Anak kedua pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, iaitu Encik Muhammad Al Syafiq, 36 tahun, meluahkan rasa kecewa apabila masih ada pihak mempertikai tindakan beliau dan kakaknya, Cik Siti Qurratu Aini, 37 tahun, yang masih belajar di saat ayah mereka diuji dengan sakit dan tiada pendapatan.
Paling mengecewakan apabila individu yang pernah berjanji mahu membantu mereka, menempelaknya apabila dihubungi baru-baru ini.
“Individu terbabit pernah datang menziarah ayah sebelum ini dan memberi nombor telefonnya.
“Beliau kata kalau ada apa-apa masalah boleh hubunginya.
“Jadi apabila keadaan kami terdesak disuruh berpindah rumah sewa oleh pemiliknya akhir bulan ini, saya pun hubungi beliau seperti kata-katanya untuk mohon bantuan.
“Tapi agak menyedihkan apabila beliau menempelak saya dan kata saya dah patut bekerja untuk cari wang dan bukan terus belajar.
“Memang saya terkejut jadinya,” katanya Encik Syafiq dalam laman web Harian Metro.
Menurut Encik Syafiq, beliau dan kakaknya mahu terus belajar dan selepas ini mahu mencari pekerjaan yang baik untuk meneruskan kehidupan bersama bapa mereka.
“Saya baru tahun pertama dalam Fakulti Penulisan Kreatif dan filem (FPKF) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Tetapi sudah selesai semester satu dan dua. Selepas ini saya akan selesaikan semester tiga hingga lima.
“Kakak saya juga pelajar Fakulti Penulisan Kreatif Aswara. Dia tinggal satu semester lagi iaitu semester lima kemudian enam (untuk latihan industri).
“Tahun depan dia sudah mula kerja.
“Sikit sahaja lagi tinggal tiga bulan sahaja. Takkanlah dia nak kena berhenti? Tolonglah bagi sikit ruang.
“Kakak saya sudah hendak tamat belajar pun. Tolonglah bagi sikit lagi sokongan,” katanya yang turut bekerja secara sambilan.
Encik Syafiq berkata prestasinya di Aswara kini amat bagus dan wajahnya sering terpampang di sana.
Sehubungan itu, amat merugikan jika beliau berhenti belajar.
Terdahulu, ketika Dharma, 69 tahun, menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), penyanyi mapan, Datuk DJ Dave, 77 tahun, dilapor berkata beliau tidak tergamak menyuruh dua anak Dharma tinggalkan pengajian dan bekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg