Tidak semua pelakon mampu melangkah keluar daripada bayang-bayang watak ikonik mereka.
Namun, bagi ‘Yah Kuchai’ atau nama sebenarnya, Afea Deanna Baharudean, 25 tahun, beliau memilih untuk tidak terus berada di dalam kotak itu.
Kini, selepas mencipta fenomena menerusi watak Yah Kuchai dengan dialog ‘mi kari kuah laksa’ dalam drama Kampong Pisang Bersiri-Siri, pada 2020, arahan Allahyarham Mamat Khalid, Afea Deanna tampil berani sebagai penyanyi dan penulis lagu pula.
Beliau kini hadir dengan single sulung berbahasa Inggeris berjudul, My Song To You, di semua pelantar digital dan ia bukan sekadar percubaan mencari hala tuju baru.
Lagu ini adalah sebuah projek yang lahir dari isi hati dan ditulis sendiri oleh Afea Deanna sekali gus mendapat sentuhan bersama tiga komposer termasuk, Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia.
“Menulis lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia mengenai cinta, penghargaan dan juga satu bentuk pemulihan diri.
“Saya mahu orang yang mendengar lagu ini rasa disayangi dan difahami, walaupun mereka berada jauh atau melalui waktu sukar,” kata Afea Deanna dalam laman web Harian Metro.
Nama Afea Deanna mula melonjak naik menerusi watak bersahaja Yah Kuchai yang penuh kelucuan.
Namun, siapa sangka di sebalik keletah jenaka itu tersembunyi jiwa yang puitis dan sensitif terhadap dunia dalaman sendiri.
Bagi Afea Deanna, muzik menjadi ruang ekspresi yang lebih mendalam, jujur dan tidak perlu disaring melalui skrip.
“Saya tahu ramai kenal saya sebagai Yah Kuchai yang suka melawak.
“Tapi sebenarnya, saya juga ada sisi yang lebih senyap, lebih reflektif.
“Saya mahu kongsi sisi itu dengan orang ramai melalui lagu ini,” katanya lagi.
Di sebalik perjalanan seni, Afea Deanna juga pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, Perak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg