Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hafiz Suip sebak ditanya tentang bahagia

Jul 27, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, akui tidak menyepi dari dunia hiburan dan bidang nyanyian kerana inilah satu-satunya kerjaya yang beliau miliki setakat ini.
Penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, akui tidak menyepi dari dunia hiburan dan bidang nyanyian kerana inilah satu-satunya kerjaya yang beliau miliki setakat ini. - Foto INSTAGRAM HAFIZ SUIP

Apabila diajukan soalan mengenai kebahagiaan dalam kehidupan kini, penyanyi Malaysia, Hafiz Suip, tidak mampu menahan sebak.

Hafiz, atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz bin Mohamad Suip, 35 tahun, mengalirkan air mata tatkala ditanya soalan tersebut pada perkongsian video berjudul, Episod 1 Di Sebalik Aku – Hafiz Suip, di laman Instagram miliknya pada 18 Julai lalu.

“Saya bersyukur dengan segala pemberian-Nya. 

“Saya bahagia dan cuba untuk berdamai dengan kehidupan.

“Saya tak mahu terus-menerus salahkan sesiapa mahupun keadaan. Itu yang akan buat kita kusut. 

“Jadi, bila kita terima dan reda, kita akan jumpa kebahagiaan itu,” katanya sambil menyeka air mata dalam hantaran video tersebut.

Terdahulu, penyanyi lagu Awan Nano itu memuat naik foto disertakan dengan tarikh 1 November 2025, seolah-olah memberi gambaran dan pembayang bahawa beliau akan tampil dengan persembahan khas atau konsert.

Dalam hantaran video yang sama, Hafiz yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2014, mengakui tidak meletakkan noktah kepada kerjaya nyanyiannya.

“Sebenarnya, saya bukan menyepi. Saya pun semakin hari meningkat dewasa.

“Jadi, tiada lagi zaman saya hendak bersuka-ria.

“Ini semua (kerjaya nyanyian) yang saya ada. 

“InsyaAllah dengan sokongan peminat, saya masih lagi ada dalam industri seni,” katanya lagi, dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada awal 2025, pelantun lagu Noktah Cinta itu mengakui rumah tangga yang dibina bersama Nureffy Jasreel Abdullah sekitar sembilan tahun lalu (2016), sedang dilanda badai.

Hafiz dan Nureffy yang membina mahlighai perkahwinan pada 14 Mei 2016 itu, dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung dan dalam proses perceraian.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, lapan tahun, dan Muhammad Alkaf Zayne, lima tahun.

Hafiz mengakui detik paling menyedihkan adalah apabila perlu berjauhan dengan anak-anaknya, selain berhadapan tanggapan negatif orang ramai yang memberi kesan mendalam pada emosinya.

“Perkara paling sedih apabila orang anggap saya jahat. Mulut orang tak boleh nak tutup. 

“Apa yang saya boleh buat adalah dengan meneruskan kehidupan. Saya tahu ‘nawaitu’ (niat) saya, lambat laun orang akan faham.

“Banyak juga tohmahan orang lemparkan (pada saya). Saya patut bersyukur apabila ada orang prihatin dan tegur. 

“Daripada orang tak tegur langsung, itu lagi sakit sebenarnya,” kata Hafiz yang turut berdepan masalah kesihatan apabila disahkan mempunyai batu karang dalam buah pinggang pada Mei lalu (2025).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg