PETALING JAYA: Penyanyi Hael Husaini menafikan dakwaan dirinya sudah bertunang dengan Dayang Nurfaizah seperti yang sedang hangat diperkatakan dalam media sosial.
Hael berkata gosip atau berita disebarkan sama sekali tidak datang daripada dirinya.
Sehubungan itu, Hael, atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 36 tahun, hanya meminta peminat untuk terus menyokong perjalanan muziknya termasuk album terbaru, Antonim Part 2, yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.
“Apa sahaja yang keluar bukan datang daripada saya. Jadi, doakan terbaik untuk Antonim Part 2,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas menjayakan persembahan Hael Husaini Antonim Night di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama, pada 31 Mei.
Ditanya bagaimana reaksi mengenai tindakan peminat sering menjodohkan dirinya dengan Dayang, Hael berkata, beliau tidak dapat menghalang perkara itu.
Pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) dan AJL 33 itu memberitahu beliau enggan terlalu mengambil serius apa yang sedang diperkatakan orang ramai kerana fokus utama adalah kerjaya muzik.
“Sebagai artis, saya tak boleh halang apa yang peminat inginkan. Bagi saya, kita raikan apa sahaja yang mereka mahu.
“Saya tak ambil apa yang dilakukan terlalu serius. Saya hanya fokus dengan kerjaya dan akan terus melakukan yang terbaik kepada mereka yang menyokong perjalanan seni saya,” katanya.
Terdahulu, tular di TikTok mengenai dakwaan penyanyi lagu Jampi itu sudah melangsungkan pertunangan dengan Dayang.
Meninjau ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah kepada pasangan selebriti itu walaupun wajah Hael tidak kelihatan secara jelas.
Sementara itu, Hael tampil memukau 300 peminat menerusi showcase Hael Husaini Antonim Night dengan menyampaikan seleksi lagu hit yang pernah dirakamkan.
Antara lagu dipersembahkan adalah Hero, Kejora, Jampi, Haram dan Diam.
Selain itu, acara berkenaan turut menampilkan Anwar Amzah yang menyampaikan lagu Imaginasi, diikuti bekas peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Mariam yang membawakan lagu Hari Ini, Lara dan Bintang secara medley.
Showcase Hael Husaini Antonim Night lebih sejam dibawakan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg