Setelah lama tidak beraksi di pentas dan menari tarian Melayu, saya rasa seronok apabila berpeluang untuk menimba ilmu dalam bengkel interaktif yang memaparkan seni Mak Yong dan Silat Jawi di Project Studios, Aras 4, Wisma Geylang Serai (WGS), pada 1 Jun lalu.
Sepanjang bengkel yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 5 petang itu, saya cukup terpesona dengan persembahan Mak Yong dan Silat Jawi yang dipersembahkan oleh penggiat seni dari Kelantan, Malaysia.
Bengkel ini merupakan program sampingan yang melengkapkan pementasan, Jijok Angin: Pantai Timur, yang diadakan pada 31 Mei di Persada Budaya, WGS.
Ia turut dianjurkan bersama pengasas kumpulan muzik genderang Melayu, Genbano, Idham Ta’al dan penggiat aktivis teater dan budaya, Saiful Ahmad Elahi, bagi mengetengahkan seni tradisional Kelantan serta muzik rakyat – menggunakan alat muzik seperti gendang dan serunai.
Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya melihat persembahan seni tradisional Kelantan dan terdapat beberapa perkara yang saya amati sangat sinonim dengan budaya lain.
Bagaimanapun, saya tidak berniat untuk mengulas seni dan budaya itu dari perspektif akademik dan sekadar ingin berkongsi pengalaman yang ada.
Apabila Berita Harian (BH) menghubungi penggiat seni Pak Yong (panggilan untuk penari lelaki Mak Yong) dari Kuala Lumpur, Encik Rosnan Rahman, melalui Zoom pada 27 Mei, untuk mengetahui tentang seni Mak Yong, beliau berkata:
“Persembahan Mak Yong biasanya dimulakan dengan upacara persembahan, diikuti dengan tarian, lakonan, muzik, serta monolog dan dialog yang diolah secara spontan.
“Bagi mereka yang kurang dekat dengan seni tradisional seperti Mak Yong atau wayang kulit, menganggap ia sebagai seni yang lapuk atau tidak relevan.
“Namun, Mak Yong telah mendapat pengiktirafan warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
“Beberapa kesenian Malaysia lain termasuk mek mulung, dondang sayang, pantun dan silat.
“Kesenian tersebut bukan sahaja hak milik Malaysia, tetapi Nusantara yang perlu kami semai dan jaga.”
Seni Mak Yong, yang memerlukan latihan bertahun-tahun untuk dikuasai, telah dipertahankan hingga kini terutamanya melalui penyampaian lisan.
Namun, dalam masyarakat moden, hanya segelintir generasi muda yang sanggup menjalani tempoh pembelajaran yang panjang dan mencabar itu.
Akibatnya, tradisi penting itu semakin merosot, seperti yang dapat dilihat melalui pengurangan repertoir drama dan muzik, serta kekurangan penggiat seni yang berpengalaman.
Tambahan pula, seni Mak Yong turut menghadapi cabaran apabila diharamkan di Kelantan pada 1991 dek dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.
Berbekalkan pengalaman dalam tarian Melayu, gerakan yang saya pelajari melalui bengkel Mak Yong sedikit sebanyak mempunyai persamaan.
Kedua-dua tarian itu mementingkan pergerakan halus, lembut dan sopan yang selaras dengan kesantunan nilai serta budaya Nusantara.
Namun, berdasarkan pemerhatian singkat saya, Mak Yong tidak terlalu mengutamakan pembentukan postur tubuh sebagai elemen utama untuk menyerlahkan keindahan gerakannya, berbanding dengan tarian Melayu.
Bagi saya, pengalaman tersebut membuka minda, terutamanya untuk generasi muda yang mungkin kurang terdedah kepada seni tradisional.
Mungkin, akan lebih baik jika bengkel sebegitu dapat diperuntukkan lebih banyak masa, supaya peserta dapat benar-benar mendalami makna di sebalik setiap pergerakan dan memperhalusi pemahaman mereka.
Di samping itu, pihak penganjur boleh mempertimbangkan kerjasama dengan institusi seni mahupun sekolah tempatan bagi menarik lebih ramai golongan belia dari pelbagai latar belakang untuk menghayati seni tradisional ini.
Saya berharap lebih banyak inisiatif sebegini dapat diberi sokongan kerana ia dapat meningkatkan kesedaran budaya, mempereratkan hubungan bermakna dan memupuk rasa penghargaan yang mendalam terhadap warisan Nusantara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg