin, 2025 adalah tahun yang membawa tuah pada kerjaya seni Nadeera, lebih-lebih lagi selepas lagunya, Bukan Lagi Kita, dinobatkan naib juara dalam Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39).

Maka, tidak hairanlah bakat nyanyian Nadeera yang luas dan hebat itu, semakin dipandang dan dihargai oleh masyarakat di rantau ini.

Bagai pinang dibelah dua, Hael tidak salah memilih Nadeera sebagai pasangan duet.

Selain pintar mempelbagaikan nada dalam lagu, keupayaan Nadeera mengimbangi ‘stage act’ atau lakonan pentas Hael ketika membawakan lagu ini dalam video muzik mahupun secara langsung, berhasil membuat ramai kecanduan dengan lagu, Meriah Lain Macam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg