Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hanya 8 individu didakwa boleh guna nama XPDC

Jul 10, 2025 | 1:30 PM
Kumpulan XPDC Kita Peng Yu menunjukkan dokumen berkaitan isu penggunaan nama XPDC di Hotel Grand Barakah, Ampang, pada 9 Julai.
Kumpulan XPDC Kita Peng Yu menunjukkan dokumen berkaitan isu penggunaan nama XPDC di Hotel Grand Barakah, Ampang, pada 9 Julai. - Foto NSTP

AMPANG: Peguam mewakili Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Encik Aizul Rohan mendakwa penggunaan nama XPDC hanya dibenarkan untuk lapan individu yang pernah terbabit secara langsung dan sah bersama kumpulan rock popular era 1990-an itu.

Selain itu, Encik Aizul mendakwa syarikat rakaman Life Records sebagai pemilik hak cipta jenama XPDC hanya membenarkan dan memberi Pemilikan Cap Dagangan (Trademark Ownership) kepada dua kumpulan sahaja, iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia.

Encik Aizul mendakwa hak sebuah lagi band yang turut menggunakan nama XPDC untuk tujuan penganjuran konsert dan persembahan, sejak akhir-akhir ini, diketepikan, lapor BH Online.

Individu yang didakwa Encik Aizul diiktiraf menggunakan jenama XPDC adalah Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael), Mohd Zulkifly Nik Hussin (Izo), Azuar Md Tasi (Zuar) dan Rosly Abdul Samat (Lee Space).

Selain itu, empat lagi individu adalah Suhaimi Abu Bakar (Amy), Mohd Ali Ismail (Ali), Saiful Rizla Kamarudin (Lola) dan Amran Marsiman (Yan).

Encik Aizul mendakwa hak menggunakan nama XPDC perlu mengikut kenyataan rasmi dikeluarkan Life Records.

“Kira-kira dua minggu lalu, saudara XPDC (Kita Peng Yu) ada datang jumpa kerana dilema masalah yang mereka hadapi sekarang. Selepas berbincang, saya rasa persoalan itu sudah terjawab.

“Jadi, tak perlu panjang lebar di mahkamah kerana sudah terang sekarang siapa ada hak guna nama XPDC. Seperti tertulis dalam surat dikeluarkan Life Records, sesiapa yang tidak dinamakan, maka secara automatik tiada hak (menggunakan nama XPDC).

“Surat berkenaan megesahkan hak atau lesen menggunakan nama XPDC hanya kepada lapan individu sahaja. Selain itu tidak boleh menggunakannya,” dakwanya pada sidang media penyalahgunaan nama XPDC di Hotel Grand Barakah di sini, pada 9 Julai.

Pada sidang media itu, kenyataan media dikeluarkan Life Records berhubung isu penggunaan nama XPDC, turut diedarkan kepada wartawan. Semakan mendapati kenyataan media yang sama turut dimuat naik di Facebook syarikat rakaman terbabit.

Yang turut hadir pada sidang media berkenaan adalah empat anggota XDPC Kita Peng Yu, Zuar, Jeff, Amy dan Ary; Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez serta adik Allahyarham Mael, Syed Ali Syed Ibrahim.

Menurut Encik Aizul, ketetapan itu berkuatkuasa hari ini, malah sekiranya ada individu termasuk pihak lain menggunakan atau mewujudkan nama berkaitan XPDC, maka tindakan mengikut lunas undang-undang boleh diambil.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila sebuah kumpulan menggunakan nama XPDC terbabit secara aktif membuat persembahan dan mempromosikan konsert.

Band berkenaan menggunakan nama XPDC dalam pelbagai bahan promosi tanpa kebenaran atau pengesahan rasmi daripada pemilik hak sehingga mengelirukan peminat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg