Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hannah Delisha enggan letak harapan tinggi timang cahaya mata

May 31, 2024 | 9:15 AM
Hannah Delisha tidak sangka apa yang dilalui watak Batrisya yang dilakonkannya dalam drama Lelaki Itu dihadapi dalam kehidupan nyatanya.
Hannah Delisha tidak sangka apa yang dilalui watak Batrisya yang dilakonkannya dalam drama Lelaki Itu dihadapi dalam kehidupan nyatanya. - Foto IG HANNAH DELISHA

KUALA LUMPUR: Tanggal 17 Mac 2024 adalah detik paling sukar dilupakan pelakon Hannah Delisha. Pada hari itu, beliau dikejutkan oleh khabar duka bahawa bayi dalam kandungannya yang berusia 13 minggu tidak lagi bernyawa.

Wanita mana tidak bersedih atau terkesan dari segi emosi tatkala menerima khabar sedemikian, namun itulah yang terpaksa direlakan Hannah apabila hasratnya menjadi ibu belum kesampaian.

Mengakui beliau perlu mengambil masa lama untuk menelan segala kepahitan takdir, pelakon kelahiran Singapura itu tidak putus berharap dan terus menanam benih harapan untuk hidup dalam keluarga lengkap bersama suaminya, Imam Shah.

Namun, seiring berjalan waktu, Hannah, yang nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, sudah mula menerima ketentuan takdir Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan percaya detik kebahagiaannya pasti menjengah suatu hari nanti.

Berkat sokongan keluarga dan suami, Hannah berjaya mengharungi fasa terendah dalam hidupnya dan kini sudah berlapang dada dengan menganggap ujian dikirim Tuhan adalah untuk menjadikan dirinya wanita lebih kuat. 

“Sejujurnya, fasa bersedih mengenai keguguran itu sudah habis dan sekarang saya semakin baik mungkin selepas dapatkan rehat yang cukup.

“Saya juga ada rakan sekeliling yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat.

“Antaranya suami dan dikelilingi ramai orang yang sayang serta selalu memberi semangat.

“Jadi, fasa sekarang saya sudah terima dan reda dengan keguguran yang dialami. Setiap manusia dalam dunia pasti ada ujian masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Hannah berkata beliau enggan menaruh harapan tinggi untuk menimang cahaya mata dan menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan.

Bagaimanapun, pelakon drama rantaian popular, Lelaki Itu menegaskan akan lebih berhati-hati termasuk menguruskan kerja dengan bijak dan merancang rutin harian dengan baik.

“Soal anak, sekarang memang saya tak tahu dan tak boleh beri apa-apa jaminan. Saya tak halang, malah tak merancang juga.

“Tapi, insya-Allah sekiranya diizinkan, saya akan ambil masa untuk berehat sekurang-kurangnya pada trimester pertama.

“Selepas apa yang terjadi, saya mahu lebih berhati-hati terutama pada fasa awal kehamilan iaitu trimester pertama. Bila saya ingat kembali, apa yang terjadi juga mungkin disebabkan saya terlalu sibuk dengan kerja.
“Saya banyak keluar dan tak cukup tidur. Jadi, kalau ada rezeki saya mahu lebih berehat,” katanya.

Penyanyi Esok Masih Ada itu berkata beliau yakin dengan kejadian yang menimpanya dan merasakan orang lain juga pernah berdepan dengan ujian sama.

Malah, Hannah tidak menyangka apa yang dilalui watak Batrisya dalam drama Lelaki Itu turut dihadapi dalam kehidupan nyatanya.

“Saya alami keguguran selepas drama habis. Tapi, saya pun tidak sangka akan lalui perkara sama seperti Batrisya iaitu kehilangan anak. 

“Cuma, bezanya saya keguguran, manakala Batrisya pula terpaksa lakukan keguguran.

“Bukan saya sahaja yang berdepan ujian dalam hidup, bahkan saya percaya ramai lagi sedang bergelut dengan masalah peribadi sehingga tertekan,” katanya.

Sebelum ini, Hannah berkongsi khabar duka dirinya keguguran melalui ciapan di pelantar X, selain menjelaskan pemberitahuan itu dibuat kerana mahu berkongsi perasaan dengan wanita yang mengalami nasib sama dengannya.

Hannah berkata beliau bersedih bukan kerana tidak boleh menerima ketentuan takdir, sebaliknya trauma mengenangkan perasaannya dan suami ketika menerima berita duka itu.

“Bayangkan, kali pertama nampak bayi pada mesin imbasan tentulah rasa sangat teruja. Namun, tidak sampai beberapa minit, wajah doktor berubah.

“Beberapa kali doktor buat semakan. Kemudian, beliau panggil seorang lagi doktor untuk mendapatkan kepastian.

“Akhirnya, mereka sahkan jantung bayi berhenti berdegup pada usia kandungan lapan minggu. Bayangkan, bagaimana perasaan saya ketika itu?” katanya.

Sementara itu, mengulas kerjaya lakonannya, Hannah berbangga apabila drama Lelaki Itu mencipta fenomena sehingga mendapat 1 bilion capaian dalam media sosial.

Hannah turut merasakan keberanian penerbit dan penulis skrip, Erma Fatima, membawakan isu yang kritis adalah kunci kejayaan drama siaran slot Samarinda TV3 itu.

“Drama ini bukan cerita tipikal tentang ‘penyondol’, tapi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai masalah kesihatan mental. 

“Ketika bawa watak Batrisya, saya tak boleh bayangkan sekiranya perkara seperti ‘terkahwin’ dengan adik-beradik berlaku kepada saya. 

“Memang berat menghidupkan naskhah ini, lebih lagi, watak saya banyak duduk dalam bilik. 

“Walaupun selepas drama berakhir, saya rasa sangat penat mental dan fizikal. Sekarang, saya sedang berehat sebelum masuk ke set penggambaran baru pada Julai depan,” katanya.

Terdahulu, Hannah mencuri tumpuan menerusi drama Lelaki Itu apabila lakonannya sebagai Batrisya yang tanpa sengaja berkahwin dengan adik-beradik sendiri meraih pujian ramai dalam media sosial.

Hannah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura Imam Shah pada 18 Februari 2021.

Pada 2017, Hannah berhijrah ke Malaysia untuk mengembangkan bakat sebelum mencipta nama menerusi drama adaptasi novel Mencintaimu Mr Photographer bersama aktor Syafiq Kyle.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg